Isu penolakan vaksin menjadi isu panas di media sosial. Menolak vaksin mendedahkan kepada risiko penyakit dan kematian. Pernah satu keluarga di Kedah kematian dua anak akibat difteria kerana tidak melengkapkan suntikan imunisasi kepada anak-anak. Banyak juga kes dilaporkan berlaku di mana semuanya diakhiri dengan kematian kerana anak tidak mendapat imunisasi sepenuhnya.
Jika zaman dahulu, kebanyakan ibu bapa hanya menerima sahaja saranan dari doktor kerana yakin dengan institusi kesihatan tetapi hari ini sudah ramai ibu bapa terpelajar dan punya pelbagai pandangan. Semakin cerdik ibu bapa melalui pembacaan yang meluas, semakin banyaklah maklumat yang digali biarpun ada ketikanya, banyak berita palsu, tular dan dipercayai orang ramai khususnya golongan ibu bapa muda.
Isu bahawa vaksin boleh menyebabkan autisme, bahan digunakan tidak halal antara yang hangat diperkatakan.
Namun adalah lebih baik mendapatkan pandangan pakar mengenai isu hangat ini agar kesilapan itu tidak diulangi oleh bakal-bakal ibu. Menurut Dr Tabassum Khan yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam dunia perubatan dan kini Pengarah Urusan AJ Pharma Holding, beliau menjelaskan lima mitos tentang vaksin yang hangat diperbualkan di media sosial.
Apa bakal ibu perlu faham mengenai mitos vaksin ini? Jangan ulang kesilapan ya kepada bakal-bakal pengantin.
Maklumat tidak tepat berkaitan perubatan yang tersebar luas di Internet dan media sosial telah menimbulkan rasa takut terhadap imunisasi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, bilangan ibu bapa yang enggan mendapat vaksin untuk anak-anak mereka telah meningkat semenjak beberapa tahun kebelakangan ini. Berdasarkan data dari tahun 2016, pengaruh media sosial dan Internet adalah antara faktor utama penolakan vaksin dalam kalangan ibu bapa.
Laporan ini mencetuskan kebimbangan kerana kanak-kanak yang langsung tidak diberi vaksin atau tidak diberi semua vaksin yang disyorkan berdepan risiko pelbagai penyakit yang mampu mendatangkan maut. Malah, keadaan ini mungkin akan menghapuskan imuniti kelompok, di samping mengakibatkan kewujudan semula pelbagai penyakit di Malaysia yang mampu dicegah oleh vaksin.
Sempena Minggu Imunisasi Dunia yang menjelang tiba, pihak AJ Biologics Malaysia telah mengambil inisiatif untuk membincangkan isu-isu yang berkait rapat dengan punca penolakan vaksin dan bagaimana untuk mengubah beberapa tanggupan salah yang lazim dalam kalangan masyarakat.
Ini 5 mitos mengenai vaksin yang tular di media sosial. Baca dan faham agar kita tak mengulangi kesilapan ya.