Masyarakat hanya membaca berita tanpa tahu tugas sebenar bagaimana wartawan mendapatkannya.
Jika dibandingkan dengan kerjaya lain, harus diketahui bukan mudah untuk wartawan mendapatkan bahan berita. Perlu lakukan penyiasatan, penyamaran dan dalam sesetengah berita perlu berada di lokasi negara terlibat biar diri terdedah kepada ancaman bahaya. Ini semua dilakukan demi memastikan berita disiarkan benar-benar menepati selera masyarakat.
Minggu ini, dunia baru meraikan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia. Ia satu peluang untuk meraikan kebebasan akhbar selain untuk memberi penghormatan kepada wartawan yang telah kehilangan nyawa mereka di tempat kerja. Untuk makluman, Malaysia antara negara yang mengamalkan kebebasan media.
Era dunia digital tanpa sempadan, perkembangan berita palsu semakin berleluasa. Semuanya mahu menjadi wartawan tanpa tahu etikannya. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan “kewartawanan bebas dan profesional tidak pernah menjadi lebih penting kerana akauntabiliti dan kredibiliti media yang ada dalam soalan”.
Menurut Pollup World Poll pula, persepsi masyarakat tentang kebebasan media paling tinggi terjadi di Eropah Barat dan Denmark, Norway, Finlandia, Switzerland, Belanda, Ireland dan Sweden khususnya.
Tapi di sebalik kebebasan media yang dicanangkan, kes pembunuhan wartawan yang membongkar berita khususnya kegiatan jenayah tidak terlepas menjadi mangsa ancaman kongsi gelap yang menaruh dendam.
Baru-baru ini, 10 orang telah ditangkap berhubung kes pembunuhan wartawan, Daphne Caruana Galizia yang dibunuh dalam satu serangan bom kereta pada 16 Oktober lalu.
Negara perang, Syria menjadi tempat paling tidak selamat buat wartawan yang membuat liputan berita di negara ini kerana 86 orang wartawan telah mati dibunuh sejak perang bergolak.
Selain Syria, Iraq juga mencatat kematian kedua tertinggi seramai 46 orang. Ini diikuti Mexico, Somalia, Pakistan serta beberapa buah negara seluruh dunia yang turut tersenarai banyak melibatkan pembunuhan terhadap wartawan.
Untuk budak journalism dan boardcast, ini mungkin cabaran kerja dan sedikit ilmu pengetahuan untuk sama-sama kita hadapi. Memang ajal di tangan Allah SWT tetapi seperti kata seorang ustaz, tiada siapa yang mahu keluar bekerja untuk mati. Betul tak?
Pada 2009, lelaki bersenjata telah membunuh 32 wartawan di wilayah Maguindanao yang sebahagian penduduknya beragama Islam selain turut mengorbankan 25 orang awam.
Peristiwa ini dikenali sebagai “pembunuhan beramai-ramai Maguindanao” dan masih dikenang sehingga ke hari ini kerana ia peristiwa paling dahsyat untuk wartawan di dunia ini.
Media tempatan melaporkan, pembunuhan itu bermotifkan politik kerana dikatakan mempunyai kaitan dengan calon gabenor yang akan bertanding dalam pilihan raya dengan penyandangnya, Andal Ampatuan.
Jurukamera BERNAMA, Noramfaizul Mohd Nor merupakan wartawan pertama dari Malaysia yang mati ketika membuat liputan kerja. Allahyarham maut akibat terkena tembakan peluru sesat (tembakan curi) semasa mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia pada 2 September 2011. Beliau adalah wartawan Malaysia pertama terbunuh ketika membuat liputan di luar negara.
Seorang wartawan tempatan yang melaporkan tentang keganasan kumpulan dadah di negara Mexico telah mati ditembak. Javier Valdez, 50, yang juga penulis sambilan bagi agensi berita AFP khabarnya telah mati dibunuh.
Valdez yang juga pemenang Anugerah Kebebasan Media Antarabangsa anjuran Jawatankuasa Perlindungan Wartawan (CPJ) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) merupakan wartawan kelima yang ditembak mati di Mexico pada tahun ini. Ternyata kerjaya ini benar-benar mencabar.
Dalam pada itu, Stesen berita Al-Jazeera melaporkan salah seorang wartawan bebas terbunuh di utara Syria hari ini dalam satu serangan udara oleh tentera Rusia menyokong Presiden Syria, Bashar al-Assad.
Ibrahim al-Omar, yang membuat liputan untuk siaran langsung Al-Jazeera Mubasher terbunuh dalam serangan udara tersebut di bandar Termanin. Sejak 2011, sebanyak enam orang pekerja Al-Jazeera terbunuh ketika membuat liputan mengenai konflik Syria dan yang terakhir merupakan seorang jurugambar, Zakaria Ibrahim ditembak mati oleh penembak tepat.
Dalam senarai tahun lepas, wartawan yang paling muda terbunuh ialah Luis Emanuel Ruiz Carrilo dari La Prensa, berusia 21 tahun, yang diculik dan dibunuh dipercayai oleh anggota kartel dadah di Mexico. Wartawan paling tua terkorban ialah Paul Lockyer dari Australia, Rafik Tagi dari Azerbaijan dan Phamon Phonphanit dari Thailand, kesemuanya berusia 61 tahun.
Seorang wartawan dan seorang jurukamera, Alison Parker, 24, dan jurukamera Adam Ward, 27, yang sedang bersiaran secara langsung terbunuh apabila mereka diserang dalam satu insiden tembakan di Roanoke, Virginia, Amerika Syarikat. Berita ini nyata mengejutkan rakan mereka mereka berada di studio.
Biar apa pun yang terjadi, namun semangat rakan-rakan wartawan ini memang patut disanjung. Semoga keberanian mereka menjadi inspirasi buat kita dan korang yang baru nak memulakan kerjaya ini dimasa depan.