7 Sahabat Beli Rumah Bernilai RM2.4 Juta Untuk Kehidupan Bersama Selepas Bersara

Share

Rezeki bukan hanya datang dalam bentuk wang, tetapi dikurniakan sahabat yang baik juga antara perkara yang korang perlu bersyukur.

Bukan semua orang boleh bersusah-senang bersama kita. Hanya sahabat sejati yang ikhlas sentiasa berada di belakang, tak kiralah di saat susah mahu pun senang.

Kadang-kadang, ada yang lebih rapat dengan sahabat berbanding keluarga sendiri. Betul tak?

Mana tidaknya, keluarga berada jauh diperantauan, jadi hanya berharap pada kawan-kawan yang terdekat saja untuk meminta bantuan bila dalam kesusahan.

Ini yang berlaku di China, apabila sekumpulan 7 orang sahabat membeli sebuah rumah sebagai perancangan untuk mereka bersama setelah bersara nanti.

Pergh, sweetnya!

Menurut ET Today via World of Buzz, mereka telah pun saling mengenali sejak lebih dari 10 tahun yang lalu ketika masing-masing bekerja di sebuah syarikat surat khabar yang sama. Difahamkan, ketujuh-tujuh orang daripada mereka mempunyai latar belakang yang sama, dan kerana itu yang membuatkan mereka serasi.

Perancangan bersama

Bila ada masa berkumpul bersama, mereka tidak pernah bercakap soal keluarga mahu pun peribadi, sebaliknya lebih kepada membincangkan hal-hal yang berlaku disekeliling.

“Pada waktu itu, kami sering tertawa dan bergurau apabila sudah tua nanti, kami akan berada di sebuah rumah yang dikelilingi oleh alam semula jadi dan bersara bersama-sama setelah 20 tahun akan datang,” kata salah seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Jin Du.

Ketika itu sebahagian daripada mereka sudah pun berpindah ke negeri lain, ada juga yang sudah berkahwin dan membuka bisnes mereka sendiri.

Pada 2018, mereka bertemu di Beijing untuk ulangtahun persahabatan yang ke 10 dan bila ada yang membuka topik persaraan membuatkan mereka teringat semula akan janji untuk membeli rumah dan bersara bersama.

Tanpa mahu menunggu 20 tahun lagi, sekumpulan sahabat ini telah pun membeli sebuah rumah tiga tingkat yang bernilai lebih kurang RM2.4 juta. Dilengkapi dengan ruang tontonan kaca dan menghadap kehijauan sawah padi, sudah tentu ramai daripada kita juga inginkan friendship goals seperti ini.

Rumah ini menjadi tempat berkumpul semasa musim perayaan dan membawa bersama keluarga masing-masing untuk mengeratkan lagi hubungan baik di antara satu sama lain.

 

Buat masa ini, mereka masih mempunyai kehidupan masing-masing dan bersetuju untuk menjadikan rumah tersebut untuk disewakan sebagai homestay sebelum mereka bersara nanti.

Nampak seperti pertalian mereka bukan hanya sekadar sahabat, malah lebih kepada seperti ahli keluarga sendiri. Diharap persahabatan ini kekal dan semoga kita juga boleh melakukan sedemikian bersama sahabat baik sendiri.

Betul-betu #friendshipgoals ni!

Published by
Noor Ain Norman