6 Daerah Selangor Saja Di Bawah PKP, Bukannya Seluruh Negara

Share

 

Nampaknya ura-ura bahawa arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan kembali dilaksanakan bertukar ‘separuh benar’ apabila hanya beberapa daerah saja di dalam negeri Selangor yang terlibat.

Sebelum ini, timbul spekulasi di media sosial yang mengatakan kemungkinan PKP dilaksanakan di seluruh negara.

Setelah merujuk kepada laporan dan juga setelah mendapat pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, sidang media Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri sebentar tadi telah mengumumkan perlaksanaan arahan PKP ke atas 6 daripada 9 daerah di Selangor.

Daerah yang dimaksudkan adalah daerah :

1) Hulu Langat

2) Petaling

3) Gombak

4) Klang

5) Kuala Langat

6) Sepang

Arahan PKP ke atas enam buah daerah yang terlibat ini akan mula berkuatkuasa dari 6 Mei hingga 17 Mei 2021.

Manakala 3 buah daerah Selangor lain yang tidak tersenarai iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor masih mengekalkan status arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sumber Foto : The Edge Markets

Biarpun keputusan ini akan mengakibatkan perubahan dari segi rutin rakyat yang perlu bekerja dan bersekolah sebagai contoh, ia dilihat perlu setelah melihat kepada statistik kes baharu COVID-19 yang semakin mendadak hingga satu ketika melebihi angka 3,000 buat beberapa hari berturut-turut.

Demi memutuskan rantaian wabak di Selangor yang juga merupakan negeri yang mencatatkan jumlah kes tertinggi pada setiap hari, maka limitasi pergerakan di antara enam buah daerah ini dilihat perlu kecualilah ia melibatkan urusan kecemasan seperti kematian, sakit kritikal dan kerja.

Menurut Ismail Sabri lagi, arahan SOP di semua 6 daerah ini sama seperti yang dilaksanakan di Kelantan dan di lima daerah di Kedah.

Sebagai contoh, semua jenis premis makanan hanya dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 12 tengah malam. Kedai runcit, serbaneka, kedai harian, stesen minyak dan farmasi pula hanya dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam.

Sementara itu, bangunan seperti hospital, klinik dan makmal kesihatan dibenarkan beroperasi seperti biasa. Operasi semua jenis pasar seperti pasar awam, pasar tani dan pasar minggu juga dibenarkan dari 6 pagi hingga 2 petang saja.

Menariknya, MKN masih membenarkan operasi bazar Ramadan seperti biasa mengikut SOP yang ketat mengikut keputusan kerajaan negeri.

Korang bersetujukah dengan keputusan PKP di hanya 6 buah daerah di Selangor ini saja?

Published by
FZ