Gastrik sering dikaitkan dengan gejala pedih atau sakit pada bahagian perut dan ulu hati.
Hal ini biasanya terjadi akibat keradangan pada lapisan dalam perut. Ramai mengadu rasa tidak selesa pada perut, sakit ulu hati, sendawa, perut rasa kembung, loya dan rasa ingin muntah selain masalah lain.
Malah kata mereka, seseorang yang selalu merasa simptom-simptom tersebut tidak boleh membiarkan perut kosong atau berlapar dan perlu sentiasa makan bagi mengelak angin terjadi.
Ini adalah tujuh tips khas untuk pengidap gastrik.
Mereka perlu mengelak beberapa jenis makanan yang boleh membuatkan perut menjadi lebih sakit.
Ini adalah di antara jenis makanan tersebut :
- Makanan bergoreng
- Makanan dalam tin (biasanya makanan sebegini mempunyai kandungan asid yang lebih tinggi berbanding makanan segar).
- Minuman bergas atau berkabonat. Jangan juga ambil soda bandung ais atau air soda herba. Sebaiknya minumlah air suam panas)
- Makanan yang asidnya tinggi seperti tomato, oren, limau dan sebagainya)
- Makanan pedas (bak kata orang Negeri Sembilan satu lori cili tumpah depan rumah, hikz)
- Makan dalam kuantiti yang agak banyak (penuh sepinggan seolah-olah untuk tampung perut setahun)
- Minuman yang berkafein tinggi seperti kopi dan teh.
So korang, insya Allah jika diamalkan ini, tak timbul istilah sakit perut keterlaluan dan menganggu kerja harian korang. Pastikan jangan melambat-lambatkan waktu makan selain elakkan merokok selepas makan.
Boleh juga makan makanan sunnah seperti kurma dicampur susu (blend dulu kurma ya) bagi sememangnya sangat baik kesihatan tubuh.
Selamat beramal!
Ahli Fizik Ini Kongsi Kisah Otak Albert Einstein Yang Pernah Dicuri Selepas Kematiannya
Isi Kandungan
ToggleainsSiapa yang tidak kenal dengan Albert Einstein? Seorang ahli fizik teori berbangsa Jerman yang dianggap sebagai ahli sains teragung pada abad ke-20.
Einstein juga dikatakan manusia paling genius pernah dilahirkan di atas muka bumi ini dan banyak teori beliau mencetuskan fenomena sejarah dalam dunia sains yang diguna sehingga ke hari ini.
Namun, tahukah korang cerita disebalik sejarah ahli saintis ini yang otaknya pernah dicuri dan hilang selepas kematian beliau pada umur 76 tahun?
Kenapa dan bagaimana ia boleh berlaku? Jom kita ikuti perkongsian cerita yang telah dibuat oleh ahli fizik yang dikenali sebagai Zamir Mohyedin ini.
Pada 17 April 1955, Einstein telah dihantar ke hospiral di Princeton kerana mengadu sakit dada. Keesokan harinya pada pukul 1 pagi, Einstein dilaporkan meninggal dunia kerana saluran aorta pada jantungnya yang pecah.
Einstein meninggal pada usia 76 tahun. Ketika beliau meninggal, otaknya telah dicuri dan hilang selama 50 tahun. Orang yang mencurinya ialah Dr. Thomas Stolz Harvey kerana beliaulah yang ditugaskan mengkaji punca kematian Einstein setelah Einstein meninggal dunia.
7 jam selepas kematian Einstein
7 jam selepas mengenal pasti punca kematian Enstein, Thomas Stolz telah melakukan autopsi pula ke atas otak Einstein. Namun, apa yang memeranjatkan, Stolz sebenarnya bukanlah seorang pakar bedah otak ataupun pakar otak sekalipun.
Stolz mendakwa dia mendapat kebenaran untuk melakukan autopsi tersebut. Namun, sehingga ke hari ini, surat kebenaran yang didakwa langsung tidak dijumpai. Ketika melakukan autopsi, Stolz telah mengeluarkan otak Einstein dari kepala, mengukur, menimbang berat dan mengambil gambar-gambar otak Einstein.
