Seorang warga emas positif COVID-19 selepas menghadiri ‘ijtimak tabligh’ di Masjid Seri Petaling, pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.
Warga tempatan berusia 60 itu adalah kes ke-131 yang dikesan Kementerian Kesihatan (KKM) dan mula mempunyai gejala deman, batuk serta selesema pada 4 Mac lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pesakit itu sesak nafas pada 8 Mac dan dimasukkan ke Hospital Bentong pada hari yang sama.
“Beliau kemudiannya dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan pada 9 Mac dan ujian pengesanan COVID-19 yang diambil bagi kes ini disahkan positif pada keesokan hari.
“Ketika ini pesakit ini sudah diasingkan dalam wad isolasi dan sedang menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.
Beliau berkata, kes yang dikesan melalui survelan KKM itu adalah kes dalam kalangan ‘severe acute respiratory infection’ (SARI) dikesan dijangkiti COVID-19.
Noor Hisham turut menjelaskan, satu siasatan teliti dilakukan terhadap pesakit ke-131 itu dan mendapati dia mempunyai sejarah menghadiri perjumpaan ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling.
“KKM menasihatkan mereka yang menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling dari 28 Februari hingga 1 Mac lalu segera menghubungi pejabat kesihatan daerah untuk membendung penularan jangkitan COVID-19. Sila hubungi CPRC hotline atau Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya.
Terdahulu, Noor Hisham berkata, berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh itu membabitkan anggaran 10,000 orang dari beberapa negara termasuk Malaysia dengan penyertaan melebihi 5,000 orang.
Maklumat itu adalah berdasarkan kes positif yang disahkan COVID-19 di Brunei melalui International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) Brunei yang memaklumkan kepada IHR FP Malaysia.
Pesakit pertama COVID-19 yang diuji positif di Brunei, pada Isnin lalu menghadiri perhimpunan di sebuah masjid di Sri Petaling dan terbang kembali dengan penerbangan AirAsia melalui Miri, Sarawak.
Sumber : BERITA HARIAN