Dengar saja tentang kanser payudara sudah cukup untuk membuatkan golongan perempuan berasa tidak selesa. Bimbang, takut dan seram sekiranya diri sendiri dihidapi penyakit pembunuh nombor satu wanita itu.
Seorang daripada 19 wanita Malaysia berisiko untuk menghidap kanser payudara dan ia bukan saja menjejaskan diri dan kesihatan, malah turut memberi kesan kepada kehidupan dan kebahagiaan orang sekeliling.
Pemeriksaan sendiri payudara (PSP) ketika mandi merupakan cara yang paling utama dan mudah dilakukan sendiri di rumah. Pemeriksaan ini dapat membantu dalam pengesanan awal tanda-tanda kanser.
Lakukan PSP secara berkala kerana ia dapat meningkatkan tahap kepekaan terhadap sebarang perubahan kepada tubuh badan korang.
Langkah-langkah melakukan PSP semasa mandi
1. Angkat lengan kiri dan letakkan di belakang kepala
2. Dengan menggunakan tiga jari tengah daripada tangan kanan yang bersabun, lakukan gerakan secara bulatan kecil di sekitar payudara untuk mengesan sebarang ketulan.
3. Sentiasa bermula daripada bahagian luar payudara dengan gerakan bulatan kecil mengarah ke bahagian puting payudara.
4. Pasti kan anda memeriksa seluruh payudara, ketiak dan belakang puting.
5. Ulang langkah di atas dengan menggunakan tangan kiri untuk memeriksa payudara kanan.
6. Lakukan pemeriksaan setiap bulan. Masa terbaik adalah beberapa hari selepas tempoh haid tamat, apabila payudara anda dalam keadaan tidak tegang.
7. Sekiranya anda sudah putus haid, pilih tarikh yang tetap untuk pemeriksaan sendiri payudara secara bulanan.
Mudah je kan? So, lepas ni dah tak ada alasan yang anda tak tahu macam mana nak check sendiri di rumah. Jika ada sebarang tanda-tanda yang memusykilkan, seperti benjolan pada payudara, segeralah berjumpa dengan pakar perubatan.
“Jangan Potong Kaki Saya”, Remaja Mangsa Kemalangan Diseret Pemandu Terlelap Tak Rela Kudung
Tiada apa yang lebih menyedihkan apabila kehidupan diuji akibat kecuaian orang lain. Sejauh mana pun hati memberontak namun masa tak akan terundur.
Hakikat pahit namun perlu ditelan seorang remaja, Nur Atira Danilla binti Saiful Azhari, 19 tahun apabila dia kini terlantar sepenuh masa sejak lima bulan lalu dengan sebelah kakinya berisiko dipotong sehingga ke paras peha selepas motosikal ditunggangnya dilanggar seorang lelaki dewasa yang mengaku terlelap ketika memandu kereta.
“Saya tak nak potong kaki. Saya mahukan kaki ini kembali sembuh seperti sebelum ini. Mama, saya tak nak potong kaki,” katanya berulang kali di hadapan wartawan REMAJA sambil memandang wajah ibunya, seolah mahukan sebuah harapan.
Jika dilihat pada besi-besi yang berceracak di kaki kanannya itu, kecederaan dialami Nur Atira sebenarnya amat parah. Tulang ketingnya hancur selepas diserat sejauh 100 meter. Malah tulang hancur itu telah dibuang melalui satu pembedahan sebesar 5.5 cm di mana dapat dilihat satu lubang besar terbentuk, seolah-olah satu kawah di bahagian keting kanannya.
Tidak setakat keting, tulang punggungnya turut dibuang sebanyak 5 cm sebelum dipasangkan satu batang besi panjang di kaki kanannya itu. Lebih menyakitkan di bahagian punggungnya ada jangkitan kuman dan sudah bernanah memaksa satu lagi pembedahan dilakukan. Kakinya juga semakin mengecil seolah-olah memberi petanda, ia sukar diselamatkan lagi.
