Hiburan

12 Drama Korea November 2024 Wajib Dalam List : Dari Kisah Cinta Hingga ‘Thriller’!

Share

Drama Korea semakin popular dan menarik perhatian ramai dengan jalan cerita yang unik serta pelakon yang berbakat.

Untuk bulan November 2024 ini, 10 drama Korea terbaru yang menanti untuk anda tonton. Dari kisah cinta yang menyentuh hati hingga thriller yang mendebarkan. Drama-drama ini akan bersiaran di pelbagai platform, jadi pastikan anda tidak terlepas!

1. Brewing Love

Tarikh Tayangan: 4 November 2024
Penyiar: ENA | Viu Malaysia | Viki
Barisan Pelakon: Kim Sejeong, Lee Jong Won

Komedi romantik akan datang, Brewing Love, menampilkan Kim Se-jeong sebagai Chae Yong-joo, seorang bekas anggota pasukan khas dalam tentera yang kini bekerja sebagai jurujual terkemuka di sebuah syarikat minuman keras. Setelah enam tahun bekerja di syarikat tersebut dan menjadi jurujual terbaik, dia memulakan misi untuk menjual bir baru demi menyelamatkan cawangannya daripada ditutup.

Dalam misi ini, dia bertemu dengan Yoon Min-joo (Lee Jong-won), CEO dan pembrew yang mencipta bir baru itu. Seorang lelaki sensitif yang peka terhadap emosi orang lain, Min-joo menjalani kehidupan yang tenang di kawasan luar bandar. Namun, Yong-joo mula membawanya keluar dari kepompongnya.

2. Face Me

Tarikh Tayangan: 6 November 2024
Penyiar: KBS2
Barisan Pelakon: Lee Min Ki, Han Ji Hyun, Lee Yi Kyung, Jeon Bae Su

Face Me mengisahkan Cha Jung-woo (Lee Min-ki), seorang pakar bedah plastik terkenal yang berada di puncak kerjayanya. Pernah berkhidmat sebagai doktor kecemasan, Jung-woo beralih menjadi pakar bedah plastik selepas kematian kekasihnya, menyebabkan dia mula menjauhkan diri secara emosi daripada pesakitnya. Namun, apabila seorang pesakit meninggal dunia tanpa sebab yang jelas dan mencemarkan reputasinya, Jung-woo terpaksa menyertai inisiatif tanggungjawab sosial hospital untuk membantu mangsa jenayah.

Sepanjang program ini, dia sering bertemu dengan Lee Min-hyung (Han Ji-hyun), seorang detektif muda yang berani dan penuh keyakinan, yang berdedikasi dalam membantu mangsa. Walaupun personaliti mereka pada awalnya bertentangan, pasangan ini akhirnya semakin rapat, dan Min-hyung belajar lebih banyak tentang masa lalu Jung-woo yang menyakitkan.

Siri ini menjanjikan penyelesaian jenayah yang penuh debaran dengan kedalaman emosi, memaparkan elemen pembedahan plastik sebagai alat penyelesaian jenayah—memberikan sentuhan baru dalam genre thriller jenayah.

3. Gangnam B-Side

Tarikh Tayangan: 6 November 2024
Penyiar: Disney+ Hotstar
Barisan Pelakon: Jo Woo Jin, Ji Chang Wook, BiBi, Ha Yoon Kyung

Gangnam B-Side adalah sebuah thriller jenayah yang berlatarbelakangkan daerah Gangnam di Seoul. Drama ini mengisahkan siasatan tentang kehilangan orang yang berkaitan dengan kehidupan malam di Gangnam, khususnya seorang pekerja bar bernama Kim Jae-hee (BIBI) yang hilang setelah mendedahkan rahsia berbahaya.

Siri ini memperkenalkan sekutu yang tidak disangka-sangka, termasuk Kang Dong-woo (Jo Woo-jin), seorang detektif yang terasing dari keluarganya dan diasingkan oleh rakan-rakannya setelah mengetuai operasi membongkar rasuah dalam pasukan polis. Kang Dong-woo berpindah ke sebuah pos luar bandar yang tenang, tetapi terpaksa kembali ke dunia gelap di Gangnam setelah Jae-hee dilaporkan hilang.

Bersama Kang Dong-woo dalam pencarian itu ialah Min Seo-jin (Ha Yoon-kyung), seorang pendakwa raya yang memutuskan untuk mengambil kes tersebut, dan Yoon Gil-ho (Ji Chang-wook), seorang penjenayah terkenal yang beroperasi di Gangnam. Setiap watak mempunyai motif yang berbeza untuk mencari kebenaran.

Disutradarai oleh Park Noo-ri, siri ini menawarkan aksi dan debaran yang mendalam, menggabungkan latar bandar yang gelap dengan dinamik watak yang kompleks.

