2022 Tahun Bertuah Shila Amzah. Selepas Juara Lagu, Kini Bergelar Pemenang The Masked Singer Malaysia

Share

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Nampaknya kerjaya Shila tahun ini bermula sangat cemerlang. Selepas menjadi juara di Anugerah Juara Lagu ke-36 awal tahun ini, kini dia menambah sebuah lagi trofi sebagai juara The Masked Singer Malaysia musim kedua pula.

Teka-teki misteri siapakah si pemilik suara merdu di sebalik kostum rambutan selama ini akhirnya terjawab. Dalam episod akhir yang disiarkan, Shila atau nama sebenarnya NurShahila Amir Amzah, 31, telah mendendangkan dua buah lagu iaitu Bujang Senang nyanyian asal Wings dan lagu popular Christina Aguilera, Hurt.

BACA LAGI: ‘Nujum Neelofa’ Masih Relevan! Ramalan Pelukan Angkasa Juara AJL-36 Tepat

Seiring dengan kemenangan itu, seperti mana juara musim lalu, Shila menerima hadiah sebuah trofi berona emas untuk dibawa pulang.

Sementara itu, juara Akademi Fantasia 2016, Amir Masdi yang menyarung kostum Seladang berada di tempat kedua dan penyanyi bersuara lunak, Liza Hanim yang menyarung kostum bunga Orkid berada di tempat ketiga.

Pelakon terkenal, Hannah Delisha yang menyarung kostum Burung Hantu berada di tempat keempat dan Ara Johari yang menyarung kostum Ratu Semut terpaksa berpuas hati berada di kedudukan kelima.

The Masked Singer musim kedua ini telah diadili oleh sembilan juri profesional yang terdiri dari pelbagai latar dalam dunia hiburan. Mereka adalah Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Ramona Zam Zam, Zizan Razak, Raja Azura, Ella, Amy Mastura, Angah Raja Lawak dan Remy Ishak. Manakala, Dato’ AC Mizal pula bertindak selaku hos tetap.

The Masked Singer musim pertama yang lalu, menyaksikan Aina Abdul yang menggayakan kostum Bunga Raya bergelar juara.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Fiezreen