Berita

500 Malim Gunung Digerakkan Cari Muhammad Hawari, Pendaki OKU Yang Hilang Di Gunung Everest

Share

Sekurang-kurangnya 500 malim gunung atau sherpa akan digerakkan untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari Hashim di kawasan pergunungan Everest tahun depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Berbaki 5 Hari Lagi, Kerajaan Hulur RM1.46 Juta Bantu Misi Pencarian OKU Pendengaran Hilang Di Gunung Everest

Muhammad Hawari dilaporkan hilang selepas turun dari puncak Everest pada 18 Mei lalu.

Ini berlaku setelah operasi SAR Muhammad Hawari, yang berusia 33 tahun dan juga seorang yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) pendengaran, dihentikan pada 16 Jun yang lalu disebabkan oleh faktor keselamatan pasukan SAR dan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika itu.

Pengarah yang juga merupakan Pengasas Bersama Pioneer Adventure, Nivesh Karki, menyatakan bahawa pihaknya sedang mengumpulkan tenaga sherpa dari syarikat-syarikat yang berbeza untuk menjalankan operasi SAR tersebut pada tahun yang akan datang.

Pengasas Bersama Pioneer Adventure, Nivesh Karki

“Kita beri jaminan kepada keluarga usaha mencari Muhammad Hawari akan dilakukan secara menyeluruh di seluruh pelusuk Everest dengan bantuan kira-kira 500 sherpa daripada pelbagai syarikat.

“Malah kita juga tawarkan ganjaran kepada sesiapa yang berjaya menemui Muhammad Hawari sekali gus memastikan misi pencarian itu lebih proaktif.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh memberi jaminan sama ada Muhammad Hawari dapat ditemui dalam misi pencarian tahun depan ini kerana ada kes di mana pendaki hilang pada 1942 ditemui selepas 77 tahun,” katanya hari ini.

Karki berkata demikian pada sesi soal jawab berhubung rancangan pencarian Muhammad Hawari yang dijangka bermula pertengahan April hingga akhir Mei tahun depan.

Saffiyah hadir bersama anak perempuannya.

Hadir sama isteri Muhammad Hawari, Saffiyah Tang Xie Lie, 34, bersama dua anaknya serta ibu mertuanya, Che Tom Hassan.

Mengulas lanjut, Karki berkata, berdasarkan kenyataan sherpa yang menemani Muhammad Hawari, dia dilihat kali terakhir di Kem Empat pada aras ketinggian 8,000 meter dari aras laut namun tidak dapat disahkan sama ada dia mendaki atau menurun gunung tersebut.

 

“Bagaimanapun apa yang terjadi selepas itu tiada siapa dapat pastikan kerana sherpa tersebut meninggalkan kem untuk memberi bantuan kepada Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub yang berdepan masalah kesihatan.

“Pencarian tempoh hari kita tidak menemui apa-apa jejak dan kita harap pencarian pada musim pendakian tahun depan berhasil namun bergantung pada cuaca.

“Jika cuaca buruk SAR mungkin terpaksa ditanggunhkan lagi dan pencarian akan dilakukan tahun seterusnya (2025),” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Hawari dilaporkan hilang selepas turun dari puncak Everest dan berehat di kem empat lalu selepas berjaya menakluk punca Everest petang 18 Mei lalu.

Misi pendakian ME2023 dikendalikan oleh syarikat Pioneer Adventure yang berpusat di Nepal dengan menyediakan tenaga malim gunung, logistik dan makanan sepanjang misi ke puncak Everest.

Sebelum ini, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM1.48 juta dan Kerajaan Pulau Pinang RM500,000 kepada Kelab Eksplorasi Altitud bagi operasi SAR Muhammad Hawari.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Adriana Syaurah