Dalam sehari kita ada 24 jam. Jika diukur masa bekerja dan lain-lain hal, ada berapa lagi masa yang kita ada untuk beribadah? Jika kita merasakan 24 jam itu singkat tetapi di akhirat satu hari di akhirat bersamaan 1000 tahun di dunia.
Dalam surah al-Haj ayat 47 ada dinyatakan ..sesungguhnya sehari dari hari-hari azan di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung.
Jika 24 jam kita rasa singkat, bagaimana 1000 tahun? Mendengar perkataan ribu pun lama tapi di akhirat satu hari bersamaan 1000 tahun di dunia.
Jadi untuk tidak menjadikan kita hidup papa di akhirat, apa kata sama-sama kita praktikan amalan harian ini yang perlu kita jaga secara istiqamah. Insya Allah, sikit-sikit, nanti lama-lama jadi kebiasaan. Lagi awal usia kita lakukan, lagi bagus! Semoga kita semua menjadi insan pilihan di akhirat kelak.
- Solat Tahajud di waktu ¾ malam sekurang-kurangnya 2 rakaat & solat sunat Witir sekurang-kurangnya 1 rakaat sebelum masuk waktu Subuh – Tahajjud merupakan jalan orang-orang yang soleh, amalan para Nabi dan Wali-wali ALLAH yang terdahulu. Jangan ditinggalkan.
- Selepas Subuh, zikir 300pagi {100x [tasbih, tahmid dan takbir], 100x selawat & 100x istighfar}. Zikir sangat penting kerana semasa kedatangan DAJJAL hanya zikir sebagai sumber makanan dan minuman. Hanya orang yang benar-benar jaga zikir sahaja mempunyai sumber makanan dan minuman pada waktu itu. Selainnya akan mengikut DAJJAL untuk mendapat makanan dan minuman.
- Kemudian bacalah surah Yasin– Allah janji segala hajatnya pada hari itu akan dipenuhi.
- Kemudian selepas 26 min naik matahari, solat sunat Isyraq 4 rakaat- Allah janji akan menolong kamu menyempurnakan segala urusanmu pada hari itu.
- Kemudian solat sunat Dhuha, boleh dilakukan bermula 20 minit selapas Isyraq (di antara jam 8-12 tghari). Nabi SAW bersabda: “Sesiapa mengerjakan solat Dhuha 2 rakaat, dia tidak tergolong di dalam golongan orang-orang yang lalai dan lupa.” Solat Dhuha juga memudahkan urusan dan memberkati rezeki.
- Selepas solat Zohor, bacalah surah Ar-Rahman– Nabi SAW bersabda: “Segala sesuatu itu mempunyai mempelai, dan mempelai bagi Al-Quran adalah surah Ar-Rahman.” Surah Ar-Rahman menanam sifat syukur di dalam Hati atas nikmat-nikmat Allah dan dengan amalan membaca Surah Ar-Rahman juga sangat baik untuk meningkatkan kecerdasan otak.
- Selepas solat fardhu Asar, zikir 300 petang, {100x [tasbih, tahmid dan takbir], 100x selawat & 100x istighfar}
- Kemudian baca Surah An-Naba’ – Nabi SAW bersabda: “ Jika kamu tahu fadhilat dan besarnya pahala membaca surah An-Naba’, maka kamu akan berhenti daripada tugas-tugas kamu, lalu mempelajari Surah tersebut dan mendekatkan diri kepada Allah dengan membacanya. Sesungguhnya Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka yang mengamalkan membacanya selain dosa syirik.”
- Selepas solat Maghrib, solat sunat Awwabin – Allah janji akan memberi keampunan terhadap dosa-dosa melainkan dosa syirik kepada-Nya.
- Kemudian bacalah surah Al-Waqiah – Allah janji sesiapa yang istiqamah mengamalkannya pada setiap malam, kebuluran & kemiskinan tidak akan menemuinya.
- Selepas Isya’ bacalah surah Al-Mulk – Allah janji akan memelihara daripada azab kubur. Nabi SAW tidak akan tidur selagi tidak membaca surah Al-Mulk dan surah As-Sajdah.
- Setiap malam bacalah Ayatul Kursi dan “Amanar-Rasul” hingga habis. Sangat-sangat penting untuk melindung diri daripada pengaruh syaitan dan kejahatan
- Sebelum tidur, solat sunat Taubat dan tidur beradab seperti mana Nabi SAW tunjuk ajar.
- Setiap malam apabila hendak tidur, muhasabah diri, pohonlah keampunanmu kepada Allah di atas dosa-dosa dan bagi setiap amalan yang baik, nyatakan kesyukuranmu kepada Allah.
- Sebelum tidur fikirkan dan renunglah (muqarabah) juga mengenai mati dan peristiwa-peristiwa selepas maut. Muqaraba adalah perlu untuk membentuk sifat Taqwa.
- Setiap hari bacalah al-Quran (Tilawatul Quran) walaupun hanya satu ‘ain’. Latihan tilawah sangat memberi kesan kepada Hati. Hati yang tidak ada al-Quran seumpama hati yang mati. Pembacaan Al-Quran janganlah ditinggalkan. Hak Al-Quran adalah perlu dikhatamkan dua kali setiap tahun.
- Setiap pagi Jumaat bacalah surah Al-Kahfi, kalau tak mampu habiskan seluruh surah, bacalah seberapa banyak yang boleh – Allah janji ‘cahaya’ di Hari Qiamat dan diampunkannya di antara dua Jumaat. Nabi SAW bersabda: ‘Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit.’
- Hendaklah hati & lidah sentiasa sibuk dengan berzikir di dalam apa jua kegiatan sama ada berjalan, duduk atau bekerja. Berzikirlah ‘La ilaha illallah’ sebagai amalan tetap dan berkekalan.
- Puasa sunat Isnin & Khamis, juga puasa sunat pada hari-hari yang digalakkan dalam Islam. Untuk puasa-puasa sunat, mintalah keizinan daripada suami-suami kamu.
- Cubalah sedaya-upaya berada dalam keadaan berwudhu’. Sabda Nabi SAW: ‘Wudhu’ adalah senjata orang-orang mukmin.’ Faedah wudhu’ sangat besar.
- Tatkala haid, jangan tinggalkan zikrullah. Meninggalkan zikir akan mengeraskan hati dan melayukan cahaya rohaniah bagi hati.
- Tetaplah dengan usaha kamu melawan hawa nafsu. Jagalah mata, telinga, lidah dan Hati. Mengumpat dan mengata-ngata orang lain adalah bencana yang sangat besar. Ia menghapuskan dan melenyapkan pahala dan kesan ibadat.
Amalkan sedikit demi sedikit yang mana mampu. Semoga kita dapat amal dan sampaikan. Aamiin. Sumber : MAJLIS ILMU