8 Remaja Terpaksa Bayar RM8,000 Gara-Gara Main Futsal Ketika PKPB

Share

Masih ramai remaja yang degil dan ingkar kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan mereka sewenang-wenangnya menjalankan aktiviti seperti biasa dalam situasi pandemik seperti sekarang.

Menurut Astro Awani, seramai lapan orang remaja terpaksa membayar kompaun keseluruhan berjumlah RM8,000 selepas perbuatan mereka dikesan oleh polis kerana degil bermain futsal ketika tempoh PKPB.

Kejadian yang berlaku di Hulu Terengganu ini melibatkan remaja yang berusia 15 hingga 20 tahun dan dilihat bermain futsal ketika sepasukan anggota polis membuat rondaan di Kampung Binjai Kertas, Kuala Berang pada jam 10 malam.

Gambar hiasan

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kumpulan itu bagaimanapun bertempiaran melarikan diri sebaik dihampiri pasukannya dengan meninggalkan beberapa buah motosikal serta barang-barang peribadi termasuk telefon bimbit.

Polis kemudian membawa semua barangan itu ke Balai Polis Kuala Berang untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Walau bagaimanapun, kira-kira jam 1 pagi, kesemua mereka hadir ke balai polis dan seterusnya ditahan untuk siasatan mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Mereka juga turut dikompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang.

Ha, jangan ingat pasukan PDRM kita tidak mengambil serius tentang hal ini ya. Kan dah tak pasal-pasal kena keluar RM1,000 untuk bayar kompaun.

Published by
Noor Ain Norman