14 Jun Hari Penderma Darah Sedunia, Ini 6 Kelebihan Menderma Darah

Share

Tahukah korang bahawa satu pain darah yang mengandungi kira-kira 450 ml darah boleh menyelamatkan tiga nyawa? Mungkin ramai yang tidak tahu tentang fakta ini dan kerana itu juga pentingnya aktiviti menderma darah bagi mendapatkan bekalan secukupnya.

Malah, setiap tahun, 14 Jun telah dai pilih dan diisytiharkan sebagai Hari Derma Darah Sedunia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, bagi menggalakkan masyarakat menderma darah untuk menyelamatkan mereka yang memerlukan.

Menerusi perkongsian Facebook KKM hari ini turut menyatakan tema tahun ini : ‘Derma Darah, Kukuhkan Perpaduan’

 

 

Gambar Via Facebook KKM

Terdapat banyak kegunaan darah antaranya menyelamatkan nyawa semasa pembedahan, mangsa kemalangan, merawat pesakit leukemia, barah, pesakit jantung, penyakit hati, hemophilia dan lain-lain.

Berikut adalah sebab mengapa korang patut menderma darah:

Foto Via Sinar Harian

1. Menderma darah bukan hanya dapat membantu pesakit yang memerlukannya, tetapi dapat menjaga kesihatan si penderma

Sebelum menderma darah, petugas perubatan di pusat derma darah akan memberikan anda pemeriksaan kesihatan secara ringkas. Mereka akan memberitahu anda beberapa petunjuk penting seperti kumpulan darah, tekanan darah, tahap kolesterol, dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, darah yang diderma akan ditapis terlebih dahulu untuk mengenalpasti jika terdapat sebarang jangkitan virus, seperti HIV, sifilis, hepatitis dan sebagainya.

2. Menderma darah mengurangkan risiko sakit jantung 

Sejak 30 tahun lalu, penyakit jantung merupakan penyebab kematian nombor satu di Malaysia. Walau bagaimanapun, dengan menderma darah, dapat mengurangkan risiko serangan jantung dan penyakit jantung.

Ini kerana penyakit jantung dikaitkan dengan kandungan zat besi di dalam darah dan zat besi yang berlebihan akan menjadikan darah pekat dan mengakibatkan kerosakan arteri dalam jangka panjang. Jadi, jika menderma darah, akan mengeluarkan zat besi daripada tubuh serta mengekalkan kecairan darah yang sesuai untuk kesihatan arteri.

3. Menderma darah juga mengurangkan risiko terhadap penyakit kanser

Kanser adalah penyakit yang paling ditakuti oleh orang ramai bahkan di malaysia sahaja, jumlah kes kanser didapati semakin meningkat. Risiko kanser meningkat setiap kali kita mengambil makanan yang tidak berkhasiat dan menghirup udara yang tercemar akan tetapi dengan menderma darah secara berkala, boleh mengurangkan risiko kanser pada bahagian usus, perut, hati dan tekak.

4. Menderma darah dapat membakar kalori di dalam badan

Kajian mendapati menderma darah dapat membakar 650 kalori dalam badan seseorang dalam satu sesi; membantu penderma mengurangkan berat badan, kekal sihat dan ramping, serta mencegah obesiti.

Namun begitu, menderma darah ada hadnya di mana penderma hanya boleh menderma sekali dalam tiga bulan, bergantung kepada status kesihatan, hemoglobin darah dan tahap zat besi penderma.

5. Menderma darah dapat menggantikan sel-sel darah yang baru 

Bukan itu sahaja, menderma darah turut mengurangkan jumlah sel darah merah di dalam tubuh anda dan memaksa sumsum tulang untuk menghasilkan sel baru. Tubuh anda akan menjadi lebih bertenaga, dapat berfungsi dengan lebih baik dan badan berasa lebih segar!

6. Menderma darah dapat menyatukan manusia sejagat

Inilah sebab paling utama untuk menderma darah bahawasanya ia mengingatkan kita bahawa sesungguhnya kita semua adalah sama. Kepelbagaian budaya dan perbezaan sosial bukanlah menjadi satu faktor apabila berhadapan dengan kecemasan, terutamanya yang melibatkan rawatan perubatan.

Dengan menderma darah, kita dapat menyelamatkan nyawa tanpa mengira agama, budaya dan juga boleh dianggap sebagai suatu sedekah, dan terdapat pahala dalam bersedekah.

Sumber Gambar : My Health

Oleh itu, jadikanlah aktiviti menderma darah sebagai satu rutin setiap 3 bulan, kerana banyak manfaat yang boleh diperoleh darinya!

**

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana