Seperti yang dilaporkan saban hari di media massa mahupun di media sosial, cabaran yang dihadapi oleh para pelajar sekolah sepanjang musim pandemik COVID-19 ini sememangnya ketara.
Bukan mudah untuk mereka belajar dari rumah, lebih-lebih lagi di kalangan pelajar yang bersiap sedia untuk berdepan peperiksaan utama.
ARTIKEL BERKAITAN: Alert Pelajar IPT, KPT Umum Bantuan Diskaun Peranti
Meskipun begitu, dua orang pelajar Malaysia yang menuntut di Beaconhouse Sri Inai International School, Petaling Jaya hari ini boleh berbangga apabila mereka meraih keputusan membanggakan ‘straight A’s’ untuk peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) yang mereka duduki pada tahun 2020!
Yashodini A/P Andy Easwaren dan Jun Rain Lim De Jin masing-masing memperolehi kepujian tertinggi dan merupakan di antara 16 orang pelajar sekolah swasta terbabit yang memperolehi A dalam semua subjek.
Kongsi Yoshidini mengenai kemampuannya mendpaatkan keputusan cemerlang di kala Malaysia dilanda pandemik tahun lalu, “Saya selalu cuba untuk mengekalkan keputusan cemerlang dalam pendidikan sepanjang berada di sekolah, namun tahun lalu adalah cukup mencabar.
“Pengalaman belajar dari rumah adalah baru untuk saya dan ia tidak mudah. Saya gembira untuk masih kekalkan pencapaian dan membanggakan keluarga serta sekolah saya.”
YASHODINI ANDY EASWAREN VASUDEVAN.
Untuk pengetahuan, Yashodini sebelum ini telah membawa pulang lebih 35 anugerah sepanjang pembelajarannya di Beaconhouse Sri Inai International School termasuklah anugerah emas di The Queen’s Commonwealth Essay Competition 2019 dan anugerah emas di East Asia Maths Ninja Challenge 2019.
Buat Jun Rain pula, dia berterima kasih di atas sokongan keluarga dan tenaga pengajarnya. “Saya tidak sabar untuk fasa seterusnya dalam hidup saya dan berharap keputusan ini akan memberi saya peluang untuk masa depan yang cerah.”
JUN RAIN LIM DE JIN.
Pada tahun lalu saja, lebih sejuta pelajar dari seluruh dunia menduduki peperiksaan Cambridge IGSCE ini termasuklah di Malaysia.
Dengan keputusan cemerlang ini, Yashodini dan Jun Rain kini berpeluang untuk dianugerahkan dengan pencapaian 2021 Outstanding Cambridge Learners Awards yang bakal diumumkan pada bulan Mac ini.
All the best!