Pelakon meningkat naik, Shasha Abedul mendedahkan dirinya pernah mengalami masalah kesihatan mental seperti depresi dan kerisauan melampau (anxiety) yang menyebabkan serangan panik.
Dalam temu bual di sidang media drama Project: Exit, Shasha mengakui bahawa situasi tersebut berlaku sekitar tiga tahun lalu dan dia terpaksa mendapatkan rawatan daripada pakar psikologi dan ahli terapi.
ARTIKEL BERKAITAN: Drama Siri Wajib Tonton! Project; Exit Angkat Isu Kesihatan Mental Remaja & Nilai Persahabatan
“Tiga tahun lalu, saya mengalami gangguan mental, ‘depression’, ‘anxiety’ dan serangan panik. Tapi saya tak sampai tahap nak cederakan diri sendiri.
“Bila tahun pertama saya rasakan perkara itu, saya tak tahu macam mana nak mengawalnya. Saya pergi jumpa ahli terapi dan pakar psikologi untuk kenal pasti apa yang saya alami dan macam mana nak tangani. Alhamdulillah, saya makin okay,” katanya kepada Remaja.
Enggan bergantung kepada ubat, aktres berusia 28 tahun itu menjelaskan bahawa tahap kesihatannya kini semakin baik kerana dirinya menjalani sesi terapi secara berkala.
“Selepas tahun ketiga, doktor ada bagi saya makan ubat. Tapi saya tak makan kerana saya tak mahu bergantung dengannya sebab itu juga saya jumpa ahli terapi.
“Jadi, saya dapat keseimbangan dari situ. Pakar psikologi, dia doktor yang memang akan bagi ubat. Kalau buat terapi, kita boleh kongsi apa yang kita rasa,” tambahnya.
Shasha turut mendedahkan bahawa dirinya pernah mengalami serangan panik semasa penggambaran Project: Exit disebabkan watak yang dibawanya yang seakan mencerminkan dirinya.
“Bila saya bawa karakter Jannah dalam drama itu, sebenarnya beberapa peratus adalah diri saya sendiri. Bila dapat naskhah tersebut, saya tak rasa pun macam saya tengah berlakon. Saya rasa Tuhan dah persiapkan diri saya lebih awal.
“Saya juga beberapa kali diserang ketika ‘shooting’. Saya ingat lagi untuk babak terakhir untuk drama ini. Watak itu dah terlampau mengawal emosi saya,” ujarnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.