4. Mr. Plankton

Tarikh Tayangan: 8 November 2024
Penyiar: Netflix
Barisan Pelakon: Woo Do Hwan, Jung Yoo Mi, Oh Jung Se, Kim Hae Sook

Mr. Plankton mengisahkan Hae Jo (Woo Do-hwan), seorang lelaki muda yang merantau tanpa keluarga. Semasa mencari keluarga asalnya, dia bertemu dengan Jo Jae-mi (Lee Yoo-mi), wanita paling malang di dunia.

Jae-mi sepatutnya berkahwin dengan Eo Heung (Oh Jung-se), seorang pewaris syarikat makanan besar yang diketuai oleh ibunya, Beom Ho-ja (Kim Hae-sook). Walaupun keluarganya tidak menyukai Jae-mi, mereka akhirnya membenarkan perkahwinan itu setelah Eo Heung memberitahu bahawa Jae-mi sedang mengandung. Namun, pada hari perkahwinan mereka, Jae-mi melarikan diri bersama Hae Jo.

5. The Fiery Priest 2

Tarikh Tayangan: 8 November 2024
Penyiar: SBS | Disney+ Hotstar Malaysia
Barisan Pelakon: Kim Nam Gil, Honey Lee, Kim Sung Kyun, BiBi

Sekuel kepada The Fiery Priest yang ditayangkan pada tahun 2019 ini meneruskan kisah Kim Hae-il (Kim Nam-gil), seorang paderi Katolik yang cepat marah. Dalam usaha menyiasat kes jenayah dadah yang bermula di Seoul, Hae-il pergi ke Busan. Dia dibantu oleh pendakwa raya Park Kyung-sun (Lee Ha-nee), detektif polis Seoul Gu Dae-young (Kim Sung-kyun), dan pegawai polis Busan Gu Ja-young (BIBI) dalam penyiasatannya

6. Social Savvy Class 101

Tarikh Tayangan: 10 November 2024
Penyiar: Cinema Heaven (Web Drama)
Barisan Pelakon: Kim Woo Seok, Kang Na Eon, Choi Geon

Social Savvy Class 101” mengikuti kisah Kim Ji Eun (Kang Na Eon), seorang pelajar pendiam yang menjadi pengurus aplikasi komuniti “Insider Time,” tempat semua rahsia sekolah disimpan. Hubungannya dengan kumpulan popular di sekolah, termasuk Kang Woo Bin (Kim Woo Seok), seorang pelajar popular dengan rahsia tersembunyi, membawa kepada cinta rahsia. Di samping itu, Lee Dong Min (Choi Geon), kawan lama Ji Eun yang berpindah ke sekolah dengan rahsianya sendiri, menambah ketegangan dalam cinta tigasegi antara mereka. Watak-watak lain seperti Mo Bong Gu (Son Dong Pyo), sumber berita ceria sekolah, dan Min Seol Hee (Han Chae Rin), ‘dewi’ sekolah yang mempesonakan, melengkapkan barisan pelakon dalam drama penuh misteri ini.

7. Marry You

Tarikh Tayangan: 16 November 2024
Penyiar: Channel A | Netflix
Barisan Pelakon: Lee Yi Kyung, Jo Soo Min, Junhoe iKON,

Lee Yi-kyung membintangi drama romantik-komedi akan datang, Marry You, sebagai Bong Cheol-hui, seorang bujang dari pulau terpencil yang bercita-cita untuk berkahwin. Namun, dia menghadapi kesukaran untuk mencari pasangan kerana tinggal bersama anak saudara kembar dan penampilannya yang kurang menarik.

Jung Ha-na (Jo Soo-min) adalah seorang penjawat awam yang tidak percaya kepada perkahwinan dan ingin kekal bujang. Melalui satu kejadian yang tidak dijangka, Ha-na dihantar sebagai sebahagian daripada program “galakan perkahwinan” untuk membantu Bong Cheol-hui. Kedua-duanya sering berkonflik kerana pandangan mereka yang berbeza tentang cinta dan komitmen.

Siri ini bertujuan meneroka tekanan masyarakat mengenai perkahwinan sambil menonjolkan pilihan peribadi dengan cara yang santai dan menghiburkan.

8. Parole Examiner Lee

Tarikh Tayangan: 18 November 2024
Penyiar: tvN
Barisan Pelakon: Go Soo, Kwon Yuri, Lee Hak Joo

Parole Examiner Lee mengikuti cerita Lee Han Shin (Go Soo), seorang pegawai parol yang berhadapan dengan dunia jenayah, keadilan, dan pemulihan yang kompleks. Sebagai pemeriksa parol, Han-Shin bertanggungjawab menilai kelayakan banduan yang memohon parol, sebuah tugas yang penuh dengan dilema moral dan etika. Siri ini menyelami tema keadilan, penebusan, dan kemampuan manusia untuk berubah, menggabungkan drama undang-undang dengan elemen debaran ketika Han Shin mengungkap kemungkinan rasuah dalam sistem.

Siri ini juga dibintangi Kwon Yuri (Girls’ Generation) sebagai An Seo Yun, seorang detektif cemerlang yang berusaha menangkap penjenayah untuk menjadikan dunia tempat yang lebih baik. Lee Hak Joo pula memainkan watak Ji Myeong Seob, seorang pewaris kaya dari keluarga chaebol yang angkuh dan berani.

