Segalanya bermula pada bulan April lalu..
Nusrat Jahan Rafi, 19 hanyalah seorang pelajar di Bangladesh, sama seperti remaja seusianya.
Namun tiada siapa menyangka dia tidak sempat menginjak ke usia 20 tahun selepas mati di tangan 16 orang suspek.
Semuanya gara-gara keberanian Nusrat untuk berdepan dengan pengetua sekolahnya, Siraj Ud Doula selepas beliau melakukan pencabulan seksual terhadapnya.
Mac lalu, remaja itu membuat laporan polis terhadap pengetuanya. Namun mengikut satu klip video yang tersebar, ia jelas menunjukkan ketua balai polis menganggap kes ini sebagai “bukan perkara yang besar”.
Apa berlaku seterusnya amat mengerikan.
Demi menjaga air muka, pengetua itu didakwa telah mengecaj sekumpulan remaja untuk memeras ugut Nusrat agar dia menarik balik pertuduhannya itu.
Apabila remaja itu berkeras kepala untuk tidak melakukannya, badan Nusrat yang sedang terikat disimbah dengan minyak kerosin dan dibakar hidup-hidup di atas bumbung sekolahnya.
Semua ini berlaku di sebuah bandar kecil kira-kira 160km dari Dhaka.
Walaupun terseksa, Nusrat enggan menyerah kalah. Setelah kain yang mengikatnya itu terbakar, dia berlari mencari bantuan dan akhirnya dibawa ke hospital dengan tubuh yanh telah 80 peratus terbakar.
Kes ini menjadi tular di Bangladesh apabila abangnya merekod video penjelasan Nusrat mengenai apa yang baru saja terjadi dan menamakan 16 orang penyerang yang terlibat, semasa dalam perjalanan ke hospital.
“Cikgu itu menyentuh saya, saya akan melawan jenayah ini hingga nafas terakhir saya.”
Suspek cuba untuk menggambarkan Nusrat sebagai remaja yang ingin membunuh diri, tetapi pelan tersebut gagal apabila Nusrat berjaya melepaskan diri.
Malangnya, mangsa meninggal dunia 5 hari kemudian di hospital akibat badan yang terbakar teruk.
*
Semalam, kes ini berjaya membuktikan kesalahan kesemua suspek, pengetua dan 2 orang pemimpin parti politik iaitu Ruhul Amin dan Maksud Alam.
Kematian Nusrat tidak berakhir dengan sia-sia. Ia membangkitkan kesedaran terhadap kes cabul dan gangguan seksual di Bangladesh.
Malah, orang ramai mengadakan perhimpunan selama 4 hari di Dhaka untuk mencari keadilan terhadapnya.
Kerajaan Bangladesh juga mengarahkan 27,000 buah sekolah untuk memulakan komiti khas bagi menghindarkan keganasan seksual dalam kawasan sekolah.