Selepas itu, beliau merendamnya di dalam cecair formaldehyde. Tidak cukup dengan itu, Stolz turut mengeluarkan biji mata Einstein dan kemudian diserahkan kepada doktor mata Einstein bernama Henry Adam. Selebihnya, barulah Stolz menyerahkan jasad Einstein bagi tujuan pengebumian.
Wasiat Einstein
Apa yang dilakukan oleh Stolz benar-benar bertentangan dengan apa yang diwasiatkan oleh Einstein. Sebelum meninggal, Einstein telah memesan agar tubuhnya dibakar bersama-sama dengan otaknya sekali. Einstein berwasiat begini sebab dia tak mahu dirinya dijadikan pemujaan.
Peristiwa ini menyebabkan Stolz hampir dibuang kerja dari Hospital Princeton. Namun beliau berjaya menyelamatkan kerjayanya apabila mendakwa hal autopsi tersebut mendapat kebenaran (retroactive permission) daripada anak lelaki Albert Einstein iaitu Hans Einstein.
Namun, apabila pihak hospital meminta otak Einstein daripada Stolz, beliau enggan menyerahkannya sebaliknya beliau telah lari dari Hospital Princeton. Selepas dunia mengetahui otak Einstein dimiliki oleh Stolz, ramai telah meminta sebahagian daripadanya bagi tujuan penyelidikan.
Ramai penyelidik ingin mengkaji otak Einstein bagi mengetahui rahsia kepintaran luar biasa yang dimiliki oleh manusia seperti Einstein. Adakah kecerdasan, kepintaran dan kepandaian lahir disebabkan oleh genetik atau semata-mata usaha berterusan dari individu itu sendiri?
Saintis berharap persoalan ini dapat dirungkaikan apabila mereka membedah dan menyelidiki otak Einstein kelak.
Setelah itu, Stolz telah pergi ke Universiti Pennsylvania di mana dia telah mengerat otak Einstein kepada 240 bahagian. Sebahagiannya diserahkan kepada Dr. Zimmerman (sebanyak 6 bahagian) dan sebahagian lagi turut di hantar kepada saintis yang lain.
Ada satu ketika, Stolz telah menghantar sebahagian otak Einstein kepada seorang saintis di Barkeley dengan menggunakan bekas mayonis! Manakala selebihnya disimpan ke dalam 2 bikar yang dipenuhi dengan formalin.
Terdapat beberapa kemungkinan mengapa Stolz melakukan autopsi tersebut. Antaranya kerana beliau telah dipesan oleh Harry Zimmermann sendiri. Namun dakwaan ini ditolak oleh Zimmermann.
Selepas 40 tahun berada dalam simpanan
Selepas 40 tahun otak Einstein berada dalam simpanan Stolz, tidak ada satu pun kertas penyelidikan yang dikeluarkan olehnya. Kesudahannya, setelah 40 tahun kemudian Stolz telah membawa otak Einstein di dalam bekas tupperware untuk dipulangkan kepada cucu Einstein bernama Evelyn.
Namun, Evelyn tidak mahu menerimanya. Evelyn juga turut memarahi Stolz apabila beliau secara tidak sengaja tertinggal bekas otak Einstein di rumahnya. Setelah Stolz meninggal dunia pada tahun 2007, otak Einstein telah disimpan oleh warisnya supaya diserahkan bagi penyelidikan.
Pada tahun 2010, pewaris kepada Stolz telah menyerahkan otak Einstein kepada National Museum of Health & Medicine di Washington. Selain dari National Museum of Health & Medicine, serpihan otak Einstein juga boleh dilawati di Mutter Museum, Philadelphia.
