3 Sebab Budak 90-An Takut Dengan Permainan Spirit Of The Coin

Share

Suatu ketika dulu, permainan Spirit of the Coin pernah popular di kalangan pelajar sekolah asrama.

Selalunya, pada waktu hujung minggu mereka mempunyai banyak masa terluang dan antara salah satu aktiviti yang dilakukan adalah dengan bermain permainan ‘berhantu’ ini.

Biasanya, permainan ini dimainkan di blok-blok lama sekolah atau pada waktu tengah malam di dalam bilik yang digelapkan dan jika mereka bernasib baik, mereka tidak akan diganggu oleh makhluk-makhluk halus yang ada di situ. Tapi, jika nasib tak baik, terimalah berbagai-bagai situasi yang tak disangka-sangka.

Gambar hiasan

Apa sebenarnya Spirit of the Coin?

Pada asalnya, ia bukanlah sebuah permainan tetapi merupakan satu kaedah untuk berhubung dengan roh orang mati. Kaedah Spirit of the Coin ini digunakan dalam beberapa ritual dan kepercayaan untuk berhubung dan bercakap dengan roh.

Biasanya ia digunakan untuk:

1. Bertanyakan khabar pada orang yang telah meninggal dunia.

2. Mengetahui di mana kedudukan roh.

3. Berkomunikasi dengan roh.

4. Meminta bantuan secara ghaib.

5. Mencari barang atau orang yang hilang.

6. Untuk mengetahui cara kematian roh tersebut sama ada kemalangan, dibunuh atau sebagainya.

Gambar hiasan

Bukan main ‘suka-suka’, ini tiga risiko yang bakal korang hadapi

1. Jika tengah bermain, pemain mengangkat jari daripada duit syiling, roh itu akan mengikut kita balik dan akan sentiasa mengganggu pemain seumur hidup kerana tidak menghantarnya pulang.

2. Terdapat kemungkinan roh yang dipanggil ke dalam permainan ini berdegil tidak mahu balik, pemain harus meneruskan permainan dengan roh itu sehingga ia puas dan bersetuju untuk ke petak home atau good bye yang tertulis di atas kertas Spirit of the Coin tersebut.

Kadang, roh tidak mahu kembali ke tempat asal kerana ingin terus berkawan dan berdamping dengan pemain yang disukainya.

3. Mengikut kepercayaan sesetengah pihak, roh yang tersesat atau roh orang mati dalam keadaan terseksa akan memasuki ritual ini dan berlakon kononnya ia adalah roh orang yang kita maksudkan.

Gambar hiasan

Selalunya jawapan yang mengelirukan akan diberikan oleh roh yang menyamar. Dalam kes ini, roh jahat atau roh yang tidak tenteram tidak akan meninggalkan pemain selepas ritual ini selesai sebaliknya ia akan terus mengekori dan mengganggu pemain tersebut seumur hidup.

Ha, kalau dengar memang seram. Dulu-dulu kami memang selalu dengar tentang perkara-perkara aneh yang sering terjadi pada mereka yang pernah bermain permainan misteri ini.

Namun, sebagai umat Islam, ini merupakan satu perbuatan syirik di sisi Allah. Jangan hanya kerana sikap ingin tahu dan saja ‘suka-suka’ buatkan akidah korang terpesong.

Sumber: kisahseram.com

Published by
Noor Ain Norman