30 Perkataan ‘Fool’ Gambaran Gadis Bangkit Semula – Pereka Fesyen Aina Abdul

Share

 

Lebih 245,000 tontonan telah berjaya dicatatkan oleh penyanyi bervokal lantang, Aina Abdul dalam tempoh lima hari selepas video muziknya buat single terbaru berjudul Fool dipertontonkan di YouTube.

Bukan satu jumlah yang sedikit, selarilah dengan standard penyanyi berusia 29 tahun itu yang seringkali cuba melakukan sesuatu yang baharu dalam graf nyanyiannya. Sama ada ia dalam bentuk genre lagu, tata pemakaian atau strategi-strategi lain bagi memastikan peminat tidak mudah bosan; Aina sentiasa menjanjikan sesuatu yang unik.

Bercakap mengenai unik, lima persalinan berbeza telah disarungkan oleh Aina sempena video muzik Fool ini. Fuhh, memang puas tengok Aina tampil berbeza dalam tempoh 3 minit 23 saat itu.

Salah satu penampilan Aina yang paling REMAJA gemari tentunya adalah sewaktu dia memperagakan busana berpotongan oversized hitam putih rekaan pereka fesyen muda, Masyadi Mansoor.

Biarpun hanya muncul bagi 21 saat saja, ia telah berjaya mencuri perhatian ramai pihak disebabkan penggunaan perkataan Fool yang tertera pada seluruh busana; di samping permainan lampu dramatik oleh pengarahnya, M Shaffuan.

Sumber Foto : Instagram @masyadimansoor

Kata Masyadi ketika dihubungi REMAJA, dia mendedahkan bahawa adi busana tersebut dihiasi 30 perkataan ‘Fool’ di sekelilingnya!

Setiap perkataan Fool ditulis oleh orang berlainan termasuk rakan sekerjanya. Akhirnya fabrik khas itu berjaya disiapkan dalam masa dua hari sahaja.

“Kalau hendak tahu, kesemua 30 orang yang terlibat untuk melukis perkataan fool itu adalah wanita..”

Sumber Foto : Instagram @masyadimansoor

“Apabila saya bertemu dengan pasukan pengurusan Aina, mereka memberikan kebebasan sepenuhnya kepada saya sebagai salah seorang daripada lima pereka fesyen yang terpilih.

“Jadi saya ambil peluang ini untuk bukan saja mengekspresikan rasa kecamuk dan gambaran hati yang remuk sebagaimana yang dinyanyikan oleh Aina. Saya terinspirasi oleh bahagian korus lagu Fool itu sendiri yang mengulangi frasa “I’m a fool for you” beberapa kali.

“Bagi saya, adi busana ini adalah gambaran pendengar yang pernah dikecewakan sebelum ini. Sekilas pandang, rekaan bahagian dalamnya kelihatan seperti uniform karate. Ibarat seorang pejuang yang sedang menentang rasa kecamuk dalam hatinya dan ingin melangkah keluar daripada ‘episod lara’ ini sebagai seorang pemenang,” kongsi graduan UiTM Shah Alam ini.

Sumber Foto : Instagram @masyadimansoor

Untuk pengetahuan korang, Aina Abdul dan Masyadi sebelum ini pernah bekerjasama menerusi beberapa projek lain. Sebagai contohnya, dialah yang bertanggungjawab untuk busana showcase ‘A Night With Aina Abdul’ pada Disember 2021.

Menyifatkannya sebagai salah satu momen paling diingati olehnya sebagai seorang pereka fesyen, Masyadi yang sinonim dengan siluet puffer dan oversized merasakan cukup mudah untuknya bekerja dengan Aina dan pasukannya.

Aina Abdul pada malam kedua showcase ‘A Night With Aina Abdul’ dengan menggayakan busana ciptaan Masyadi Mansoor & Shazleen Jalal

“Mereka adalah insan yang meraikan kebebasan berkarya. Lagipun, Aina ialah seorang yang berani memperjuangkan seninya dan mampu membawakan sebarang jenis look yang diberikan termasuklah look yang ‘berat’.

“Sewaktu bahagian video muzik yang memerlukan Aina memakai busana ciptaan saya itu, saya lihat dia sudahpun mengambil mood untuk mengeluarkan alter ego yang disimpannya selama ini.

“Aina ini kalau hendak tahu tidak boleh duduk diam (ketawa). Saya enjoy

melihatnya begitu komited untuk menjiwai mood setiap kali sebelum melakukan persembahan,” tambah Masyadi lagi yang kini sedang mempersiapkan finalis Anugerah Juara Lagu ke-36, Noki sebelum hari Ahad ini.

Terdahulu, satu lagi ciptaan Masyadi buat Aina semasa peringkah Separuh Akhir Muzik-Muzik telah menjadi topik perbualan warganet.

ARTIKEL BERKAITAN : Aina Abdul, Naim Daniel & Haqiem Rusli Pertaruh 2 Lagu Di Pentas AJL-36 – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