11 Puncak Gunung & Bukit Ditawan Siswa, Pelajar & Guru Sempena Merdeka 2022

Share

 

Bersempena hari kemerdekaan pada 31 Ogos 2022 semalam, seramai 459 orang yang terdiri daripada siswa jurusan pendidikan, pelajar sekolah dan guru telahpun memilih untuk memanfaatkan hari cuti dengan menawan 11 puncak gunung dan bukit secara serentak pada hari yang sama.

Aktiviti tersebut merupakan sebahagian daripada Misi Pendakian Merdeka i-Guru 2022 yang dianjurkan oleh persatuan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru).

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, pendakian serentak itu membabitkan lokasi seperti Bukit Suling di Pulau Pinang, Bukit Semanggol di Perak, Shah Alam Backyard Trail di Selangor, Bukit Kiara di Kuala Lumpur, Gunung Datuk di Melaka dan Bukit Batu Putih di Negeri Sembilan.

Sementara itu, dua lagi bukit berasingan telahpun didaki pada hari Sabtu dan Ahad lalu; iaitu Bukit Kechubung di Kedah dan Bukit Tunggal di Perak.

Foto : Ihsan Mohd Azizee Hasan
Foto : Ihsan Mohd Azizee Hasan

Di samping memperolehi kepuasan apabila berjaya menawan puncak-puncak tersebut, peserta juga menyemarakkan rasa patriotik dalam diri dan kumpulan masing-masing dengan melaungkan kemerdekaan serta mengibar Jalur Gemilang.

Ia secara tidak langsung menanam makna kemerdekaan yang lebih mendalam pada diri peserta dan memastikan generasi muda terus meluangkan masa terluang dengan menjaga kecergasan fizikal.

Foto : Ihsan Mohd Azizee Hasan

Tambah Mohd Azizee lagi, besar kemungkinan program Misi Pendakian Merdeka i-Guru ini bakal dijadikan acara tahunan setiap kali tibanya sambutan Hari Kebangsaan dan berharap agar lebih ramai peserta yang dapat menceburinya pada edisi akan datang.

Menarik kan! Haa, siapa kata kita hanya boleh menyaksikan percikan bunga api, konsert hiburan dan perarakan kereta berhias sahaja pada Hari Kebangsaan?

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