Trio penyampai segmen 3 Pagi Era mengambil peluang bergambar dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Majliis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama Pengamal Media di Angkasapuri, semalam. Turut serta ialah Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran.
Susulan kandungan video yang mencuit sensitiviti perkauman minggu lalu, pengendali stesen radio ERA iaitu Maestra Broadcast tidak akan digantung dan hanya dikenakan kompaun berjumlah RM250,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Bagaimanapun, tiada tindakan lanjutan akan dikenakan oleh MCMC terhadap trio penyampai radio bagi segmen 3 Pagi ERA iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Effendy.
BACA: Terpalit Isu Klip Menyinggung Kaum India, 3 Penyampai Radio ERA Mohon Maaf Secara Terbuka – Remaja
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat kerana sebuah entiti syarikat berpendapatan tinggi pada setiap tahun dan berbeza dengan skala pendapatan individu. Maka, hanya tindakan ke atas pengendali stesen dibuat MCMC mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas mendapat izin daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menurut Fahmi lagi, beliau berpeluang untuk menemui trio penyampai ERA berkenaan sebelum ini dan mendapati mereka benar-benar tertekan apabila terpalit dengan isu yang mendapat perhatian seluruh negara itu.
“Saya ada bercakap dengan mereka dan mendapati mereka menghadapi tekanan yang hebat. Sebagai selebriti, mereka sentiasa menjadi perhatian umum.
“Saya meminta mereka bersabar dan bertenang dalam menghadapi dugaan ini.”
“Kita tidak berhasrat mengambil tindakan terhadap mereka kerana mereka sudah melalui banyak cabaran,” ulasnya.
Dalam pada itu, Fahmi juga mengulas semula pandangan warganet yang membanding-bandingkan jumlah kompaun RM250,000 yang dikenakan ke atas pengendali ERA dan kompaun RM60,000 ke atas KK Mart dalam kes yang pernah tular sebelum ini biarpun masing-masing melibatkan unsur keagamaan lalu mencuit sensitiviti perkauman.
“(Kes KK Mart) tertakluk di bawah Kanun Keseksaan. Undang-undang itu berbeza dan tidak melibatkan kandungan dalam talian,” jelasnya ketika ditemui di Majliis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama Pengamal Media di Angkasapuri, semalam.
Terdahulu, REMAJA pernah melaporkan mengenai kemarahan warganet terhadap tindakan trio penyampai ERA berkenaan yang dilihat seolah-olah menghina kesucian agama Hindu menerusi aksi tarian Azad dan laungan (chanting) serta tepukan yang hadir daripada Nabil, Radin dan beberapa kakitangan lain di dalam konti radio.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.