Menurut kenyataan rasmi yang diberikan oleh Ketua Polis Daerah Taway, ACP Peter Umbuas, kejadian itu berlaku di dalam perkarangan sebuah sekolah menengah di daerah tersebut. Dan seperti yang dijangka ramai, ketujuh-tujuh orang suspek dan mangsa tersebut adalah dari sekolah yang sama.
"Suspek ditangkap pada hari yang sama setelah mangsa yang sedang menangis ditemui oleh seorang guru pada jam 11 pagi, Jumaat lalu. Kesemua suspek direman tiga hari bermula semalam," kata beliau.
Mangsa juga mendakwa 2 orang suspek telah merogolnya manakala 4 lagi memaksanya melakukan seks oral. Seorang lagi suspek menyaksikan perbuatan itu dilakukan di bilik suis sekolah tersebut.
Lantas, persoalan sama ada mereka dibenarkan untuk menyambung menduduki beberapa kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berlegar.
Hanya pada hari ini, pihak polis telah membuat keputusan untuk membebaskan kesemua suspek dengan jaminan polis. Mereka turut dibenarkan untuk menduduki peperiksaan SPM dan tindakan lanjut hanya akan ditentukan selepas mereka selesai menduduki peperiksaan tersebut.
Buat masa ini, pihak polis sedang mengumpulkan segala bukti sebelum meneruskan sesi pendakwaan di mahkamah. Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan (rogol secara berkumpulan) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta Seksyen 377A (persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii),
Sementara itu, mangsa pula telah dihantar ke sebuah hospital daerah untuk melalui ujian pemeriksaan kesihatan.
Untuk pengetahuan, peperiksaan SPM sedang berlangsung di seluruh negara hingga kerta terakhir pada 28 November kelak.