70 Peratus Sanggup Jika Malaysia Ketat SOP & Sekat Pelancong China, Enggan PKP Berbuah Dua Kali

Share

Kaji selidik yang dilakukan Sinar Harian pada awal minggu ini mendapati majoriti rakyat Malaysia masih tidak bersedia untuk mengambil risiko dengan kemasukan pelancong asing terutamanya dari China tatkala kes jangkitan wabak dilaporkan semakin meningkat.

Kaji selidik itu menunjukkan 70 peratus daripada pengikut Twitter Sinar Harian dan 71 peratus daripada pengikut Instagram Sinar Harian bersedia sekiranya langkah lebih ketat dilaksanakan kerajaan Malaysia.

Ini termasuklah mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di semua tempat, mengamalkan penjarakan sosial dan mungkin sekali menyekat kemasukan warga asing dari negara yang sedang melarat dengan kes Covid-19. Ia demi mengelak gelombang jangkitan Covid-19 berbuah dua kali di Malaysia hingga memaksa kepada perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sinar Harian juga melaporkan 93 peratus pengikut Twitter dan 91 peratus pengikut Instagram-nya menyatakan kerisauan mereka jika Covid-19 melanda Malaysia semula, manakala selebihnya tidak merasa takut.

*

Kerisauan yang dirasai rakyat Malaysia ini signifikan.

Ini memandangkan jutaan pelancong dari China dijangka akan melawat negara-negara di rantau Asia Tenggara menjelang perayaan Tahun Baru Cina setelah kerajaan tanah besar itu membuka sempadannya pada 8 Januari kelak.

Tambah merisaukan adalah apabila dua varian Covid-19 utama yang sedang menular di China iaitu BA.5.2 dan BF.7 telahpun dikesan berada di Malaysia.

Menurut laporan perkhidmatan pengesanan penerbangan Flight Radar 24, pada minggu ini sahaja, sebanyak 30 penerbangan terus (direct flight) dari China) telah dijadualkan tiba di di Malaysia. Banyak betul!

Harus diingat, jumlah tersebut dicatatkan seminggu lebih awal dari tarikh pembukaan semula sempadan China pada 8 Januari. Penerbangan-penerbangan berkenaan difahamkan hadir dari Xiamen, Guangzhou, Fuzhou, Xi’an dan Changsa.

*

Biarpun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi jaminan bahawa usaha kesiapsiagaan seperti peraturan dan prosedur operasi standard ke atas pelancong dari China sedang dilakukan bagi mengelak peningkatan kes jangkitan wabak, namun kerisauan rakyat masih menebal.

Menurut Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dalam kenyataannya Jumaat lalu berkata, kesemua pelancong yang memasuki Malaysia hanya akan menjalani ujian suhu badan manakala kes bersimptom akan dirujuk kepada pegawai kesihatan. Malaysia belum mewajibkan syarat melakukan ujian pra-pelepasan Covid-19 kepada pelancong terutamanya dari China sebelum berlepas dari negara mereka.

Sebagai perbandingan, negara-negara seperti United Kingdom, Perancis, Korea Selatan, India, Australia Amerika Syarikat dan Kanada memerlukan para pelancong dari China mempamerkan keputusan ujian negatif Covid-19 sebagai syarat pra-pelepasan. Manakala negara Sepanyol pula ‘lebih fleksibel’ dan hanya memerlukan bukti pelancong dari China sudah menerima vaksikanasi.

Negara Jepun juga sudah mengamalkan SOP di mana pelancong dari China dikehendaki mengambil ujian saringan Covid-19 sebaik tiba di negara itu. Jika keputusan positif, mereka perlu menjalani kuarantin selama tujuh hari.

Negara Magribi sama sekali ‘mengharamkan’ kemasukan pelancong dari China tanpa mengira kewarganegaraan mereka.

Sumber Kaji Selidik: Sinar Harian

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