10 Tempat Tuntut Duit Khairat Kematian Yang Ramai Tak Tahu

Share

Bila menyebut soal kematian, kehilangan orang tersayang akan membuatkan kita berasa amat sedih. Bayangkan jika yang meninggal itu, kedua ibu bapa, adik beradik, suami atau isteri dan juga anak-anak atau orang yang dekat dan kita sayang.

Namun di sebalik kematian yang akan dirasai oleh setiap makhluk yang bernyawa seperti mana janji Allah taala, mereka yang masih hidup ini perlu meneruskan kehidupan selagi mana hayat tersisa.

Kos pengurusan jenazah mencecah RM1000 ke atas mengikut kawasan – Ustaz Hamdan

Seperti sedia maklum, biaya pengurusan jenazah bukanlah murah. REMAJA sempat menemuramah Pengurus Jenazah Masjid Al-Ikhlasiah Kampung Kerinchi, Jalan Pantai Permai 7, Kuala Lumpur, Ustaz Hamdan Yusof yang memaklumkan kos biaya pengurusan jenazah biasanya meliputi lima perkara iaitu :

  • Kain kapan RM250
  • Mandi jenazah RM200
  • Gali kubur RM500
  • Bacaan talkin RM100
  • Kos penghantaran jenazah ke tanah perkuburan RM100.

“Namun kos ini biasanya berbeza-beza mengikut masjid kariah tempat orang meninggal menetap. Masa yang sama, kos akan meningkat jika seandainya waris meminta menghantar jenazah ke lokasi luar seperti kampung halaman.

“Biasanya kos pengangkutan dikira RM2 bagi satu kilometer (kos ini berbeza mengikut pengurusan masjid). Tol dibiayai oleh waris sendiri dan kita cuma menghantar sahaja seperti mana diminta,”katanya yang berpengalaman luas sebagai pengurus jenazah.

Jika dirujuk kepada kos yang dikeluarkan oleh waris, ternyata pengurusan jenazah bukanlah agak murah. Namun sebagai waris, ada 10 tempat ini boleh pergi jika berlaku kematian khususnya jika yang meninggal itu seorang yang bekerja.

10 lokasi ini telah dikongsikan oleh Sfatyma Idris yang juga seorang Perancang Harta Syariah di mana waris boleh pergi membuat semakan selepas ahli keluarga meninggal dunia di fb miliknya. Sekurang-kurangnya wang ini dapat digunakan untuk waris yang sedia ada.

Tahu tak, ramai waris tak tuntut khairat kematian sebab tak pernah ambik tahu. Akhirnya duit burn macam tu je. Ada yang total hampir RM10k. Rugikan !

Jadi, lepas tahu ni pastikan anda bagitau dekat pasangan & anak-anak supaya mereka boleh tuntut jika berlaku sesuatu pada anda.

Urmm, dah dapat duit tu nanti nak buat apa?

Disebabkan khairat kematian TIDAK dikira sebagai harta pusaka maka terserahlah pada budi bicara waris-waris. Nak guna buat bayar hutang, kenduri tahlil, sedekah atau lain-lain terserah pada waris asalkan untuk tujuan yang baik. Tapi pastikan guna dulu untuk tujuan utama khairat ni dibuat iaitu untuk urusan jenazah. Segala kos pengurusan jenazah guna duit ni. Jika ada waris dahulukan duit mereka, boleh ganti semula. (mengikut budi bicara waris2)

Sini saya kongsikan 10 tempat tuntutan. Pastikan anda baca satu persatu ya. Boleh detect tempat mana waris boleh tuju nanti.

  1. Khairat Kematian Khariah Masjid
    ▪Sekitar Rm 500 – Rm 5,000
    ▪Syarat: si mati menjadi ahli/mencarum di khariah
  2. Khairat Kematian PERKESO
    ▪RM 2,000
    ▪Syarat: si mati menjadi ahli/pernah ada sejarah mencarum PERKESO
  3. Khairat Kematian KWSP
    ▪RM 2,500
    ▪Syarat: si mati ahli/pencarum KWSP
  4. Bantuan Mengurus Jenazah JPA
    ▪RM 3,000
    ▪Syarat: si mati Pesara/Kakitangan Awam
  5. Khairat Kematian Bank Rakyat
    ▪RM 3000
    ▪Syarat: si mati ada akaun Bank Rakyat
  6. Khairat Kematian ASNB
    ▪RM 200 – RM 2,000
    ▪Syarat: bayaran ikut baki pelaburan terakhir si mati
  7. Khairat Kematian Skim Takaful
    ▪RM 2,000 – RM 5,000
    ▪Syarat: si mati pencarum takaful
  8. Khairat Kematian Persatuan Berdaftar/NGO/Koperasi
    ▪RM 500 – RM 5,000
    ▪Syarat: si mati adalah ahli berbayar persatuan/NGO/Koperasi
  9. Khairat Kematian Pencen
    ▪RM3000
  10. Lain-lain
    Mungkin ada lagi khairat kematian lain yang boleh dituntut bukan hanya di tempat-tempat yang dinyatakan diatas. Boleh search.

Mereka yang segerakan proses tuntutan pusaka biasanya akan diberitahu jika ada khairat kematian. Waktu nak urus, perlu jumpa pegawai, jadi waktu tu biasa pegawai akan beritahu jika mereka ada sediakan khairat kematian.

Macam mana nak tuntut?

Bawa sijil mati, sijil nikah, pengenalan diri di tempat yang berkenaan. Seeloknya mohon sebaik sahaja berlaku kematian. Jangan ditangguh.

Sfatyma Idris
Ambil cakna untuk mudahkan waris-waris.

Silakan #share supaya lebih ramai tahu kewujudan khairat pusaka ni.

Sumber fb : Sfatyma Idris

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros