7 Jenis Durian Terbaik Di Malaysia, Sebelum Beli Tengok Dulu Untuk Elak Ditipu

Share

Sekarang musim durian. Banyak post di media sosial juga bercerita mengenai keenakan raja buah ini. Ada macam-macam jenis malah asal viral mengatakan ada buah murah ramai la beratur membeli. Tapi korang tahu tak sebab apa durian ada yang murah ada yang mahal?

Apa kata kita kenali 7 jenis buah durian terbaik yang menjadi kegilaan rakyat Malaysia ini. Tip ini juga korang boleh gunakan untuk elak ditipu penjual buah durian yang tak bertanggungjawab.

Yelah harga buah durian sekarang boleh tahan ye!

1. MUSANG KING (D197)

Inilah durian idaman pencinta ‘raja buah’ iaitu Musang King.

Hati-hati, kerana ada peniaga yang mengambil kesempatan untuk menjual jenis durian lain sebagai Musang King demi mengaut keuntungan. Durian asli Musang King mempunyai isi berwarna kuning keemasan dengan tekstur yang lembut dan berkrim. Isi durian ini juga lebih tebal, berkilat dan berbiji kecil berbanding durian lain.

Rasa: Lemak manis, sedikit pahit, buttery, aroma yang kuat

Tips: Mempunyai bentuk lebih bujur seperti bola ragbi, kulit hijau muda, duri berbentuk seperti piramid kecil, bahagian bawah buah mempunyai corak garisan seakan-akan bintang yang ketara (seperti gambar di bawah ini).

2. TEKKA (D160)

Berasal dari Banting, Selangor, durian Tekka pada asalnya mempunyai banyak nama panggilan (Buluh Bawah, Chok Kiok dan Green Bamboo) sebelum ia dijenamakan semula sebagai Musang Queen, menjadikannya pasangan kepada Musang King. Comel kan? Durian pun ada pasangan!

Isinya pula berulas besar, tebal, dan berwarna krim kekuningan dengan biji bersaiz sederhana besar. Saiz buah ini juga sederhana besar dengan lingkungan berat 1.5 – 3 kg setiap biji, dan kulitnya yang nipis membuatkan ia mudah dikupas.

Rasa: Manis dengan sedikit pahit, berlemak, tekstur berkrim

Tips: Saiz agak besar dan berbentuk lonjong (besar di atas, kuncup di bawah), menyerupai bentuk hati dengan lekuk pada pangsa.

3. UDANG MERAH (D175)

Berasal dari Balik Pulau, durian baka kahwin ini menghasilkan isi berulas halus, berwarna kuning jingga kemerahan dan setiap biji mempunyai lapisan krim yang sangat menyelerakan. Diberi nama tempatan Ang Hae, jenis durian ini yang berkualiti tinggi agak sukar ditemui, menyebabkan harganya kadangkala lebih mahal daripada Musang King.

Durian ini juga ditanam di negeri Pahang dan Johor, tetapi rasanya tidak sama seperti Udang Merah Pulau Pinang yang asli. Kebiasaannya berkulit coklat perang, durian ini berbentuk bujur, berduri pendek, dan agak susah dikupas kerana berkulit tebal dan keras.

Rasa: Berlemak manis, melekit, halus dan lembik, aroma yang menyelerakan

Tips: Kulit Udang Merah yang berwarna hijau keperangan dikatakan ditanam di luar Pulau Pinang. Untuk memilih Udang Merah yang terbaik, pastikan beratnya dalam 1 kg sebiji.

4. SULTAN (D24)

D24 atau durian Sultan mudah untuk dikenalpasti dan ditemui. Ia berbentuk bulat, mempunyai duri yang lebih tirus dan tajam, dengan susunan duri-duri halus yang rapat di keliling tangkai. Di bahagian bawah buah ini terdapat bulatan berwarna coklat seperti serpihan dari bunga.

Berwarna kuning pucat, isinya mempunyai tekstur tebal dan lembut. Dengan harga berpatutan (dari RM19 per kg), ia juga selalu dihidang dalam bufet durian. D24 mampu memberi kepuasan setanding durian premium jika anda pandai memilih.

