Bukan luar biasa tetapi sudah menjadi perkara biasa. Namun tidak ramai menjadikannya iktibar.
Ternyata, berita-berita kemalangan yang kita baca setiap hari di media sosial mahupun akhbar selain menonton tv adalah berpunca dari kecuaian pemanduan selain sikap suka ambil mudah.
Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati kebanyakan pemandu di negara ini mengakui bahawa penggunaan telefon bimbit ketika memandu merupakan faktor penyumbang kepada kemalangan jalan raya, kata Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye.
Katanya, Miros melakukan kajian rawak pada tahun lalu terhadap 300 responden di Lembah Klang dan mendapati 43.4 peratus pengguna jalan raya menggunakan telefon bimbit ketika memandu kereta dan membonceng motosikal manakala 61.7 peratus pemandu menerima atau membuat panggilan telefon ketika memandu sekurang-kurangnya satu hingga tiga kali seminggu.
Selain itu, kajian itu juga mendedahkan 53.6 peratus pemandu menggunakan telefon bimbit ketika terperangkap di dalam kesesakan jalan raya; 53 peratus pemandu menaip teks ketika memandu sekurang-kurangnya satu hingga tiga kali seminggu dan 61.7 peratus pemandu menerima atau membuat panggilan telefon ketika memandu sekurang-kurangnya satu hingga tiga kali seminggu.
Tidak hairanlah, dengan sikap mementingkan diri ini dan jangan sesekali terperanjat kadar kematian jalan raya di Malaysia adalah ketiga tertinggi di dunia, lapor Bloomberg.
Negara ini mencatatkan kadar kematian sebanyak 23 orang bagi setiap 100,000 penduduk, menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia 2013, kata laporan itu.
Thailand mempunyai rekod terburuk dengan kadar kematian sebanyak 36.2 orang diikuti Afrika Selatan dengan 25 orang bagi setiap 100,000 penduduk.
Selain Thailand, Malaysia juga mempunyai kadar kematian tertinggi di Asia Tenggara. Negara lain termasuklah Indonesia yang mencatatkan kadar kematian 15 orang dan Filipina 11 orang bagi setiap 100,000 penduduk.
Dalam pada itu, Kempen Keselamatan Jalan Raya bersempena Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Kedah 2018 telah dilancarkan demi keselamatan pengguna dua hari yang lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata tahap kesedaran pengguna jalan raya untuk tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu kereta atau menunggang motosikal masih rendah.
“Saya bimbang lihat pengguna jalan raya yang menggunakan telefon bimbit terutamanya penunggang motosikal. Ini adalah satu tindakan yang tidak wajar kerana ia boleh mengganggu dan membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya negeri Chan Pei Hong berkata pengguna jalan raya perlu memberi fokus 100 peratus semasa di jalan raya tetapi fokus tersebut menurun kepada 50 peratus apabila pengguna menggunakan telefon bimbit.
“Apabila tahap fokus tinggal 50 peratus, tumpuan pengguna jalan raya terhadap risiko kemalangan juga berkurangan. Itu boleh menyebabkan berlakunya kemalangan sehingga meragut banyak nyawa,” katanya.
Soalannya, apa lagi dimahukan oleh rakyat Malaysia untuk lebih bekerjasama dalam soal di jalan raya. Sudah terang lagi jelas, kesalahan menggunakan telefon bimbit denda sebanyak RM300 akan dikeluarkan tetapi ia sesekali tidak pernah menakutkan rakyat negara ini.
Sumber: Bernama, Sinar Harian, The Malaysian Insight
VIdeo ini mungkin boleh menginsafkan pemandu yang terus berdegil. Bagaimana kecuaian sebenarnya boleh membunuh orang lain.