Sebelum meraikan Hari Natal yang merupakan salah satu keraian paling utama dalam keluarga diraja Britain, pasangan Prince & Princess of Wales telah sempat berangkat ke Boston, Amerika Syarikat awal bulan ini.
Kehadiran Putera William dan isteri, Kate Middleton di sana amat dinanti-nantikan oleh rakyat Boston memandangkan ia adalah jelajah Amerika Syarikat pertama mereka sejak tahun 2014 sewaktu mereka melawat bandaraya New York. Ini juga merupakan jelajah ke luar negara mereka sejak kemangkatan Ratu Elizabeth II pada September lalu.
Banyak aktiviti yang telah mereka jalankan di Boston namun tumpuan tentunya terarah kepada acara pemberian anugerah Earthshot Prize yang merupakan inisiatif Putera William pada tahun 2019.
Kate tidak melepaskan momen bermakna ini untuk sekali lagi tampil elegan setelah sekian lama tidak berbuat sedemikian dalam gaun elegan.
Kate jelas tidak mengecewakan apabila dia memilih gaun ‘off the shoulder’ rekaan Solace London berwarna hijau neon. Beliau kemudian menggayakannya dengan rantai choker serta anting-anting dalam rona sama yang pernah dipakai oleh mendiang Puteri Diana, satu masa dahulu.
Menariknya, gaun Kate ini bukanlah gaun baharu sebaliknya disewa daripada HURR iaitu platform menyewa pakaian di United Kingdom. Keputusan untuk menyewa ini adalah selari dengan kod pemakaian acara Earthshot Prize yang meminta jemputannya tidak memberi gaun serta sut baharu demi mewar-warkan ‘sustainable fashion’ ataupun kelestarian fesyen.
Jom lihat 7 gaun elegan lain yang pernah disarungkan oleh Kate Middleton dan menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan fesyenista sedunia.
Pada Acara Santap Negara pertama di Great Britain selepas Putera Charles dinobatkan sebagai Raja Charles ke-3, ia juga merupakan acara penting dalam kalendar Kate memandangkan ini adalah kemunculan pertamanya sebagai Princess of Wales.
Kate tampil dalam gaun bermantel serba putih rekaan Jenny Packham. Ia cukup elegan dengan taburan manik pada bahagian bahu; ditambah pula dengan aksesori tiara ‘Lover’s Knot’ yang pernah disarungkannya beberapa kali sebelum ini.
Biarpun berbadan dua, Kate masih mampu menawan orang ramai di muzium seni Metropoolitan di New York bagi acara santapan ulang tahun ke-600 St. Andrews. Sekali lagi, Kate mempercayai rekaan Jenny Packham.
Kate dan Putera William merupakan di antara ahli diraja yang menyokong industri pembikinan seni filem dan berkenan berangkat ke acara tayangan perdanan filem terbitan Great Britain seperti francais filem popular, James Bond.
Kali pertama Kate tampil di tayangan perdana James Bond adalah bagi filem Spectre pada tahun 2015 dalam gaun rekaan Jenny Packham. Biarpun sederhana dalam rekaannya dan lebih tertutup, Kate tampak ‘mahal’ dan berlainan daripada jemputan selebriti lain.
Kate memberikan penghargaan kepada francais filem James Bond dengan menyarungkan gaun keemasan; simbolik kepada filem ketiganya, Goldfinger dari tahun 1964.
Gaun rekaan Jenny Packham ini masih menjadi bualan fesyenista seluruh dunia; bukan sahaja disebabkan rekaan eksklusifnya tetapi disebabkan momen malam itu yang memperlihatkan betapa elegannya Kate Middleton sebagai bakal Ratu Great Britain, satu hari nanti.
ARTIKEL BERKAITAN: Ditonton Lebih 2 Juta Kali, Solekan Jurusolek Thailand Untuk YAM Tunku Tun Aminah Tuai Pujian Ramai – REMAJA
Tampil berseri seperti biasa, warna hijau sememangnya adalah warna bersesuaian dengan Kate. Dalam persalinan gaun ‘off the shoulder’ hasil ciptaan pereka fesyen kegemarannya, Jenny Packham (you should know that by now); Kate menghadiri acara santapan yang dihoskan oleh Gabenor Jeneral Jamaica di Kingston, awal tahun ini. Ia adalah antara momen istimewa yang menyaksikan Kate memilih gaun dengan perincian ruffle pada bahagian bahu.
Bagi kemunculan pertama Kate selepas disatukan dengan Putera William, Kate menyarungkan salah satu gaun kegemaran beliaun rekaan Jenny Packham. Setelah memperagakannya sewaktu acara gala bagi menyambut ulang tahun ke-10 ARK (Absolute Return for Kids), Kate kembali memakai gaun yang sama lima tahun kemudian bagi sebuah lagi acara gala.
Kate sememangnya memahami konsep pemakaian yang bertepatan dengan acara, negara dan konsep menghormati sensitiviti masyarakat serta agama. Sewaktu lawatan rasmi ke Pakistan yang merupakan sebuah negara majoriti Muslim, Kate tidak janggal menggayakan kurta dan Shalwar Kameez. Untuk acara puncaknya pula, Kate memilih gaun Jenny Packham berona hijau dengan anting-anting yang dicarinya di Pakistan.
Korang tahu tak, Kate juga pernah menyarungkan selendang sewaktu melawat Kuala Lumpur pada tahun 2012?
ARTIKEL BERKAITAN: 7 Selebriti Hollywood Yang Pernah Berhijab, Cantik Sangat! – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.