Tidak hanya parah di kaki, tapi pergelangan tangan kanannya turut terkulai-kulai (hampir putus sebenarnya) sebelum dipasang dawai besi. Malah tangan itu juga sudah tidak kuat untuk menggenggam. Tidak hanya lengan tapi lengan remaja ini turut patah tebu selepas diseret sejauh 100 meter.
Kunjungan REMAJA di hospital menyingkap kisah duka remaja yang mencari rezeki untuk kehidupannya dan juga kehidupan keluarga selepas habis SPM. Pada hari kejadian, dia mahu ke sekolah memandu untuk belajar kereta.
Malangnya kecuaian orang lain menjadi igauan ngeri buat remaja ini. Kemalangan itu hanya disedari ahli keluarganya kerana ketika itu masing-masing keluar bekerja apabila pihak sekolah memandu menelefon ibunya bertanya kenapa anaknya tidak hadir ke sekolah memandu sedangkan ketika itu dia nyawa-nyawa ikan.
Redup anak matanya di sebalik wajahnya yang cantik. Namun hakikat pahitnya, kaki remaja ini sudah disyorkan dipotong sehingga paras peha oleh Hospital Melaka selepas kemalangan berlaku 22 Mei lalu.
Namun mahukan sebuah keputusan lain, ibunya, Rahasuhailawati Abdollah, 42 nekad membawa anak sulungnya ini ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagai pilihan kedua.
Di HKL dan Hospital Melaka, demi memastikan survival dan kaki kanannya pulih seperti sedia kala, remaja cantik ini sudah menjalani pembedahan lebih 10 kali. Ini termasuklah kulitnya dipotong dan ditampal.
Pembedahan terakhir yang lakukan ialah salur darah tiruan dan andai berjaya ia adalah satu harapan baru untuknya. Namun selepas beberapa bulan, hanya isi daging mulai tumbuh dengan lekuk kawah itu masih seperti dahulu juga, tidak berubah sebaliknya semakin mengecil.
Menurut ibu yang setia menjaganya di hospital sejak kemalangan terjadi dengan ibunya sendiri berisiko dibuang kerja kerana kilang tempatnya bekerja hanya memberikan masa tiga bulan sahaja cuti tanpa gaji.
“Kehidupan kami memang susah ketika ini. Sebelum ini ayahnya (suami) turut dilanggar lari dan ditemui pengsan dalam perjalanan ke tempat kerja. Tulang rusuknya patah dan tak bekerja lebih 4 bulan bulan November tahun lalu. Cuti saya pun sudah habis menjaganya. Sekarang ini suami tak boleh bekerja kuat kerana tulang rusuknya tak pulih sepenuhnya lagi dan perlu pakai pendokong.
“Bila saya sendiri tak bekerja dan menjaga Atira di hospital, susah itu berganda-ganda. Saya memang risaukan keadaannya kerana Atira memang tak mahu kakinya dipotong sedangkan sudah berbulan-bulan begini dengan kakinya semakin mengecil tapi belum ada sebarang perubahan besar dapat dilihat.
“Buat masa ini ketika mendapat rawatan di hospital, ada peguam datang dan mahu membantu untuk menyaman pemandu ini tapi saya difahamkan kesnya akan makan masa panjang dan bertahun-tahun tetapi saya lebih risaukan emosinya yang akan menangis kesedihan,”katanya yang mengusap wajah anak sulungnya itu.
Setiap hari Atira perlu melakukan senaman ringan agar saraf kakinya berfungsi (ini demi mengelak kakinya dipotong). Di kaki kanannya itu kelihatan jelas besi-besi dicucuk bagi membantu tulangnya yang hancur bertaut kembali.
Kata emaknya, agak susah juga sebenarnya untuk menyakinkan Atira tentang hakikat ada kemungkinan kakinya perlu dipotong kerana berdasarkan situasi semasa tiada perubahan ketara terjadi.
