Penyanyi remaja Wani Kayrie, 18 tahun yang baru-baru ini mencuri tumpuan media Malaysia selepas mencatatkan keputusan SPM cemerlang telah mengumumkan tentang penyertaannya di sebuah pertandingan peringkat dunia pada Julai nanti.
Sekaligus, Wani dilihat serius untuk mencapai impiannya sebagai penyanyi pada tahun 2018 dan meletakkan pelajarannya ‘ke tepi’ sebentar sehingga tahun hadapan, seperti yang pernah dikatakan olehnya pada bulan lalu.
“Saya pun seperti remaja lain yang ingin menyambung pelajaran di peringkat universiti. Pada waktu ini pun, saya sudah menerima beberapa tawaran daripada kolej swasta, Alhamdulillah.
“Cuma, saya juga kena bawa diri sendiri dalam bidang karier. Kalau nak paksa diri untuk fokus pada pelajaran dan karier pada waktu yang sama, jujurnya saya tak boleh. Lebih baik saya fokus satu persatu. InsyaAllah tahun hadapan saya akan fikirkan semula,” katanya kelmarin semasa bertemu dengan media.
Bulan lalu, Wani juga pernah berkongsi bahawa dia akan mencuba menyertai pertandingan popular, D’Academy Asia di Indonesia pada akhir tahun ini.
Penyanyi single Aku Suka Kamu itu terpilih untuk mewakili Malaysia ke World Championship of Performing Arts 2018 (WCOPA 2018) di Amerika Syarikat pertengahan tahun ini.
Pertandingan bakat ini merupaka pentas terbaik untuk remaja seluruh dunia mempamerkan bakat seperti nyanyian, tarian dan modelling. Malah, salah satu pasangan penari, Zaidyansjah dan Nur Shafiqa yang menghiasi cover majalah REMAJA isu April 2018 juga telah berjaya mengharumkan negara tahun lalu pada WCOPA menerusi kategori grup tarian.
Ini bukanlah kali pertama Wani akan mewakili negara ke pertandingan tersebut. Pada tahun 2012, dia juga telah ke sana dan berjaya membawa pulang satu pingat emas, tigak perak, satu gangsa dan memenangi kategori Hollywood Industry Award.
Hebat tau walaupun bertubuh genit! Apa-apa pun, tahniah kepada Wani kerana terpilih dan REMAJA ucapkan all the best untuk persediaan sebelum ke sana.