Indahnya aturan Allah, jika iklim Khatulistiwa menerima siang dan malam dalam tempoh 24 jam, berbeza dengan benua Artik (Kutub Utara) yang sepanjang masa adalah siang.
Inilah kebesaran Allah taala yang dapat disaksikan oleh pelajar Sekolah Menengah Sains Dungun (SMSD), Aiman Haikal Salim, 16 tahun apabila terpilih mewakili Malaysia dalam program Students On Ice – Arctic Educational Expedition 2018 pada Ogos lalu.
Bersama seorang lagi pelajar, Suffi Amilia dari SMK Sultan Ismail, Kuala Terengganu diiringi seorang guru selain 212 pelajar dari seluruh dunia berusia antara 13-24 tahun, Aiman berkata, ketika di Artik dia juga berkesempatan bertemu ketua-ketua puak yang dipanggil Inuit.
“Di Antartika orang sebut orang Eskimo tapi di Artik dipanggil Inuik. Ketika saya pergi suhu mencecah -7 dan saya sendiri pakai baju empat lapis tapi bagi puak ini, mereka hanya pakai selapis dua. Bagi mereka -7 itu panas. Kecuali ketika itu suhu -40, barulah pakai baju tiga-empat helai,” katanya memaklumkan tidak sama seperti Antartika, di benua Artik ada tanah dan kampung. Kata Aiman, perkampungan mereka di cat berwarna warni dan sangat menarik perhatian.
Jelas Aiman lagi, jika di Malaysia keputusan SPM straight A dianggap membanggakan bagi pelajar tapi di Artik dan puak Inuik ini, kalau remaja mereka berjaya memburu ikan paus biru, mereka dianggap hero.
“Bagi mereka pelajaran tak penting sebagaimana di sini tapi kebanggaan mereka kalau dapat memburu ikan paus biru di laut dalam,” katanya memaklumkan beza antara Artik dan Antartika ialah, di Artik siangnya 24 jam manakala di Antartika pula 24 jam malam.
“Jika bumi Artik masih ada tanah dan lautan dan dipenuhi iceberg tapi di Antartika dipenuhi iceberg dan di bawahnya adalah lautan,” katanya yang banyak belajar bahawa bumi semakin tenat akibat kerakusan manusia sendiri.
Kongsi Aiman, sebelum menaiki kapal kecil iaitu Zodiac, mereka perlu menempuh pelayaran 24 jam menaiki kapal besar. Kemudian barulah dibahagi kepada kapal-kapal kecil.
“Dari atas kapal, saya dapat saksikan satu iceberg besar tetapi kelihatan tompokan hitam-hitam melekat pada iceberg ini. Bila kami tanya pada pengendali program, katanya tompokan hitam itu adalah pelepasan gas karbon monoksida yang dilepaskan dari asap kenderaan, sistem penghawa dingin dan sebagainya.
“Ia juga beracun dan jika iceberg itu mencair, air akan memasuki lautan sekaligus mengakibatkan kematian kepada hidupan seperti ikan-ikan dan batu karang dan amat berbahaya kepada manusia yang menjadikan sumber laut sebagai makanan,” katanya memaklumkan, mereka diberi peluang untuk membuat kajian bukan saja tentang alam tetapi juga manusia,” katanya memaklumi turut membuat kajian mengenai haiwan dan tumbuhan yang mampu hidup di Artik.
Dalam pada itu, Aiman memaklumi dia terlihat iceberg besar berbentuk kapal.
“Subhanaallah, memang pemandangan ini sangat menakjubkan dan saya bersyukur diberi kesempatan menjayakan program ini,’ katanya memaklumkan iceberg berfungsi sebagai penahan air laut.
“Ramai orang faham, iceberg ini dikatakan mampu meningkatkan paras air laut. Tidak sebenarnya kerana icaberg ini berfungsi sebagai penahan air laut. Kecualilah ia pecah dan mencair, barulah lautan dipenuhi air,” katanya memaklumkan, penyertaannya ke Artik ini bermula apabila seramai 30 pelajar terpilih dari ratusan penyertaan anjuran Yayasan Antartika Sultan Mizan.
“Sebelum ke sini, ada pelbagai ujian, tulisan, pengetahuan diuji sebelum dipilih. Antaranya esei mengenai Artik, pengetahuan dan macam-macam lagi. Saya antara 70 pelajar yang disaring dan mengikuti Kem Pola Sains di Pusat Sains Terengganu.
“Tak sangka pula dalam ramai-ramai, saya terpilih tetapi sebelum mengikuti kem memang saya ada buat penyelidikan dan membaca tentang Artik. Malah selepas balik ke sini, kami sudah mengadakan road tour kepada pelajar di Terengganu tentang benua Artik ini.
“Program ini dikongsikan untuk pelajar lebih memahami mengenai Artik dan apa implikasinya kepada kita di sini. Walau Malaysia jauh dari Artik (berdekatan Kanada) tetapi kesan kepada Artik dan Antartika turut boleh mendatangkan kesan buruk kerana 70 peratus dari bumi terdiri dari lautan.
Bagi Aiman, cabaran terbesar ialah solat tetapi syukur kerana mereka diberikan bilik khas untuk melakukan ibadah ini.
“Saya juga berpeluang mandi laut Artik hinggakan saya demam, tapi itu semua pengalaman berharga,” katanya.
Angkat imej sekolah, negara
Sementara itu, Pengetua SMSD, Noor Maziah A Rahman berkata, penglibatan pelajar SMSD di peringkat antarabangsa amat membanggakan.
Menurutnya, ia membuktikan mereka mampu berada sebaris dengan pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang lain.
“Antaranya untuk program Asian Science Camp ke Indonesia, Student On Ice ke Artik dan Sakura Science Challenge ke Jepun.
“Penglibatan dalam program sebegini bukan hanya mengangkat imej sekolah tetapi yang lebih penting memberikan pengalaman dan membantu proses pembelajaran mereka,” katanya.