
Terbaru, tiga pelajar dari Sarawak telah mencuri perhatian apabila berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa menerusi pencapaian membanggakan dalam Global English Language Olympiad of Southeast Asia (GELOSEA) 2025, yang berlangsung di Incheon, Korea Selatan pada 3 hingga 6 April lalu.
Mereka adalah Aariz Abdillah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman, Darrel Nathaneal Buko Desmond dan Marc Xavier Pitor Dineal Gumis, masing-masing dari Sekolah Menengah Sains Kuching Utara (SAKURA) telah membawa pulang kemenangan istimewa kepada negara.
Menerusi satu perkongsian di Facebook rasmi SMK Sri Aman, Aariz merangkul pingat berlian (diamond) dalam kategori Menengah 2 iaitu satu pencapaian tertinggi di GELOSEA 2025.


Manakala Darrel Nathaneal memperolehi pingat emas dan Marc Xavier Pitor merangkul pingat gangsa bagi kategori Menengah 3.
Sementara itu, tiga pelajar perempuan tajaan Yayasan Sarawak yang menuntut di Kolej Permata Pintar Negara, UKM dan kini berada dalam Asas 2 (Tingkatan 2) iaitu Qaseh Marsya Qaiysara Mohamad Zulfikar turut meraih anugerah Diamond, Eisya Syifaa Embran (anugerah Gold) dan Nur Maheerah Saifrol (anugerah Gold).

Prestasi yang ditunjukkan oleh para pelajar ini bukan sahaja membanggakan nama negeri Sarawak. Ia juga menjadi bukti bahawa bakat dan kecemerlangan serta kemahiran dalam penggunaan bahasa Inggeris golongan muda setanding dengan peserta dari seluruh dunia.
Selain itu, kejayaan mereka ini jelas menunjukkan bahawa pelajar Malaysia khususnya dari Sarawak, mampu bersaing di pentas antarabangsa sekaligus menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Sekadar info, GELOSEA ialah pertandingan antarabangsa dalam bahasa Inggeris yang dianjurkan Global League of Winners, Inc (GLOW). Pertandingan ini menyediakan platform bagi pelajar untuk menguji dan meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris serta memberi peluang untuk mereka berinteraksi dengan rakan sebaya dari pelbagai negara, memperkukuh jaringan pendidikan dan budaya di rantau Asia Tenggara.
Seramai 137 orang murid sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah terpilih mewakili pasukan Malaysia. Para peserta ini telah melalui sesi tapisan pada awal tahun 2025 sebelum layak mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.