Otak Einstein sebenarnya lebih kurang dengan manusia
Kajian setakat ini mendapati, saiz otak Einstein sebenarnya lebih kurang saja dengan manusia biasa. Cuma yang membuatkan dia cerdik ialah hubungan saraf yang begitu kuat antara bahagian-bahagian otak. Hal ini meningkatkan daya pemikirannya dan meningkatkan daya kecekapan otak.
Selepas Einstein meninggal dunia, tubuhnya dibakar dan di mana abunya dibuang, tiada siapa yang tahu. Sama seperti Genghiz Khan yang tidak diketahui di mana mayatnya. Otaknya saja pun orang dah tercari-cari. Entah-entah kalau batang tubuhnya ada, boleh jadi tempat pemujaan.
Selain itu, walaupun saiz otak Einstein lebih kurang macam manusia biasa, tetapi perkadaran saiz di bahagian² tertentu agak tak seimbang dan berlainan dari manusia biasa. Ada bahagian yang lebih tebal, ada bahagian yang besar sikit. Ini menunjukkan kadang genius itu dari lahir.
Begitulah sedikit sebanyak tentang kisah bagaimana otak ahli sains ini dicuri. Macam-macam yang dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab semata-mata ingin membuat kajian atas kebijakan Albert Einstein.
Sumber: (1)
Kajian Mendapati Wanita Lebih Cepat Membakar Lemak Ketika Bersenam
Di bulan Ramadan ini ramai yang mengambil peluang untuk menurunkan berat badan kerana kita sebagai umat Islam wajib untuk menjalani ibadah berpuasa. Jadi, waktu inilah yang terbaik untuk kita cuba mengawal pengambilan makanan selain daripada menahan diri daripada kerap mengunyah.
Bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan, berpuasa juga tidak menghalang korang untuk melakukan aktiviti bersenam, malah ia lebih bagus kerana dapat membakar lemak dengan cepat.
Namun, tahu tak korang bahawa wanita yang cergas dan sihat cenderung membakar lebih banyak lemak ketika mereka bersenam berbanding lelaki?
Menurut laporan Astro Awani, dua kajian oleh Pusat Pemakanan, Latihan dan Metabolisme di University of Bath menganalisis faktor-faktor yang mempengaruhi keupayaan individu untuk membakar lemak badan ketika bersukan.
Teknik tubuh membakar lemak penting untuk kesihatan metabolism, kepekaan insulin dan mengurangkan risiko diabetes jenis dua.
Bagi sukan seperti berlari atau berbasikal, cara tubuh membakar lemak dapat menentukan perbezaan kejayaan atau kegagalan.
Kajian mendapati bahawa wanita biasanya lebih bergantung pada lemak sebagai sumber bahan bakar semasa latihan daripada lelaki.
Kajian pertama diterbitkan dalam International Journal of Sport Nutrition & Exercise Medicine, melibatkan 73 orang dewasa yang sihat berusia antara 19 hingga 63 tahun. Ia menguji faktor gaya hidup dan biologi untuk pembakaran lemak yang optimum dengan meminta peserta untuk mengambil bahagian dalam ujian kecergasan berbasikal.
Ollie Chrzanowski-Smith mengetuai kajian yang melihat bagaimana lemak dibakar sebagai bahan bakar. Peserta mengambil bahagian dalam ujian berbasikal tambahan yang meningkat dalam intensiti dari masa ke masa. Penunggang basikal menunggang hingga letih dalam tempoh masa antara 20 hingga 30 minit.
Hasilnya mendapati wanita dan mereka yang sihat secara fizikal, tepat di sepanjang peringkat umur, membakar lemak dengan lebih cekap ketika bersenam.
Kajian kedua yang diterbitkan jurnal Experimental Physiology, mengambil tahap lebih jauh untuk meneroka faktor molekul dalam otot dan tisu lemak yang menentukan bagaimana lemak dibakar.
Eksperimen ini melibatkan penyelidik yang mengambil biopsi lemak dan otot peserta untuk menganalisis bagaimana perbezaan protein dalam lemak dan tisu otot dapat mempengaruhi kemampuan mereka untuk membakar lemak.
