Dunia digital kini telah menjadikan ‘peta dunia’ semakin kecil. Maksud REMAJA, kita kita berpotensi untuk berkenalan dengan ramai orang dari seluruh dunia dengan hanya menggunakan Internet.
Suatu ketika dahulu, hubungan cinta jarak jauh berlaku di antara dua insan yang terpaksa berpisah dek kerana tuntutan serta komitmen terhadap pelajaran, pendidikan, kerjaya dan juga mengikut keluarga berpindah.
Cuma kini beza skopnya menjadi lebih luas apabila semakin ramai berkenalan dan menemui insan yang mereka sayang menerusi pelbagai platform yang tersedia di Internet seperti Facebook, Twitter, Tinder dan sebagainya.
Jadi apakah cabaran hubungan cinta jarak jauh dahulu dan sekarang sudah berbeza. Mungkin sedikit sebanyak ada bezanya tetapi pada dasarnya ia tetap sama – hubungan dua insan yang berjauhan dan tidak mampu bertemu mata dalam tempoh yang agak lama.
Buat yang sedang menjalani hubungan sebegini kamu pasti cukup faham dengan betapa sukarnya untuk berdepan dengan pelbagai cabaran dan halangan demi menjayakan hubungan ini.
Apakah cabaran utama yang peasangan bercinta jarak jauh alami?
1. KOMUNIKASI
Perkara yang sangat penting dalam apa jua hubungan apatah lagi cinta jarak jauh. Ia merupakan ‘nadi’ utama yang sentiasa membuatkan hubungan terus mekar. Akan tetapi bila berjauhan cara komunikasi menerusi perbualan telefon atau video membataskan komunikasi secara direct yang lebih rasa asli. Jadi kedua-duanya harus pandai untuk bahagikan masa sesuai untuk satu sama lain berhubung.
2. PERBEZAAN MASA
Perkara ini merupakan satu cabaran terutama jika salah seorang berada jauh di luar negara. Jadi cabaran itu wujud untuk kedua-duanya. Kadangkala agak sukar untuk menetapkan masa untuk berhubung antara satu sama lain kerana perbezaan masa. Cara sesuai, bertolak ansur dan carilah sebuah jam yang khusus menunjukkan masa di tempat masing-masing.
3. BEZA MEDIUM KOMUNIKASI
Kamu mungkin lebih selesa dengan bercakap. Tapi si dia lebih cenderung untuk chatting atau video call. Buat permulaan mungkin masing-masing boleh mengalah tetapi lama-kelamaan ia akan buat salah seorang naik fed up. Jangan biarkan perkara remeh ini menjadi pengalang untuk kamu berdua berkomunikasi dengan baik.
ARTIKEL BERKAITAN: Jangan Jadi Orang Bodoh Kerana Cinta Bertepuk Sebelah Tangan
4. TERLALU BERGANTUNG KEPADA TEKNOLOGI
Ya, pada zaman ini memang mustahil untuk bercinta jarak jauh tanpa menggunakan sebarang teknologi. Malah ia menjadi medium utama untuk kamu mengekalkan hubungan dengan si dia. Namun jika terlalu bergantung kepada teknologi kamu mungkin akan terbiasa. Dan bila bertemu semula kamu mungkin akan berasa kekok.
5. SALAH FAHAM
Bila berbual menerusi telefon atau menaip semasa chatting, emosi tidak akan terluah dengan baik. Semasa bercakap kamu tak dapat melihat reksi atau mimik wajahnya. Manakala jika chatting, ia hanyalah umpama bahasa mendatar dan bergantung kepada pemahaman dan cara dia membacanya.
6. CARA TANGANI MASALAH
Makin jauh makin banyak pula bergaduh. Dan lebih menyakitkan lagi jika kamu berdua jenis keras kepala. Memujuk dalam bentuk panggilan telefon adalah satu perkara menyeksakan terutamanya bagi lelaki.
7. RASA TERSISIH
Kesunyian adalah satu perasan yang boleh membuatkan sesiapa sahaja rasa terseksa. Dan perasaan inilah yang menjadi dugaan besar terutamanya jika muncul insan ketiga. Kemunculan orang baru yang pada mulanya bagi kamu bukanlah ancaman, tiba-tiba menjadi pengisi ruang kesunyian itu.
8. KEPERCAYAAN YANG TERSISIH
Selain komunikasi, kepercayaan juga merupakan ASAS yang paling penting untuk menjayakan hubungan cinta jarak jauh. Agak sukar untuk meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada seseorang tetapi kamu harus yakin dan jika yang kamu lakukan sudah mencukupi, tidak perlu risau. Melainkan si dia sendiri yang membuat onar!