Sejak akhir-akhir ini, kita sering terbaca kejadian jelik. Anak tikam emak, abang bunuh adik, kawan tetak kawan dan macam-macam lagi berita.
Jangan terkejut kerana diberitakan 30 peratus atau 4.2 juta rakyat di negara ini mengalami masalah kesihatan mental.
Kajian dari National Health & Morbility pada tahun 2015 mendapati 3:10 mereka yang berumur 16 tahun ke atas mengalami masalah kesihatan mental iaitu kira-kira 29.2 peratus remaja di negara ini. Terkejutkan?
Manakala di kalangan kanak-kanak pula menunjukkan angka 12.1 peratus mewakili usia di antara 5-10 tahun.
Statistik pula menunjukkan seorang dalam kalangan tiga penduduk di negara ini mempunyai masalah berkait rapat dengan isu diperkatakan.
Untuk pengetahuan, masalah kesihatan mental boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Ia bukan penyakit keturunan pun.
Masalah kesihatan mental banyak berkait rapat dengan gaya hidup, tingkah laku, masalah kewangan, kemiskinan, kebimbangan, tekanan perasaan dan banyak lagi.
Remaja pada usia 16-19 adalah kelompok tertinggi mengalami masalah kesihatan mental ini.
So just check it out! Dia mungkin kawan anda, mungkin boyfren anda, dia mungkin awek anda. Dan mungkin dia boleh jadi ibu bapa anda sendiri.
Kalau anda kawan-kawan korang yang menunjukkan perubahan dari segi tingkah laku, sikap, tekanan emosi dan beberapa aspek lain, tolonglah bagi dia sokongan.
Jangan lari darinya sebab mereka ini sangat memerlukan sokongan untuk kembali sembuh. Lagipun dia orang bukan gila pun, Cuma alami tekanan perasaan sahaja yang membawa kepada masalah kesihatan mentalnya.
Untuk pengetahuan korang, Oktober adalah bulan Kesedaran Kesihatan Mental yang disambut seluruh dunia. Tarikh 10 Oktober dipilih sebagai satu hari meraikannya. Tapi sepanjang bulan Oktober, kempen ini masih terus berjalan.
Apa lagi yang perlu korang ambil tahu tentang Kesedaran Kesihatan Mental ini? Pakar Perunding Psikiatri Kanak-Kanak & Remaja, Dr Yusni Yusuff dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar berkongsi pengalaman beliau mengendalikan kes-kes remaja yang mengalami masalah kesihatan mental.
Antara gejala masalah kesihatan mental termasuklah berasa sedih berpanjangan, sering bimbang atau resah gelisah, berasa takut, tertekan, cepat marah, sering keletihan, sukar tidur, hilang tumpuan dan sebagainya. Masalah atau gangguan kesihatan mental jula dibiarkan tanpa bantuan boleh mendorong seseorang remaja mengalami penyakit mental yang lebih serius.
Masalah kesihatan mental yang sering dialami oleh golongan remaja adalah kemurungan (depression) dan kebimbangan (anxiety).
Remaja yang mengalami gangguan kesihatan mental seringkali dilihat sebagai mengalami masalah tingkahlaku ataupun masalah disiplin.
Mereka sering di label sebagai remaja nakal dan bermasalah. Mereka dilihat sebagai seorang yang kuat memberontak dan menunjukkan tingkahlaku yang bukan kebiasaan beliau.
Penyakit mental seperti skizofernia boleh terjadi kepada remaja tetapi ianya berlaku pada kadar yang sangat rendah berbanding dengan apa yang telah diperkataan sebelum ini.
Mereka yang mengalami gangguan sebegini sering menerima bisikan-bisikan suara sehingga sanggup menyembelih anak atau adik sendiri adalah berbeza sama sekali dengan masalah kesihatan mental
Kata Dr Yusni Yusuff lagi, masalah di kalangan ini masih boleh dirawat asalkan keluarga memberi sokongan padu dan tak ponteng pertemuan dengan doktor bila temujanji sudah dilakukan.
“Biasa untuk menyelami masalah dihadapi, saya akan ajak mereka berbual-bual dahulu. Kebanyakannya akan senyap dalam pertemuan pertama. Semuanya menunduk dan membisu.
“Tapi kita tak pernah putus asa. Dalam pertemuan seterusnya, kita akan ajak lagi berbual sehinggalah kita dapat mengesan punca bagaimana mereka boleh menghadapi tekanan mental ini.
“Banyak yang pulih melalui terapi percakapan “talk therapy” atau juga dikenali sebagai psychotherapy. Remaja ini juga mungkin perlu menjalani sesi kaunseling untuk belajar kemahiran sosial, mengurus masa serta teknik untuk relaks.
“Akan tetapi bagi kes yang sudah agak teruk kita akan bekalkan dengan ubat-ubatan untuk mengawal keadaan menjadi lebih teruk seperti remaja menjadi agresif, timbul niat untuk mencederakan diri atau bertindak di luar kebiasaan dan mungkin juga membunuh diri,”kata pakar perunding yang banyak mengendalikan kes-kes remaja yang melalui tekanan dan kebimbangan.