Ia mendapati bahawa protein dalam otot-otot yang terlibat dalam memecah lemak tersimpan menjadi asid lemak yang lebih kecil dan protein yang terlibat dalam mengangkut asid lemak ke dalam mitokondria dalam otot (pusat tenaga sel) secara konsisten dengan kemampuan yang lebih besar untuk membakar lemak.
Penyelidikan juga mendapati, kemampuan membakar lemak sebagai bahan bakar melindungi terhadap kenaikan berat badan di masa depan sekali gus memastikan pengurusan berat badan yang baik. Pengurusan berat badan terutama mengenai keseimbangan tenaga, jadi untuk menurunkan berat badan, kita perlu makan lebih sedikit kalori daripada yang kita habiskan melalui metabolisme dan aktiviti fizikal.
Namun, mereka dengan kemampuan yang lebih tinggi untuk membakar lemak sebagai bahan bakar agak terlindung dari kenaikan berat badan di masa depan, mungkin berkaitan dengan cara pembakaran lemak mempengaruhi pengambilan makanan dan perbelanjaan tenaga.
Penyelidikan sebelumnya dari pasukan yang sama menunjukkan bagaimana atlet yang bersaing dalam acara jarak jauh akan lebih cepat habis simpanan karbohidrat ketika bersenam.
Ini bererti bahawa kemampuan atlet untuk memanfaatkan simpanan lemak untuk membakarnya menjadi penting untuk prestasi mereka.
Pada akhirnya, keupayaan yang lebih besar untuk membakar lemak sebagai bahan bakar mempunyai potensi manfaat bagi atlet ketahanan.
So guys, ambil peluang ini untuk turunkan berat badan sepanjang bulan puasa. Untung-untung raya nanti badan dah cantik. Hehe!
Sumber: (1)
Mata Jadi Merah Menjelang Raya? Kamu Mungkin Dijangkiti Arcturus, Subvarian Terbaru COVID-19
Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut dengan meriah selepas negara melepasi era endemik tidak bermaksud masyarakat harus melepaskan tanggungjawab masing-masing dalam menjaga penjarakan sosial dan kesihatan peribadi.
Ini memandangkan gejala wabak COVID-19 dilihat masih belum berakhir sepenuhnya apabila terdapat lonjakan jumlah jangkitan kebelakangan ini di seluruh dunia.
Ia susulan subvarian baharu COVID-19 yang dikenali sebagai Arcturus di mana ramai pakar gusar sekiranya penularannya di negara-negara seperti India dan terbaru, Singapura akan merebak ke Malaysia tidak lama lagi.
Laporan Berita Harian semalam mendapatkan pandangan Pakar Virologi Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar yang berkata, asas genetik Arcturus masih berpandukan kepada Omicron.
Kajian makmal pula mendapati Arcturus mempunyai gejala sama seperti beberapa varian sebelum ini seperti demam, sesak nafas dan batuk.
Begitupun, satu gejala unik yang ada pada Arcturus dan tiada pada varian sebelum ini adalah gejala konjunktivitis iaitu kondisi mata yang menjadi merah. Gejala ini lebih kerap dilihat berlaku pada kanak-kanak, namun golongan dewasa juga tidak terlepas daripadanya.
Tambah Prof Dr Sazaly, Malaysia tidak terkecuali untuk terdedah dengan mana-mana varian baharu sama ada secara semulajadi ataupun disebabkan merebak dari negara luar; biarpun tiada kes yang dicatatkan setakat ini berpunca daripada Arcturus.
Tambah membimbangkan kini adalah disebabkan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang hujung minggu ini. Oleh itu, orang ramai diingatkan agar sentiasa mengamalkan langkah pencegahan dan terus berhati-hati mencegah jangkitan wabak sewaktu beraya.
Sekiranya korang mempunyai gejala-gejala yang dinamakan di atas tadi, dapatkan pemeriksaan kesihatan dengan segera.
SUMBER: (1)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.