6 Telenovela Latin Popular Yang Pernah Ditayangkan Di NTV7

Share

Berita penutupan operasi stesen televisyen NTV7 memberi impak yang besar kepada masyarakat Malaysia, khususnya bagi mereka yang membesar dengan menonton rancangan-rancangan menarik yang disiarkan oleh stesen TV ini.

BACA: “Selamat Tinggal NTV7 Malaysia.. ” Sarimah Ibrahim Sedih Saluran NTV7 Tamat Siaran Hari Ini

Antara slot yang mendapat tempat di hati peminat adalah telenovela Amerika Latin yang disiarkan pada setiap petang. Walaupun satu siri telenovela ini menjangkau sehingga beratus episod, tetapi ia masih mampu menarik perhatian penonton untuk terus berada di depan kaca TV.

Pasti ramai yang merindui kenangan meluangkan masa bersama keluarga menonton telenovela. Betul tak?

Jom kita throwback sikit antara telenovela popular yang pernah ditayangkan di NTV7 satu ketika dahulu.

1. Maria Mercedes

Dibintangi oleh pelakon cantik Thalia, telenovela ini mengisahkan tentang gadis miskin Maria Mercedes yang menyara dua adiknya dengan bekerja sebagai penjual tiket loteri dan menjadi badut.

Wanita ini jatuh cinta dengan jejaka kacak yang kaya dan pelbagai dugaan datang menjadi penghalang cinta mereka. Paling best, lagu Maria Mercedes ni memang boleh buat kita terikut-ikut sekali.

2. La Usurpadora

Lain pula dengan kisah pasangan kembar yang telah terpisah sejak kecil dan apabila besar, mereka terperangkap dalam satu siri penyamaran. Apa yang bestnya drama ini bila si kakak yang hidup miskin perlu menggantikan tempat adiknnya yang menjadi isteri orang kaya kerana sering berlaku curang bersama lelaki lain.

Watak kembar yang antagonis ni memang boleh bikin kita rasa sakit hati setiap kali menonton telenovela ini.

3. Mis Tres Hermanas

Ini antara telenovela Latin yang paling sweet, berkisarkan tentang kekeluargaan di mana si abang sulung perlu menjaga tiga adik-beradik perempuannya selepas kematian ibu bapa mereka.

Setiap seorang adik perempuannya itu punya kisah mereka yang tersendiri dan si abang pula dengan kisah isterinya yang boleh tahan jahat. Itu buat penonton lebih geram.

Namun begitu, gandingan Scarlet Ortiz dan Ricardo Alamo menjadikan drama ini lebih romantis dengan kisah percintaan mereka yang penuh dugaan.

4. Secreto de Amor

Telenovela ini menjalankan penggambaran di Miami, Florida dan dilakonkan oleh bintang terkenal Scarlet Ortiz dan Jorge Aravena. Kisah percintaan mereka dilanda pelbagai liku dan bagaimana mereka bersatu mempertahankan cinta mereka.

5. Mi Gorda Bella

Siri Venezuela ini mempunyai sebanyak 178 episod dan ditayangkan selama setahun. Mi Gorda Bella mengisahkan tentang seorang gadis gemuk yang sering dicemuh, tetapi menjadi pilihan jejakan kacak. Drama ini turut diadaptasi oleh beberapa negara termasuklah India, Mexico dan Malaysia menerusi drama Manjalara.

6. Juana La Virgen

Juana La Virgen atau lebih popular di Malaysia dengan judul Juana’s Miracle menceritakan tentang seorang pelajar cemerlang bernama Juana yang dilakonkan Daniela Alvarado, hidup Juana mula berserabut dan huru hara apabila disahkan hamil akibat kesilapan daripada pihak hospital. Daniela digandingkan bersama Ricardo Alamo sebagai Mauricio de la Vega, bintang utama Mis 3 Hermanas.

Haih, kenangan sungguh..

Published by
Noor Ain Norman