16 Tahun Tapi Belum Period! Pakar O& G Beritahu Risiko Bila Dewasa Nanti

Share

Haid atau datang bulan adalah kitaran normal bagi seorang remaja. Ada di kalangan kawan-kawan yang mengalami period seawal usia 10 tahun lagi dan jika korang belum lagi mengalaminya, jangan risau kerana proses tumbesar dan hormon individu berbeza antara satu sama lain. Ada yang datang haid ketika memasuki sekolah menengah dan tak kurang juga mengalaminya pada usia 15 tahun.

Ada mitos mengatakan lagi lambat datang haid, lagi korang akan nampak muda? Kalau korang pernah dengar mitos ini tapi ia sebenarnya tidak disahkan langsung oleh Pakar Obstestrik & Ginekologi, Dr Noorashikin Maan dari KPJ Ipoh Specialist Hospital kerana belum ada kajian mengenainya.

Namun sebagai remaja, ada sesuatu yang patut korang sangat risaukan kalau pada usia 16 tahun, korang belum datang haid?

Apa risiko tidak datang haid pada usia ini?

Menurut Dr Noorashikin Maan, usia 16 tahun atau semasa dalam tingkatan empat, adalah tempoh paling akhir seorang remaja didatangi haid. Jika pada usia ini korang belum sekalipun mengalami haid, sila baca dengan teliti risiko yang bakal dihadapi apabila menempuh alam dewasa.

“Usia 16 tahun adalah tempoh akhir period dialami. Kalau belum juga datang period, segeralah berjumpa doktor pakar sakit puan dan perbidanan dengan kadar segera tanpa bertangguh. Sebabnya, jika ditangguh lebih lama, apabila meningkat usia dewasa, kita tak akan berpeluang untuk MENGANDUNG atau ada anak langsung.

Ditanya apakah masalah remaja yang tidak datang period, Dr Noorashikin menjelaskan ada lima sebab utama.

“Pertamanya tubuh TERLALU KURUS kerana masalah pemakanan. Masa yang sama terlalu AKTIF BERSUKAN. Bila keduanya bergabung, lemak yang kurang di dalam tubuh badan akan memberi masalah kepada hormon sehingga melewatkan masalah datang haid.

“Keduanya, remaja itu ada halangan seperti tisu atau SEPTUM

di saluran reproduksi di mana (tisu seperti daging yang menutup saluran liang faraj) sehingga mengakibatkan darah haid tidak boleh mengalir keluar.

“Ketiganya, SELAPUT DARA TIADA BUKAAN. Untuk makluman, semua anak gadis mempunyai selaput dara tapi bukan semua dalam keadaan normal, Keadaan ini dipanggil imperforate hymen (selaput dara tertutup terus) dan menghalang darah haid keluar.

Tambah Dr Noorashikin lagi, masalah keempat melibatkan sistem reproduktif  tidak berkembang. Ia disebut sebagai Mullerian Agenesis (ovari tidak berkembang) kerana kecacatan sejak lahir.

“Terakhir adalah terdapat kecacatan pada kromosom. Biasanya hal akhir ini berlaku apabila pemeriksaan teliti dilakukan. Kes yang paling kerap ditemui adalah Turner Syndromes dengan kromosom, 45 X0. Dalam kes begini, remaja ini biasanya tidak mempunyai tanda-tanda awal kewanitaan seperti tiada bulu di ari-ari (bulu kemaluan) serta bulu pada bahagian ketiak dan pertumbuhan payudaranya sangat kecil tidak sama seperti remaja perempuan lain. Kes lain adalah seperti Androgen Insensitivity disebut kecacatan sejak lahir iaitu seseorang yang dilahirkan mempunyai genetik lelaki (xy) namun luarannya seperti seorang perempuan malah mempunyai alat kelamin perempuan,” katanya ketika dihubungi.

Menjawap satu soalan lain, bagaimana jika datang period tapi agak jarang-jarang (bukan mengikut urutan berkala secara bulanan)?

Menjelaskan hal ini, jika seorang itu datang period tidak tetap dan bukan berkala, pemeriksaan juga wajib dilakukan.

“Memang ada kes di mana remaja datang period tapi bukan setiap bulan. Pemeriksaan perlu dilakukan dengan lebih lanjut, untuk mengetahui puncanta. Dalam keadaan biasa, doktor mungkin akan memberikan ubat-ubatan yang bersesuaian. Jangan pandang remah hal period kerana apabila berkahwin kelak, hal kesuburan inilah yang menentukan peluang sama ada seseorang itu mampu mengandung atau pun tidak,”katanya lagi.

Published by
Almaswa Haji Che Ros