Kadang, tanpa terduga kita ditahan polis saat berada di khalayak ramai. Ia mungkin atas satu laporan dan anda sendiri tidak mengetahuinya.

Apa hak diri kita bila ditahan di khalayak ramai? Jom Tanya Peguam membantu anda atau ahli keluarga anda yang mungkin ada masalah ini. Ketahui, inilah hak anda bila ditahan polis kerana anda masih mempunyai hak.

Kehadiran pihak Polis di kawasan awam, di sekatan jalan raya contohnya bukanlah suatu yang asing bagi majoriti masyarakat kita. Namun tidak semua mempunyai pengalaman di dalam menghadapi situasi apabila berdepan dengan pihak Polis secara peribadi dan terus (face to face).

Di dalam penulisan kali ini pihak Jom Tanya Peguam akan fokuskan pada salah satu situasi penting dan vital apabila berhadapan dengan pihak Polis iaitu apabila pihak Polis berdepan dengan anda dan bertindak ingin menahan anda atas siasatan untuk suatu kesalahan.

*Penulisan ini hanyalah sekadar penulisan yang berbentuk perkongsian yang asas untuk pemahaman secara umum kepada masyarakat awam diluar sana. Penulisan ini tidak membentuk suatu nasihat guaman dan/atau mengikat pihak-pihak selaku Peguam-anakguam melainkan sekadar perkongsian semata-mata.

LANGKAH 1 (PENGESAHAN PIHAK YANG CUBA MENANGKAP)

Langkah awal yang pihak anda (orang awam) boleh lakukan adalah dengan mengesahkan orang yang cuba menahan/menangkap anda tersebut adalah Polis yang sebenar. Ini kerana terdapat beberapa rekod kes-kes penyamaran sebagai anggota penguatkuasa, sebagai anggota Polis, Askar dsb untuk tujuan jenayah.

Pengesahan awal boleh dibuat berdasarkan 2 cara yang pertama, sekiranya pihak Polis tersebut memakai pakaian seragam, anda perlu memberi perhatian kepada wajah anggota Polis tersebut, tanda nama dan lencana nombor, pada bahagian atas poket Polis tersebut.
Rekodkan nama dan nombor lencana anggota Polis tersebut di telefon bimbit anda atau tulis di mana-mana tempat yang anda mempunyai akses kepadanya kelak.

Kaedah kedua pula terpakai juga untuk pihak Polis yang memakai pakaian seragam atau bukan, anda berhak untuk meminta pihak Polis tersebut untuk menunjukkan Kad Kuasa Polis. Fokus pada warna kad kuasa tersebut dan ingat “B.K.M”, Biru untuk jawatan inspektor dan keatas, Kuning untuk jawatan bawah dari Inspektor, manakala Merah untuk anggota yang sedang digantung tugas/kuasa.

LANGKAH 2 (KENYATAAN YANG ANDA PERLU BERI SEMASA DITAHAN/DITANGKAP)

Ads

Apabila anda berhadapan dengan pihak Polis, sebenarnya anda hanya perlu untuk memberi 3 maklumat asas sahaja iaitu nama anda, alamat anda, dan nombor kad pengenalan anda. Sekiranya anda ditanya apa-apa soalan berkaitan perkara yang berkaitan kesalahan yang didakwa dilakukan oleh anda atau individu lain, elakkan diri dari menjawab bagi mengelakkan kenyataan anda tersebut menjadi suatu kenyataan yang “incriminating” kepada diri anda.

LANGKAH 3 (PENGESAHAN SAMA ADA ANDA SEBENARNYA DITANGKAP ATAU TIDAK)

Anda hendaklah beranikan diri untuk bertanyakan kepada Polis untuk tujuan pengesahan sama anda telah ditahan dengan bertanya “Tuan, adakah saya sedang ditahan? Adakah saya sedang ditangkap?”. Ini adalah antara contoh mudah untuk megesahkan sama ada anda benar benar sedang ditahan/ditangkap atau tidak.

Untuk fahaman asas orang awam, tahan dan/atau ditangkap oleh Polis ini boleh berlaku dalam mana-mana 3 situasi yang dinyatakan di dalam Seksyen 15(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Pertama dengan cara menyentuh tubuh anda (contoh: dipegang, digari dan disentuh), keduanya dengan cara mengurung anda (contoh: melarang anda untuk keluar dari suatu Kawasan tersebut), dan ketiga dengan cara pengakuan terhadap penangkapan tersebut (contohL ya, kami tahan anda).

