10 Sebab Individu Gaji Bawah RM2000 Tak Patut Beli Myvi 2018

Share

Model Perodua Myvi yang terbaru ni boleh tahan smart juga rekaan bodynya. Kalau tidak, takkanlah sudah menerima tempahan 8000 unit sejak diperkenalkan awal bulan ini.

Menurut Sinar Harian, Perodua Myvi ini ditawarkan pada harga daripada RM41,500 seunit bagi varian Standard G 1.3L manual hingga RM58,900 untuk varian automatic Advance 1.5L.

Hm, harga pun boleh tahan.

Untuk kita yang makan gaji ni, nak-nak pula baru saja mula bekerja dan pendapatan pun hanya RM2,000 sebulan, eloklah sekiranya fikir betul-betul dulu sebelum terus membuat tempahan tu.

Sebab apa? Ha, cuba hadamkan apa yang dikongsi oleh pakar hartanah, Harith Faisal

tentang 10 sebab kenapa individu dengan gaji RM2000 tak patut beli Myvi 2018.

1. Kalau bujang gaji RM2,000 tak payahlah pakai Myvi 2018 tu. Tunggu dululah. Naik motor pun dah okay. Motor biasa ya, bukan superbike idaman anak muda yang mahal gila. Padahal kalau hujan, basah kuyup juga.

2. Harga kereta yang patut kita beli harganya setahun gaji. RM2,000 x 12 baru dapat RM24,000. Beli kereta harga begini. Atau tunggu gaji naik lagi.

3. Kalau dah terbeli, susah nak mula menyimpan 30% gaji untuk tabung deposit rumah. RM2,000 x 30% = RM600. Nak simpan 10% gaji pun belum tentu boleh.

4. Kereta RM500, minyak RM200, tol RM200, servis RM100, sewa bilik RM300, parking RM200, makan RM300, ibu bapa RM200. Duit habis tiada simpanan. Takaful untuk perlindungan langsung tiada.

5. Lain orang berbeza keutamaan. Tapi ramai tak sedar, lebih baik beli rumah dulu barulah kereta. Lainlah kalau kita gaji besar. Setakat Myvi, pandang sebelah mata. DSR pun tak terkesan sangat. Apa-apa pun, buatlah kira-kira.

6. Kalau dah berkahwin, dah ada satu kereta, tak perlu tambah Myvi 2018 kalau pergi kerja pun ikut jalan sama. Pergi kerja sama-sama lebih romantik dan bahagia.

7. Jangan ikut cakap orang suruh beli kereta kedua. Sebab yang lebih faham keperluan keluarga kita bukan mereka tapi kita. Kalau mereka nak tolong bayar, takpa juga.

8. Tabung rumah lebih utama berbanding Myvi 2018, melainkan kita sanggup hidup menyewa lama-lama. Hidup menyewa lama pun takpa sebenarnya, asalkan dah ada rumah lain atas nama kita.

9. Cakap banyak pun tak guna, jom kira berapa gaji minimum patut ada untuk beli Myvi 2018 yang paling murah. RM44,300 / 12 = RM3,691. Ouh, gaji kena RM3,691 rupa-rupanya.

10. Sebelum buat keputusan beli Myvi 2018, fikir dulu beza LAYAK, MAMPU dan PERLU. Kalau semua dah okay, barulah pergi ke showroom dan order, “Bro, bagi gua Myvi 2018 seketul, bungkus ikat tepi”. Haha

Kalau nak ikut stail dan gaya, memanglah model terbaru Perodua Myvi ni stylo habis. Tapi dalam nak bergaya tu pastikan la kena dengan poket dulu. Kata orang, ukur baju di badan sendiri dik. Kalau tak nanti belum akhir bulan dah payah pula nak minta advanced.

 

Published by
Noor Ain Norman