“Di HKl ini, ada ketika pembedahan memerlukan banyak wang termasuk doktor ada meminta disediakan RM5000 sedangkan kami sudah tiada sumber pendapatan lain kecuali suami dengan gaji RM1400 sebulan. Risau dengan keadaan Atira kerana dia sendiri begitu mengharap kakinya kembali sembuh. Hanya doa yang saya mampu lakukan,”kata Rahasuhailawati yang mengakui risaukan keadaan sulungnya itu.
“Saya merayu kepada mana-mana individu yang bermurah hati untuk menderma demi meringankan bebanan kewangan kami kerana pembedahan demi pembedahan ini memerlukan sejumlah wang yang banyak. Saya akui buntu mencari sumber kewangan,” katanya lagi.
Bagi anda yang ingin membantu, salurkan bantuan ke Hong Leong Bank di akaun 026-51-05348-0 atas nama Rahasuhailawati binti Abdollah. Semoga Allah membalas jasa kalian.
Mufti Menk & Preity Zinta Pertahan Keputusan Pelakon Remaja, Zaira Wasim Tinggalkan Bollywood
Dalam industri lakonan Bollywood, sekiranya seorang pelakon diberikan penghargaan untuk menerima anugerah bagi hasil lakonan mereka, itu bermakna dia sudah berada di tahap yang lebih eksklusif berbanding pelakon lain. She is on another league.
Tak kiralah dia masih remaja ataupun sudah berusia, bukan mudah bagi mana-mana pelakon Bollywood untuk menerima penghargaan tersebut.
Oleh itu, apabila pelakon filem Bajrangi Bhaijaan iaitu Zaira Wasim memutuskan untuk berhenti daripada industri seni pada usia 18 tahun, ramai peminat yang mempersoalkan keputusannya itu.
Cukup 5 tahun dia berlakon sejak tahun 2014, Zaira mengakui bahawa dia, “Tidak gembira dengan identiti sebagai pelakon atau kerjayanya itu, seperti yang difikir orang ramai.”
“Untuk tempoh yang sangat lama, saya berasa payah untuk cuba menjadi seseorang yang lain. Pada usia 18 tahun ini, saya mulai sedar bagaimana saya telah menghabiskan masa, tenaga dan emosi untuk menjalankan hidup yang tidak kena dengan jiwa saya.
“I may fit in but I do not belong here (dalam industri lakonan).”
Walaupun karier sebagai seorang pelakon telah menganugerahkan Zaira dengan sokongan peminat setia, tetapi ia juga menjauhkan dirinya daripada iman dan mudah lalai.
“Dalam persekitaran yang mengganggu iman saya, hubungan antara saya dan agama mulai renggang..”
Ramai peminat filem Bollywood masih tertanya-tanya mengapa keputusan itu dibuat oleh Zaira. Ini kerana ramai pelakon Bollywood yang masih beragama Islam dan meneruskan kerjaya sebagai pelakon.
Tidak kurang juga ramai warga net yang mengutuk keputusan Zaira! Menurut laporan Al-Jazeera, pelakon senior Raveena Tandon berpendapat Zaira seharusnya meninggalkan dunia lakonan secara ‘senyap-senyap’ tanpa perlu mengeluarkan kenyataan ‘Bollywood menggugat iman seseorang’.
Ada juga yang berpendapat lebih sukar bagi pelakon perempuan Muslim untuk menyertai Bollywood selepas ini kerana kenyataan Zaira ‘menakutkan’ pengarah untuk mengambil mereka bekerja.
Namun bagi Zaira, itu adalah keputusan peribadinya dan tidak ada kena-mengena dengan orang lain.
Bollywood boleh ditinggalkan. Yang penting, dirinya tidak terpesong jauh. Industri lakonan di Bollywood yang lebih ‘liberal’ berbeza dengan industri lakonan di Malaysia. Mungkin Zaira merasakan masanya sudah tiba untuk berubah arah.
