Hari ini genap lima hari kehilangan kapal selama KRI Nanggala-402.
Setelah usaha pencarian kapal selam tentera Indonesia, KRI Nanggala 402 yang hilang sejak hari Rabu lalu dilakukan dengan bantuan daripada angkatan tentera serta jentera pencarian negara-negara serantau, akhirnya ia disahkan ditemui di dasar laut dekat perairan Bali, hari ini.
Berita tersebut dimaklumkan oleh Panglima Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI), Hadi Tjahjanto. Kapal selam yang ditemui dalam keadaan pecah kepada tiga bahagian itu membawa 53 orang kru dan kesemuanya disahkan meninggal dunia.
Menurut laporan, penemuan itu berhasil setelah pihak berkuasa telah menerima isyarat dari lokasi oleh kapal selam penyelamat milik Singapura pada kedalaman kira-kira 838 meter.
Rentetan dari itu, Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengucapkan takziah kepada Presiden Indonesia Joko Widodo serta kerajaan dan rakyat negara berkenaan susulan tragedi yang menimpa kapal selam KRI Nanggala 402.
Muhyiddin berkata Malaysia sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan wajar yang diperlukan kepada Indonesia dalam menghadapi waktu genting.
“Saya mewakili kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia merakamkan ucapan takziah… Kami turut berdukacita atas tragedi yang mengejutkan dan amat menyayat hati ini.”
“Semoga Allah mengurniakan kekuatan dan kesabaran kepada ahli keluarga 53 anak kapal tersebut dalam menempuh dugaan ini.”
Kenyataan rasmi itu telah dimuat naik menerusi Facebook miliknya.
Sebelum ini, Ketua Tentera Laut Indonesia (TNI), Laksamana Yudo Margono menyatakan kapal selam KRI Nanggala 402 yang terputus hubungan sejak Rabu, (21/4) di perairan Bali kini sudah dikenal pasti di kedalaman 838 meter di bawah permukaan laut.
Sementara itu, beberapa bukti ditemukan antaranya kemudi vertikal belakang, bahagian luar badan kapal, dan termasuk baju keselamatan awak kapal.
“Telah disahkan sebahagian dari KRI Nanggala 402 telah ditemukan meliputi kemudi vertikal belakang, bahagian luar badan, sauh, enjin selam timbul, bahagian kapal lain termasuk baju keselamatan awak kapal MK-11,” kata Hadi ketika sesi sidang media petang tadi.
Pastinya bagi anggota keluarga tiada istilah berhenti berharap, apatah lagi berhenti menunggu insan tersayang daripada menjelma di depan mata. Apa-apapun Al-fatihah dan takziah kami ucapkan buat parajurit yang terkorban.
Sumber: Bernama, Facebook TSMY