Jika sebelum ini Masjid Nur As-Sa’adah, Kampung Pengkalan Batu menawarkan hadiah basikal kepada kanak-kanak yang hadir solat Subuh berjemaah 40 hari berturut di masjid, kini masjid itu sekali lagi mencuri perhatian apabila menawarkan motosikal pula kepada jemaah.
BACA: Masjid Tawar Ganjaran Basikal Kepada Kanak-Kanak Yang Hadir Solat Subuh Berjemaah
Menurut pengerusi masjid berkenaan, sebanyak empat buah Modenas Kriss MR3 berharga RM16,000 akan menjadi milik jemaah yang layak. Syaratnya, jemaah perlu memenangi empat kategori dipertandingkan pada Program Istiqamah Subuh dan Isyak berjemaan 40 hari bermula 1 Mac hingga 9 April 2022.
Kategori pertama bagi program masjid ini adalah khusus untuk anak kariah, kedua kategori terbuka kepada penduduk luar manakala kategori tiga dan empat adalah untuk pegawai syarak, jawatankuasa dan pekerja masjid serta jemaah wanita.
Walaupun program belum dimulakan, namun pihak masjid sudah menerima lebih 30 penyertaan bagi kesemua kategori yang terbuka kepada semua umat Islam berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen motosikal.
Menerusi program itu peserta diwajibkan berjemaah Subuh dan Isyak di masjid selama 40 hari berturut-turut. Selain itu mereka juga boleh mendapatkan mata tambahan jika berjemaah untuk semua waktu atau program lain anjuran masjid yang akan meningkatkan peluang kemenangan.
Jelas pengerusi masjid lagi, semakin hari semakin ramai orang kampung yang berjemaah di masjid. Mereka datang bukan sebab motosikal kerana bukan semua akan dapat dan program juga baru sahaja diuar-uarkan. Keempat-empat motosikal itu berharga RM4,000 setiap satu dan disumbangkan oleh individu dermawan serta tidak menggunakan sebarang dana tabung masjid.
Semoga dengan cara ini sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat masyarakat untuk mengimarahkan masjid dan jika ada rezeki, bolehlah mereka bawa pulang sebuah motosikal nanti.
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: (1)
https://www.youtube.com/watch?v=wbbIGGPiHeM