Dengan dua gol yang terhasil dalam masa 95 minit, pasukan ‘underdog’ Kuala Lumpur (KL) City FC telah berjaya menutup mulut majoriti peminat bola sepak Malaysia setelah mereka menewaskan pasukan kegemaran, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada malam ini lantas muncul sebagai juara Piala Malaysia 2021.
Ia setelah gol pertama dijaringkan pada minit ke 65 oleh Zhafri Yahya disusuli gol kedua jaringan kapten pasukan, Paulo Josue pada minit ke 73. KL City kekal mendahului JDT hingga ke akhir perlawanan sebelum wisel penamat ditiupkan.
Selari dengan kejayaan KL City, 10 sejarah telah tercipta pada malam ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Piala Malaysia 2021 menandakan ulang tahun ke-100 pertandingan bola sepak ulung ini. Tak sangka, sudah satu dekad usia Piala Malaysia.
KL City telah menantikan tempoh keramat 32 tahun untuk tiba di perlawanan akhir Piala Malaysia.
Perlawanan malam ini merupakan pertemuan pertama antara KL City dan JDT di pentas akhir Piala Malaysia setelah kedua-dua pasukan melalui penswastaan kelab. Pertemuan terakhir Johor dan Kuala Lumpur di perlawanan akhir Piala Malaysia adalah pada tahun 1985 yang memihak kepada Johor FA.
Kali terakhir Kuala Lumpur (dahulunya dikenali sebagai Kuala Lumpur FA) menjuarai Piala Malaysia adalah pada 1989 iaitu kali terakhir mereka ke perlawanan akhirnya. Pada waktu itu, KL FA telah mencipta kejuaraan hatrik iaitu pada tahun 1987. 1988 dan 1989; ketiga-tiganya dengan menewaskan pasukan Kedah.
Ini adalah kali kedua jurulatih KL City, Bojan Hodak menjulang trofi Piala Malaysia setelah kali terakhir melakukannya bersama pasukan Kelantan pada tahun 2012. Menariknya, Hodak juga pernah mengendalikan JDT dari 2014 hingga 2015 hingga mereka menjuarai Liga Super Malaysia pada tahun 2014.
Malam ini, peminat bola sepak telah menyaksikan penampilan kelapan pemain lagenda negara, Shukor Adan di pentas akhir Piala Malaysia dengan mewakili KL City. Ibarat momen bittersweet, ia juga adlaah penampilan terakhir (dan epik) Shukor Adan biarpun beliau dimasukkan pada minit-minit terakhir. Sekaligus, ia adalah hadiah penutup gemilang dalam karier pemain berusia 42 tahun ini.
Zhafri Yahya yang menjaringkan gol ketiga belasnya untuk KL City pada musim 2021 turut dipilih sebagai Pemain Terbaik malam ini. Menariknya, Zhafri merupakan pemain paling lama yang kekal dalam pasukan KL City setakat ini setelah dia berhijrah dari Selangor sejak 2016.
Sebelum perlawanan akhir malam ini, kedua-dua pasukan tidak mencatatkan sebarang kekalahan sepanjang Piala Malaysia 2021.
Sebaik saja tamat perlawanan akhir malam ini, kedua-dua pasukan terikat dari segi jaringan gol sepanjang Piala Malaysia 2021; masing-masing dengan 19 gol.
Ini merupakan kali pertama pasukan bola sepak tempatan yang dipimpin oleh kapten pasukan bukan warganegara Malaysia memenangi Piala Malaysia. Tentunya, kapten KL City iaitu Paulo Jouse boleh berbangga dengan sejarah yang telah diciptanya. Setakat ini, kapten yang berasal dari Brazil ini telahpun beraksi dengan skuad The City Boys selama lima musim. Jaringan Paulo Jouse malam ini juga merupakan jaringan sulungnya di Piala Malaysia 2021.
ARTIKEL BERKAITAN : Kali Pertama Tercalon, ‘Stadium JDT’ Terus Menang Stadium Of The Year! – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.