*
Seorang penceramah bebas popular iaitu Mufti Ismail Menk menyambut gembira keputusan Zaira pada hari Ahad lalu dan mengucapkan maju jaya kepadanya.
“Semoga Tuhan terus memberkati kau, bersama kamu, memberi laluan, melindungi dan memberikan kamu kegembiraan di dunia dan di akhirat seperti yang diterima oleh ramai hambaNya. Amin,” catit Mufti Menk di akaun Facebook Zaira.
Beberapa pelakon Bollywood seperti Anupam Kher dan Preity Zinta juga menyokong keputusan Zaira melalui media sosial mereka.
Terlebih dahulu, Zaira memohon maaf kepada mana-mana pihak yang terguris hati dengan keputusan meninggalkan Bollywood dan statusnya.
*
REMAJA REACT
Park Seo Joon Kini Duta Skechers! Ini 5 Kasut Yang Dipakainya
Isi Kandungan
Toggle
Setiap pakaian dan barangan yang dipakai oleh Park Seo Joon pasti akan diikuti oleh para peminatnya sehinggakan timbul fenomena ‘sold out’ bagi jenama-jenama di luar sana.
Terbaru, pelakon yang popular dengan K-drama seperti Itaewon Class (2020), Record of Youth (2020) dan What’s Wrong With Secretary Kim (2018) ini dipilih sebagai duta jenama Skechers bagi rantau Asia seperti Malaysia, Singapura, Macau, Hong Kong, Thailand dan Vietnam.
“Saya amat terharu dan gembira untuk menjadi duta jenama Skechers bagi rantau ini. Kasut adalah penting bagi individu seperti saya yang selalu bergerak. Saya sangat mengesyorkan Skechers yang bukan saja bergaya tetapi juga selesa dipakai.”
Park Seo Joon – duta rantau Asia Skechers
Skechers popular di Malaysia sebagai jenama kasut dan pakaian yang mementingkan keselesaan. Rekaannya juga diakui menarik untuk remaja yang inginkan gaya terkini dan mudah disuai padan dengan pakaian sedia ada.
Lantas, pelantikan Seo Joon bagi kempen Skechers 2021/2022 ini membuatkan kami tertanya apakah antara rekaan sneakers yang dipakainya.
Menerusi video pertama kempen tersebut, Seo Jun dilihat menyarungkan sneakers uniseks Skechers D’Lites 4.0. Ia merupakan salah satu model popular jenama itu sejak diperkenalkan pada tahun 2007.
Jom lihat empat lagi model kasut lain yang disarungkan Seo Joon.
Skechers D’Lux Walker
Skechers Global Jogger
Skechers Max Cushioning
Skechers Trail
*
Pemilihan Seo Joon bagi filem adiwira terbaru, The Marvels juga dijangka akan menaikkan lagi popularitinya di seluruh dunia.
ARTIKEL BERKAITAN : 20 Selebriti Lelaki Korea Dengan Pengikut Paling Tinggi Di Instagram – REMAJA
Ia bermakna segala koleksi pakaian yang dipakai dan jenama yang diwakilinya lebih ‘legit’ dan berharga. Manalah tahu ada di antara korang yang ingin menjual semula di pasaran kedua (secondary market), nilai kasut skechers yang dipakai oleh Seo Joon ini dijangka akan meningkat dalam pasaran.
Sebelum ini, koleksi kasut Skechers yang pernah dipakai oleh duta terdahulu seperti kumpulan EXO, kumpulan SISTAR dan Zico juga menerima sambutan yang cukup menggalakkan. Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk merebut koleksi Park Seo Joon ini secepat mungkin okay.
Tahniah sekali lagi kepada Skechers & Park Seo Joon atas projek kolaboratif ini.
BACA LAGI : Pelakon Berimej Bersih, PARK SEO JOON Terpalit Kontroversi Dikritik Peminat Wanita Kerana.. – REMAJA