Rasa: Sangat berlemak, sederhana manis dan pahit, aroma sederhana kuat

Tips: Kulit durian Sultan D24 berwarna hijau muda, nipis dan mudah dikupas. Biasanya, satu pangsa beris dua atau tiga ulas.

5. DURI HITAM / BLACK THORN (D200)

Dikatakan jauh lebih enak daripada Musang King yang overrated, durian premium dari Sungai Bakap, Pulau Pinang ini semakin menjadi buruan “hantu durian”. Bergantung kepada usia pokok tersebut, isinya yang lebih bulat berbanding durian lain juga mempunyai variasi warna berbeza, daripada jingga pastel seakan-akan merah jambu, hingga jingga terang.

Walaupun isi tidak setebal Musang King, keunikan rasa lemak manis Black Thorn yang menyelerakan pasti membuat setiap penggemar durian termimpi-mimpi! Sekarang, harga Black Thorn yang berkualiti bermula sekitar RM60 per kg dan boleh mencecah RM105 per kg.

Rasa: Sangat berkrim, berlemak manis dengan aftertaste pahit, aroma kurang tajam

Tips: Juga digelar Ochee, Duri Hitam atau Hei Tze, bentuk durian ini berbeza mengikut musim dan kawasan tanaman. Kebiasaannya, ia berbentuk bulat, bertapak rata, bertangkai kecil (kira-kira sebesar ibu jari), dan bahagian bawahnya mempunyai lingkaran hitam dengan titik kecil tanpa duri.

6. GOLDEN PHOENIX (D198)

Berasal dari Johor, durian klon berbentuk bulat dan kecil ini tumbuh dari pokok lama. Durian ini juga menjadi kegemaran ramai rakyat Singapura ini diberi nama kerana durinya yang nipis dan tajam dengan isi berwarna kuning pucat keputihan, menyerupai ciri-ciri burung lagenda Phoenix.

Juga dikenali dengan nama Kim Hong atau Jin Feng, raja buah ini sesuai untuk mereka yang sukakan rasa durian yang lebih pahit dari manis. Isinya tidak sepadat Musang King, berbiji kecil, dengan aroma yang tajam. Golden Phoenix banyak ditanam di Johor dan Pahang, dan agak sukar ditemui di negeri-negeri lain.

Rasa: Lebih pahit dari manis, sedikit berair dan berserat, aroma yang tajam

Tips: Di bawah buah ini mempunyai lima garisan seperti Musang King, tetapi kulitnya lebih nipis dan mudah dikupas. Di Durian Agro Hub Tangkak, anda boleh mencuba Golden Phoenix dengan rasa paling asli yang berbuah dari ibu pokoknya yang masih hidup sehingga hari ini.

7. DURIAN KAMPUNG (888)

Dalam lautan pelbagai jenis durian hibrid yang mencuri perhatian, masih ramai yang setia menikmati durian ini kerana ia paling mudah dijumpai dengan harga termurah.

Durian paling OG ini terhasil dari pokok tunggal yang berusia ratusan tahun. Walaupun isinya agak padat, rasa durian kampung yang asli tidak konsisten sama sekali — ada yang pahit, ada yang manis. Senang cerita, ikut nasib.

Rasa: Manis (seperti vanilla), pahit atau tawar, tidak konsisten dan berbeza

Tips: Durian kampung Gred A mempunyai berat lebih dari 1.5 kg sebiji (RM15 – RM18 per kg), Gred B kurang 1 kg (RM 10 per kg), dan Gred C untuk membuat tempoyak (3 biji RM10).

Untuk info, lebih daripada 200 variasi durian yang telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian Malaysia tau! Banyak gila kan…?

Tapi, awas ya… ambil dalam dua tiga ulas dah pun memadai sebab takut ketagih dan obses pula. Rakyat Malaysia selalu makan secara berlebihan. Sudah tentulah ia tidak baik untuk kesihatan korang. So rasa-rasa je ok? Jangan sampai melantak tak ingat dunia pula kalau dah sedap tu. Hiks!

Sumber: Traveloka

Published by
Nana