Benarlah, jika kualiti menjadi keutamaan berbanding kuantiti, tentunya sesuatu produk itu akan bertahan lama.
Bintang hip hop muda Malaysia, MK K-Clique hari ini mampu berbangga apabila impiannya untuk bergandingan dengan ‘Mr President’, Joe Flizzow dalam sebuah trek tercapai jua setelah single berjudul Ciao menemui pendengar semalam.
Ini merupakan di antara projek yang dinantikan oleh para peminat Joe sendiri apabila Ciao bukan sekadar menampilkan MK seorang. Malahan, ia juga mendapat sentuhan penyanyi Korea Selatan, Jay Park!
Menerusi sesi Instagram Live yang dilakukan oleh Joe bersama MK semalam, beliau mendedahkan betapa lamanya lagu ini telah ‘diperam’ bagi menantikan waktu yang sesuai untuk pelancarannya.
“Saya sudah hantarkan Ciao kepada mereka (Jay Park dan MK) sejak bulan Februari tahun lalu. Dan sekitar bulan 6, lagu ini telahpun disiapkan. Tapi disebabkan lockdown, kami tak boleh lancarkan lagi. Betul lah kata orang, kadangkala kesabaran itu akan membuahkan sesuatu yang lebih baik.
“Akhirnya Ciao sudah dilancarkan malam ini (semalam). Dan pada jam 9 malam esok (hari ini) video muziknya akan dilancarkan di semua platform atas talian,” kongsi Joe.
Dalam pada itu, MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin, 24 mengucapkan syukur ke atas peluang besar yang hadir kepadanya ini. Satu-persatu karya yang mendapat sentuhan MK setakat ini nampaknya bertukar menjadi popular.
“Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak kepada abang Joe kerana membawa MK ke tahap seterusnya. Saya selalu bermimpi untuk bergandingan dengan Joe Flizzow dan (Ciao) adalah sesuatu yang besar untuk saya,” kata MK yang turut menerima kata-kata semangat daripada Joe. “You are the new generation of this brand (hip hop). You are killing it brother.”
Yes he is.
Jika ingin dibandingkan di antara trek Ciao dan Kuasa yang dilancarkan Joe pada tahun lalu, penulisan liriknya menampilkan gaya bahasa Melayu yang berbeza. Menerusi Kuasa, Joe menggunakan bahasa Melayu yang rasmi manakala Ciao menampilkan lirik yang lebih dekat dengan slanga percakapan harian terkini.
Jelas Joe, ini adalah satu transisi dalam dunia hip hop di mana ia mempunyai cabang yang luas. Demi memastikan seorang artis itu kekal relevan, mereka perlu pantas mengadaptasi diri mengikut trend peralihan zaman.
Dalam perkongsian Joe dalam artikel Harian Metro pada 5 Disember lalu, kerjasama dengan MK dan Jay Park adalah ibarat jambatan yang menghubungkan generasi berbeza serta berlainan negara.
“MK berada di Kota Kinabalu manakala Jay Park pula di luar negara. Bagaimanapun, Ciao siap dalam beberapa hari selepas mereka menghantar rakaman masing-masing kepada saya semula.
“Saya dan Jay Park memang sudah lama kenal serta rapat. Dengan MK, saya kenalnya ketika menghasilkan 16 Baris dan saya tumpang gembira dengan setiap kejayaannya bersama K-Clique. Bagi saya, Ciao adalah sebuah lagu yang membuktikan karya hip hop Asia sangat dasyat. Misi kami adalah untuk menunjukkan kualiti artis Asia bukan calang-calang,” katanya.
*
Dengarkan Ciao di SPOTIFY,
Tonton video muziknya di sini..
dan tonton video reaksi REMAJA apabila mendengarkan lagu Kuasa, tahun lalu.