Fesyen dan Anugerah Juara Lagu sememangnya berpisah tiada.
Sepanjang penganjuran Anugerah Juara Lagu (AJL) selama 38 edisi, pelbagai jenis fesyen dan gaya solekan pernah mewarnai pentas berprestij industri muzik tempatan itu. Rata-rata edisi pasti mempunyai sekurang-kurangnya satu dua gaya ikonik yang akan kekal diingati dan disebut-sebut biarpun bertahun-tahun telah berlalu. (Hello gaun hati berlampu Ramlah Ram dari Juara Lagu 1988!).
Edisi ke-38 yang baru sahaja melabuhkan tirainya 3 Mac lalu tidak terkecuali apabila beberapa fesyen unik yang digayakan oleh para pesertanya berjaya mencuri perhatian sehingga menjadi topik perbualan tular di media sosial.
Antara yang diperkatakan tentulah gaya menyerlah pelantun lagu Astana, Ernie Zakri yang juga merupakan persembahan penutup penuh gemilang.
Seperti tahun-tahun sudah, Ernie kekal setia dengan pereka fesyen duo, AMAZE bagi melunaskan gayanya di pentas AJL. Namun kali ini, Ernie tampil sedikit berbeza apabila persalinan serba merahnya dengan perincian lipatan fabrik (pleats) bukan hanya tampak elegan lagi menyelesakan.
Bahkan, gaya Ernie juga disebut-sebut dek aksesori berbentuk ‘hijab helmet’ dengan perincian manik kemas bagi melengkapi konsep sebagai pahlawan wanita yang bersedia untuk berjuang.
Ketika dihubungi REMAJA, penata gaya hijabnya, Nazrul Anas yang lebih mesra dengan pena media sosialnya, @nazlivingastyle berkongsi bahawa persalinan kali ini adalah buah minda Ernie sendiri baik dari segi baju, solekan hinggalah ke gaya hijabnya.
Utus pemenang kategori Vokal Terbaik AJL ke-32 dan AJL ke-35 itu, beliau ingin tampil ibarat pahlawan feminis dan seorang goddess di atas pentas. Ia bersesuaian dengan mesej Astana yang mengajak wanita agar bangkit semula, ibarat burung phoenix yang mengepakkan sayapnya dari celahan abu yang membukit.
ARTIKEL BERKAITAN: Amir Jahari Laung Solidariti Buat Palestin, Ernie Zakri Ajak Wanita Untuk Kuat – REMAJA
“Input yang diberikan Ernie cukup mudah, beliau ingin tampil seperti pejuang. Busana oleh AMAZE sendiri sudah sarat dengan elemen warrior seperti perincian tali di bahagian hadapan. Jadi saya gabungkan pula dengan hijab ala topi gladiator. Begitulah idea wanita yang bersedia untuk berjuang untuk nasib kehidupannya.
“Ia merupakan intepretasi visual agar Ernie kelihatan gagah namun masih memberikan keselesaan maksimum untuknya beraksi,” kata Naz.
Menariknya, gaya hijab ini merupakan prototaip kedua yang diusulkan Naz bersama pasukannya selepas prototaip hijab pertama ditolak Ernie demi tidak menjentik sensitiviti masyarakat.
“Glam team Ernie menolak prototaip pertama secara baik kerana tidak mahu mengundang cemuhan. Prototaip untuk menampilkan hair extension dari bahagian atas helmet.
“Memandangkan Ernie merupakan seorang selebriti berhijab, elemen rambut palsu ini dilihat tidak bersesuaian dengannya. Seperkara lagi, ia sedikit over-the-top lalu menganggu gerak-gerinya nanti. Oleh itu, kami usulkan prototaip kedua dan ia merupakan padanan sempurna buatnya,” ujar Naz lagi.
Fun fact! ‘Hijab helmet’ tersebut disiapkan sehingga ke detik-detik terakhir sebelum Ernie melangkah naik ke pentas demi mendapatkan ukuran terbaik dari segi diameter kepalanya dan bahagian ‘inner ninja’ yang menutupi lehernya.
“Nasib baiklah Ernie menutupi AJL tempoh hari. Oleh itu, kami mendapat kelebihan masa yang lebih panjang untuk menyiapkannya for last touch ups.”
Menyentuh mengenai hubungan profesionalnya dengan Ernie Zakri sebagai penata gaya hijab, Naz bersyukur Ernie sentiasa memudahkan proses dari A-Z apabila mendapatkan perkhidmatannya.
“Kita rasa appreciated bila bersama Ernie dan pasukannya.”
“Tidak kiralah apa juga keputusan AJL yang diterimanya, seluruh pasukan Ernie akan selalu merasa puas kerana setiap individu telah memberikan kudrat sehabis baik.
“Beliau selalu memesan kepada kami to always do what you love and spread positivity. It is always fun to be a part of her team,” simpulnya.
Dalam perkembangan lain, Naz kini bersiap sedia untuk dua buah projek berskala besar yang bakal menjelang iaitu konsert Aina Abdul Bersama MPO (11 Mei) dan Ziana Zain Konsert 2024 (25 Mei).
FOTO: Haikal Shuib
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.