2024 terbukti merupakan salah satu tahun paling gemilang buat pereka fesyen tanah air, Ezuwan Ismail apabila beliau menerima pelbagai peluang keemasan dalam menghasilkan busana gaun baharu untuk beberapa acara istimewa.
Ezuwan, 42 pada Jun lalu menerima pelawaan yang julung-julung kali diberikan oleh ‘diva’ tersohor Indonesia, Melly Goeslaw kepada mana-mana pereka fesyen dari Malaysia. Ezuwan dilantik untuk menyiapkan busana ‘denim couture’ sarat perincian seberat 15 kilogram dan dianggarkan bernilai RM130,000!
Peluang itu diterima Ezuwan setelah Melly melihat stail Aina Abdul dalam rekaan Ezuwan Ismail ketika menjayakan persembahan di acara Gempak Most Wanted Awards, Februari lalu. Melly meneliti rekaan beliau yang lain menerusi media sosial dan pada hari seterusnya, terus berjumpa untuk mengatur perbincangan untuk konsertnya.
Akhir Oktober menyusul dengan satu lagi berita istimewa apabila tiba giliran Ezuwan Ismail untuk terpilih menyiapkan dua gaun malam serta sepasang kostum kebangsaan untuk digayakan oleh wakil Malaysia ke pertandingan Miss Universe 2024, Sandra Lim.
Selang beberapa minggu, Ezuwan Ismail sekali lagi tersenyum apabila menjadi pereka fesyen pilihan Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk menyiapkan busana untuk beliau gayakan ketika menerima anugerah Biduan Negara yang membawa gelaran Biduanita Negara.
Siti juga pernah menggayakan busana tradisional rekaan Ezuwan ketika Konsert Fenomena: Siti Nurhaliza Live In Singapore 2024, Julai lalu.
Ternyata, tahun 2024 bukan ‘kaleng-kaleng’ buat seorang insan bernama Ezuwan Ismail!
Kesemua kejayaan ini bagaimanapun diiringi dengan kata-kata nakal warganet. Rata-rata rekaan Ezuwan ini pasti akan ditemui dengan kecaman daripada orang ramai.
Paling teruk diterimanya adalah selepas acara pengenalan rekaan baju dan kostum nasional yang dihasilkan olehnya buat Miss Universe Malaysia 2024. Kostum kebangsaan yang diberi jolokan ‘Walinong Sari’ menjadi sasaran warganet kerana merasakan ia tidak benar-benar menggambarkan budaya di Malaysia selain penggunaan fabrik songket.
“Tahun ini memang kecaman (yang diterima) itu banyak. Memang banyak sangat-sangat berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini. Bila ada orang yang suka atau tidak suka, itu adalah normal bagi saya. Kita tidak boleh puaskan hati semua pihak.
“Apa yang lebih penting, walaupun tahun ini kecaman yang diterima itu banyak tetapi saya sudah buktikan dengan hasil. Contoh di pertandingan Miss Universe 2024, wakil negara, Sandra Lim dapat juga melangkah ke Top 30 dengan busana Ezuwan yang dikecam itu.
“Selepas melayakkan diri, tiada sudah kecaman-kecaman. Timbul hanya pujian pula (ketawa) itu normal. Adat resam industri fesyen. Cuma apa yang saya ingin tekankan adalah segala yang kita reka itu bukanlah secara sesuka hati. Kita kaji dulu dan berbincang dengan semua pihak kerana ini bukanlah projek puaskan diri sendiri. Ia adalah untuk mewakili negara kita.
“Alhamdulillah rezeki untuk Malaysia, untuk Sandra Lim dan untuk saya juga,” ulasnya.
Alah bisa tegal biasa, kehidupan sebagai seorang pereka fesyen pada zaman digital kini tidak boleh lari daripada pandangan orang ramai di media sosial. Ezuwan sendiri selagi boleh akan cuba mengelak daripada membaca komen-komen yang keterlaluan kerana ia hanya akan menganggu fokus kerja.
“Memang wow kecaman yang diterima misalnya di TikTok. Kalau baca boleh buat kita pitam. Tapi tidak mengapalah. Itu hanya pendapat dan penerimaan masing-masing. Bila baju siap dan pemakainya pun gembira, itu sudah cukup bernilai bagi saya.
“Selain dapat berkarya untuk banyak konsert-konsert artis ternama Malaysia, saya bersyukur apabila menjadi pereka fesyen pilihan Biduanita Negara kita (Datuk Seri Siti Nurhaliza) untuk acara penyampaian anugerah, baru-baru ini. Kemudian, (terima peluang oleh) Miss Universe Malaysia pula, rezeki tidak putus-putus.
“InsyaAllah untuk 2025, saya harap dapat terus berkarya dengan lebih lagi untuk penggemar-penggemar rekaan Ezuwan Ismail. Teruskan sokongan anda dan InsyaAllah, tahun hadapan akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk saya,” katanya lagi kepada REMAJA.
Tak sabar nak tunggukan rekaan busana oleh Ezuwan Ismail pada tahun 2025. Agaknya, ada lagi tak busana berlitup muka seperti yang pernah disarungkan oleh Rozita Che Wan dahulu? Hehe…
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.