Dalam beberapa hari ini telah tular sebuah rakaman video seorang pelajar sekolah menengah dipukul oleh beberapa rakannya. Menerusi rakaman video yang tular itu, mangsa didapati dipukul oleh beberapa orang pelajar lain sebagai salah satu cara untuk ‘menyambut’ hari jadi.
Pelbagai reaksi yang telah diluahkan oleh netizen berikutan rakaman belasah yang memang nampak sangat menyakitkan buat mangsa. Menurut komen-komen dari netizen, perkara seperti ini bukanlah satu benda baru tetapi dianggap sebagai ‘tradisi’ di kalangan pelajar sekolah menengah sekarang.
Berikutan dengan kejadian tersebut, mangsa telah membuat laporan polis. Menurut Ketua Senior Asisten Komisioner Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata mangsa yang berusia 17 tahun tersebut melakukan laporan polis di ibu pejabat polis pada Ahad lalu.
Jelas beliau, insiden tersebut berlaku pada 8 Februari dan pihak polis telah sebenarnya telah mula melakukan siasatan terlebih dahulu sebe;um mangsa membuat laporan. Mangsa dikatakan membuat laporan polis pada jam 9 pagi pada hari Ahad.
Tambah beliau lagi, siasatan tersebut dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh. Difahamkan kejadian ini berlaku di sebuah sekolah di Shah Alam dan polis kini sudah mengenal pasti semua pelajar yang terlibat. Pihak sekolah juga telah mengadakan siasatan dalaman.
Dan semalam, seramai 9 orang pelajar telah ditahan oleh pihak polis sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. Mereka telah ditahan sekitar jam 11.30 pagi pada Isnin sebelum dibebaskan pada jam 4.45 petang.
Rakam video selama 30 saat yang tular itu menampilkan seramai lapan orang pelajar menyanyikan lagu Happy Birthday sebelum memukul mangsa dengan batang penyapu, menendang dan menumbuk mangsa.
Nasihat Remaja, jika korang menjadi saksi kepada kejadian seumpama ini janganlah berdiam diri. Lakukan sesuatu seperti melaporkan kepada guru dan pihak berkuasa. Jangan nanti sudah berlaku kecederaan parah atau lebih teruk lagi kematian, barulah semua nak tergadah.