LANGKAH 4 (HAK UNTUK MENGETAHU ATAS SEBAB APA ANDA DITANGKAP/DITAHAN)

Ads

Sekiranya anda disahkan secara mulut oleh Polis tersebut bahawa anda sedang ditahan/ditangkap dan/atau disahkan ditangkap berdasarkan mana-mana kaedah di langkah 4 dan tanpa waran tangkap. Tindakan anda selanjutnya adalah dengan bertanya kepada pihak polis tersebut atas kesalahan apakah anda ditahan.

Anda hendaklah mengetahui sebab apa anda ditahan dengan kadar segera antaranya pada bila anda ditangkap atau semasa di bawa ke balai polis sepertimana hak yang dijanjikan di dalam Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan yang mana mmperuntukkan: –

“5(3) Jika seseorang ditangkap maka dia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera yang boleh alasan-alasan dia ditangkap dan dia hendaklah dibenarkan berunding dengan dan dibela oleh seorang pengamal undang-undang pilihannya.”

LANGKAH 5 (HAK UNTUK MEMBUAT MENGHUBUNGI AHLI KELUARGA DAN PEGUAM)

Anda hendaklah bertanya kepada pihak polis yang menahan anda ke balai poliskah anda akan dibawa, ini adalah maklumat yang sangat penting untuk anda ada sebelum anda menggunapakai hak anda yang selanjutnya iaitu hak anda untuk menghubungi 2 pihak, iaitu pihak ahli keluarga anda dan yang keduanya adalah pihak Peguam anda.

Ads

Dengan adanya maklumat dimana balai polis mana anda ditahan, ini akan memudahkan pihak ahli keluarga anda untuk mengenalpasti kedudukan anda dan untuk memudahkan pihak Peguam untuk hadir dengan kadar segera untuk memberi nasihat guaman dsb. (Rujuk Seksyen 28(A) Kanun Prosedur Jenayah)

Hak ini hendaklah diberikan kepada anda sebelum apa-apa soalan dan soal jawab direkodkan oleh Pegawai Penyiasat terhadap anda.

*Rujuk juga Seksyen 28A(8) Kanun Prosedur Jenayah yang memperuntukkan bahawa hak untuk mendapatkan Peguam diawal penangkapan dan siasatan boleh dinafikan diatas alasan kukuh antaranya ianya boleh mengganggu proses siasatan dengan cara memusnahkan bahan bukti, isu keselamatan

LANGKAH 6 (ANDA HANYA BERHAK DITAHAN SELAMA 24 JAM MELAINKAN DENGAN KEBENARAN MAJISTRET)

Di bawah Artikel 5(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa apabila seseorang ditangkap selama tempoh 24 jam (tidak termasuk waktu perjalanan), oleh yang demikian, pihak Polis tidak boleh menahan anda lebih dari 24 jam MELAINKAN dengan kebenaran Majistret. Ini bermakna selepas 24 jam anda ditahan, anda seharusnya dibebaskan, namum jika suatu siasatan dan/atau reman diperlukan bagi siasatan suatu kes melibatkan anda tersebut, pihak Polis boleh mendapatkan suatu perintah reman di hadapan Majistret. (Rujuk Seksyen 28(1) Kanun Prosedur Jenayah)

Pada ketika inilah pihak Peguam anda hadir untuk membantah suatu reman yang dipohon oleh Polis tersebut dan/atau memohon agar hanya suatu tempoh reman yang minima sahaja diberikan kepada anda. Sekiranya pihak Peguam setelah mendapatkan semua maklumat berkaitan dan merasakan bahawa anda sebenarnya telah ditahan/ditangkap secara salah, pihak Peguam akan membuat suatu permohonan untuk melepaskan anda dari tahanan dan antaranya adalah permohonan Habeas Corpus di Mahkamah Tinggi dsb.

Apapun hak anda, pastikan hak-hak ini tidak menjadi suatu sebab untuk anda bertindak tidak sopan dan kurang ajar terhadap pihak Penguatkuasa sehingga menjadi suatu keadaan di mana anda sedang menggunggu tugas penjawat awam.

Semoga penulisan yang sangat ringkas dan sangat asas ini sedikit sebanyak memberi maklumat dan pemahaman kepada kita semua tentang hak anda, ahli keluarga anda, sahabat anda dan atau kenalan anda sekiranya ditangkap polis.

Semoga Allah permudahkan urusan baik kita semua dan melindungi diri kira dari perkara-perkara yang tidak baik. Sumber : Jom Tanya Peguam

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI