Wow, memang amazingkan pencapaian pelajar ini. Sudah tiga semester dan sudah tiga kali jugalah dia menerima anugerah dekan. Ternyata, bukan calang-calang pencapaiannya. Apa rahsia pelajar ini belajar sehingga dia tersenarai “dean list” dalam setiap akhir ujian semester?.
Sitti Saleha Md Yuusof, 22 dari Jabatan Bahasa Melayu Profesional, Fakulti Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya berkongsi caranya belajar. Mana tahu, tips yang dikongsikannya ada manfaat buat pelajar lainkan.
Kata Sitti Saleha, semasa tahun satu semester 1, pointernya, 3.83. Kemudian, dia mendapat 3.97 dalam ujian akhir semester tahun satu. Namun di tahun 2 semester 1, pointernya menurun kepada 3.72 namun masih melayakkkan dirinya tersenarai dean list. Di sebalik penurunan pointer itu, ada kisah sedih yang terjadi sebenarnya.
Tapi sebelum itu, baca dulu cara Sitti Saleha belajar. Semoga ada manfaat buat pelajar lain, katanya.
“Saya seorang yang begitu ambil berat tentang pelajaran. Keduanya saya suka bersaing dengan pelajar lain kerana ia menjadi inspirasi untuk saya berjaya.
“Ketiganya, kejayaan saya hari ini adalah inspirasi dari kesusahan
dan kesakitan yang ditanggung oleh arwah ibu, Noraini Musalin. Bila melihatnya, saya tahu, saya perlu bersungguh-sungguh ketika belajar. Selepas habis berusaha, saya serahkan segalanya kepada Allah SWT. Paling penting, usaha, tawakal dan doa, inilah yang saya pegang rapat-rapat dalam hidup,” katanya berkongsi tip belajar.Dalam pada itu, jelas Sitti Saleha, dia akan membaca semua topik tanpa meninggalkan satu bab pun.
“Saya tak pilih topik-topik skop yang dijangka keluar. Takut tak keluar semasa exam. Sebaliknya saya baca semua. Kemudian, saya akan buat nota kecil dan membaca semula apa yang saya tuliskan tadi,”katanya menambah, apa yang penting dia akan mencari bahan sampingan yang tidak diajar oleh pensyarah semasa di dalam kelas.
“Ini kerana bila kita ada maklumat tambahan, ia lebih berguna kerana kita akan terus membaca sambil menyalinnya,”katanya mengukir senyuman.
Mungkin cara setiap pelajar itu tidak sama, tetapi akui Sitti Saleha, dia paling suka study di dalam biliknya. “Kalau dalam bilik, apa yang saya baca boleh masuk. Saya tak boleh study dalam library. Lagi senyap lagi saya tertidur. Atas katil pun saya boleh belajar,’ katanya mengukir senyuman.
Ditanya tentang study last minute, Sitti Saleha ada pendapatnya tersendiri.
“Bagi saya tak salah kalau dia sudah faham topik dari awal dan study last minute ini Cuma untuk refresh sahaja. Tapi jangan study betul-betul last minute tanpa kita faham topik sebelumnya, itu mungkin boleh menjerat diri sendiri,’ katanya yang memegang prinsip tak sukakan kepada kekalahan.
“Bagi saya, kegagalan adalah satu pilihan. Jadi kita kena berusaha dan terus berusaha selagi mampu tanpa mengalah. Selebihnya kita serahkan kepada Allah taala bersama doa agar dipermudahkan semua urusan kita seharian,” katanya yang memberi nasihat kepada rakan sebaya untuk faham mengapa tugas sebagai pelajar itu sendiri.
Kata Sitti Saleha, apa paling penting ialah NIAT. Kalau niat untuk belajar itu baik, maka baiklah sehingga pengakhirannya,” katanya mengakui dia seorang yang suka bercakap.
Tak hairanlah, dengan semua sikap positifnya, dia menerima tiga kali anugerah dekan dan target utamanya adalah dinobatkan sebagai penerima Ijazah Kelas Pertama Atas selain menerima Anugerah Pelajaran DiRaja di akhir pengajian kelak.
Sudah bacakan semangat Sitti Saleha di atas. Namun di sebalik semua kejayaannya itu, kata Saleha dia mahu buktikan kepada arwah ibunya yang meninggal semasa hari raya tahun lalu bahawa dia boleh berjaya dalam pelajaran.
“Semasa arwah mak meninggal, saya terlalu sedih. Selama ini saya terinspirasi dari kesusahan kehidupannya. Saya mahu belajar bersungguh-sungguh untuk mak merasai kesenangan. Tapi Allah terlebih dahulu menyayanginya.
“Sebab itulah semasa tahun dua semester 1, keputusan saya merosot sedikit kerana arwah mak sudah pergi. Kini saya hanya bermanja dengan nenek dan saya sendiri tidak tahu di mana ayah kerana dia pergi meninggalkan kami ketika masih kecil lagi,” katanya yang dilihat masih positif.
Demi menyambung pengajiannya, akui Sitti Saleha, dia bekerja secara sampingan untuk menambah pendapatan.
“Saya kerja di pasaraya demi mencari duit belanja di universiti. Duit pinjaman PTPTN yang saya peroleh hanya RM3000 lebih. RM1000 lebih sudah diperuntukkan untuk pengajian, lebih kurang RM1000 untuk bayaran sewa rumah kerana saya tidak dapat asrama untuk tahun dua ini dan bakinya lebih kurang RM900, saya gunakan untuk makan dan buku-buku pengajian. Kadang kala bapa saudara ada memberi sedikit wang untuk pengajian,”katanya yang dilihat cukup bersemangat kuat.
Sekali pun dilanda pelbagai ujian tetapi Saleha akui dia bukan seorang yang mudah putus asa dalam hidupnya.
So semua, tak kiralah apa saja ujian dan kesusahan hidup yang penting kita perlu ada matlamat dan tahu apa yang diinginkan dalam kehidupan. Remaja mendoakan agar kejayaan sentiasa melingkari kehidupan remaja ini pada masa-masa akan datang dan dalam pelajarannya.