Drama ini dijangka menawarkan gabungan adegan mahkamah yang mendebarkan dan kedalaman emosi, sambil memeriksa kehidupan banduan, mangsa, dan keluarga mereka melalui perspektif proses parol.

9. When the Phone Rings

Tarikh Tayangan: 22 November 2024
Penyiar: MBC | Netflix
Barisan Pelakon: Yoo Yeon Seok, Chae Soo Bin, Huh Nam Jun, Jang Gyuri

When the Phone Rings adalah sebuah thriller politik yang menampilkan Yoo Yeon-seok sebagai Baek Sa-eon, jurucakap presiden dan bekas wartawan perang dari keluarga politik yang terkenal. Dia berkahwin dengan Hong Hui-joo (Chae Soo-bin), anak perempuan pemilik akhbar dan seorang jurubahasa isyarat yang mengalami ketidakupayaan untuk bercakap akibat kemalangan semasa kecil.

Walaupun pasangan ini dilihat sempurna di mata masyarakat, perkahwinan mereka sebenarnya adalah perkahwinan yang dibuat untuk kepentingan. Di dalam kehidupan peribadi mereka, mereka jarang berinteraksi dan tidak mempunyai hubungan yang erat. Suatu hari, seorang lelaki tidak dikenali menculik Hui-joo dan mengubah hidup mereka secara drastik.

Berdasarkan webtoon dengan nama yang sama, siri ini meneroka kompleksiti cinta dan komunikasi.

10. Love Your Enemy

Tarikh Tayangan: 23 November 2024
Penyiar: tvN | Disney+ Hotstar
Barisan Pelakon: Ju Ji Hoon, Jung Yu Mi

Pengarah pengurusan pembinaan Seok Ji-won (Ju Ji-hoon) dan guru pendidikan jasmani Yoon Ji-won (Jung Yu-mi) dilahirkan pada hari yang sama di bandar yang sama. Namun, mereka berasal dari keluarga yang bermusuhan dan terlibat dalam persaingan sengit semasa di sekolah.

Apabila mereka dewasa, Seo Ji-won kembali ke kampung halamannya sebagai CEO syarikat pembinaannya. Dia mendapati Yoon Ji-won telah menjadi lebih tenang selepas melalui pelbagai kesukaran. Namun, selepas mereka bertemu semula, sifat keras kepala Yoon Ji-won mula muncul kembali.

11. The Trunk

Tarikh Tayangan: 29 November 2024
Penyiar: Netflix
Barisan Pelakon: Gong yoo, Seo Hyun Jin

The Trunk mengisahkan kehidupan Noh In Ji, ketua agensi perkhidmatan perkahwinan bernama NM yang membantu pelanggan mendapatkan kehidupan perkahwinan dengan pasangan impian mereka, dan Han Jung Won, seorang penerbit muzik. Kedua-dua mereka tidak bersetuju dengan konsep perkahwinan. Walaupun karier Noh In Ji berkisar di sekeliling perkahwinan, dia lebih suka untuk kekal bujang, sementara Han Jung Won percaya bahawa semua perkahwinan adalah penipuan.

12. The Tale of Lady Ok

Tarikh Tayangan: 30 November 2024
Penyiar: JTBC | Netflix | Viu Malaysia
Penyiar : K-Plus Asia Astro Ch396 & Astro GO
Barisan Pelakon: Lim Ji Yeon, Choo Young Woo, Kim Jae Won, Yeon Woo

The Tale of Lady Ok adalah sebuah drama sejarah yang mengisahkan kehidupan Ok Tae-Young, dilakonkan oleh Lim Ji-Yeon, seorang wanita dalam Dinasti Joseon yang menyamar identiti dan statusnya untuk bertahan dalam masyarakat yang penuh dengan hierarki sosial. Cerita ini mengikuti perjalanan beliau sebagai seorang hamba wanita yang mengambil identiti palsu, termasuk mencipta perkahwinan rekaan. Cheon Seung-Hwi, yang dilakonkan oleh Choo Young-Woo, adalah anak dari keluarga terkemuka yang terpesona dengan beliau dan sanggup mempertaruhkan segalanya untuk melindungi wanita itu.

Dengan naratif yang menarik dan lakonan mantap daripada pelakon utama, The Tale of Lady Ok dijangka menjadi kegemaran peminat K-drama yang menginginkan penerokaan tentang cinta dan kelangsungan hidup yang kaya pada masa lalu.

Jadi, untuk peminat drama Korea, jangan lepaskan peluang untuk menonton drama-drama terbaru ini! Namun, perlu diingat bahawa setiap siaran drama ini mungkin tertakluk kepada sebarang perubahan oleh rangkaian penyiaran yang berkaitan. Penulis akan sentiasa mengemaskini jika terdapat sebarang perubahan. Happy watching, gais!

BACA LAGI : Pemain Tempatan Termahal, Nilai Arif Aiman Kini Mencecah RM2.82 Juta

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagramTikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana