Bukan mudah apabila seseorang itu memegang gelaran atlet wanita negara.
Tekanan yang diletakkan di atas bahu mereka itu pastilah ada. Namun apabila kamu bergelar seorang atlet wanita negara, perhatian yang diberikan oleh netizen dan peminat sukan amnya kadangkala membuatkan diri kamu tidak merasa selesa.
Sempena kejohanan Sukan Komanwel 2018 di Goldcoast yang akan membuka tirai esok sehingga 15 April ini, kami senaraikan 5 orang atlet wanita bagi mewakili skuad wanita negara yang lain dalam memburu kejayaan.
Buktikan girls, you can do wonders!
* * * * *
Pandelela Rinong // Terjun
Kejayaan memperoleh pingat gangsa bersama rakan sepasukan Cheong Jun Hoong untuk acara 10m platform berirama wanita baru-baru ini pada kejohanan Siri Dunia FINA 2018 di Beijing seakan memberikan sinar semangat untuk kem terjun negara meraih kejayaan untuk Sukan Komanwel 2018.
Bagaimanapun, Pandelela dan atlet terjun lain seperti Leong Mun Yee, Dhabitah Sabri dan Cheong Jun Hoong perlu sentiasa berwaspada dengan saingan negara lain dan fokus kepada prestasi mereka.
* * * * *
Dhabitah Sabri // Terjun
Seperti kebiasaan apabila ada kejohanan besar, skuad terjun akan melakukan latihan intensif di luar negara. Selain daripada kejohanan bersiri FINA di Beijing, Bitah juga menyertai kejohanan bersiri sama di Fuji Jepun.
Sebelum ini di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Dhabitah berpasangan bersama Wendy Ng dalam acara platform 10m berirama wanita dan memperoleh pingat emas. Namun selepas Wendy terpalit dengan insiden pengambilan bahan terlarang pada tahun lalu, dia kini akan bergandingan dengan seorang lagi penerjun senior negara, Leong Mun Yee.
“Skuad penerjun akan meneruskan latihan dan tidak akan ‘bercuti’. Saya pasti dengan persediaan cukup kami boleh tingkatkan keyakinan dan prestasi.”
Selain acara platform 10m, Bitah juga akan bertanding untuk 3 lagi acara: 1m papan anjal, 3m papan anjal individu dan berirama.
* * * * *
Farina Shawati // Berbasikal Trek
Bersama-sama dengan seorang lagi pelumba basikal negara, Fatehah Mustapha, Farina Shawati ingin berfikiran positif menjelang 3 acara berbasikal yang disertainya. Pemenang pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 ini akan berdepan dengan saingan sengit dari juara dunia Australia, New Zealand dan Great Britain di Anna Meares Velodrome, Queensland kelak.
“Saya ingin memperbaiki rekod acara pecut wanita 200m dan memasuki peringkat separuh akhir keirin. Saya akan mencuba yang terbaik untuk memberikan pingat kepada negara walaupun saya akui, saingannya sukar.
* * * * *
Zaidatul Husniah // Lari Pecut
Walaupun bakal bertanding atas tiket rayuan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), ratu pecut 100 meter negara ini tidak menjadikan itu sebagai alasan untuk tidak bersedia sepenuh daya. Lebih dikenali dengan gelaran Adeq ‘Pitcher’, Zaidatul ialah sebahagian daripada 13 orang atlet yang mewakili skuad Olahraga yang dijadualkan bertolak ke Goldcoast pada hari ini.
* * * * *
Farah Ann Abdul Hadi // Gimnastik
Selepas beraksi cemerlang di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, pasukan gimnastik artistik wanita negara ingin sekurang-kurangnya meraih satu pingat pada Sukan Komanwel kali ini. Di samping Farah Ann, skuad gimnas turut disertai Tan Ing Yueh, Nur Azira Aziri dan Geanie Ng yang menggantikan posisi Tracie Ang.
Tracie terpaksa menarik diri pada saat terakhir kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pinggul selepas menjalani pembedahan tahun lalu.
Walaupun proses recovery kelihatan baik dan Tracie telahpun terpilih untuk menyertai skuad gimnas, namun laporan doktor beberapa hari sebelum berlepas ke Goldcoast memerlukan Tracie untuk berehat.
Apapun, kami pasti skuad gimnas akan memberikan persembahan terbaik semasa berdepan dengan pasukan dari Wales, England dan Australia. Farah dan rakannya terlebih dahulu ingin mencapai peringkat final sebelum memikirkan soal pingat.
Farah akan menyertai kedua-dua acara individu dan berpasukan.
* * * * *
Chuah Yu Tian // Lompat Galah
Biarpun berdepan dengan tohmahan yang mempersoalkan pemilihannya ke temasya kali ini, Chuah Yu Tian lebih bertekad untuk membuktikan dia sememangnya layak untuk mengisi slot tersebut.
Pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur dengan pencapaian 3.80 meter ini dilihat mempunyai potensi untuk pergi jauh. Lalu, peluang untuk beraksi kali ini adalah untuk memberikan pendedahan kepadanya agar satu hari nanti boleh mengikuti jejak bekas atlet lompat galah negara, Roslinda Samsu.
“Roslinda adalah idola saya dan dia sempat untuk memberikan kata-kata semangat semasa Sukan SEA tahun lalu. Katanya, semua pesaing adalah sama, latihan yang kami jalankan juga sama. Apa yang membezakan pemenang dengan pesaing lain adalah kekuatan minda pada hari kejadian,” katanya.