Mungkin masih ramai lagi masyarakat Malaysia yang belum begitu faham tentang sindrom autisma kerana rata-rata daripada mereka nampak seperti individu normal.
Apakah sebenarnya autisma?
Ia merupakan gangguan perkembangan saraf yang mempengaruhi kemampuan seseorang dalam berkomunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku. Perubahan ini boleh dilihat seawall usia mereka dua hingga tiga tahun.
Punca sebenar penyakit masih tak diketahui tapi terdapat beberapa faktor risiko autisma, antaranya adalah seperti usia ibu dan bapa yang meningkat, masalah lahir pra matang, masalah perkembangan otak disebabkan faktor genetik.
Berikut merupaka 9 perkara yang korang perlu tahu tentang autisma bagi meningkatkan lagi kesedaran dan pemahaman masyarakat terhadap golongan ini.
Kebanyakan kanak-kanak autistik tidak akan menunjukkan respon semasa berinteraksi dengan orang lain. Mereka lebih gemar mengasingkan diri seolah-olah berada dalam dunianya sendiri.
Perkembangan bahasa kanak-kanak autisma adalah berbeza mengikut setiap individu. Ada yang tidak boleh bertutur dan hanya mengeluarkan bunyi, manakala yang boleh bertutur pula dikatakan sukar untuk memahami maksud disebalik percakapan mereka.
Kebanyakan daripada mereka tidak tahu untuk memulakan perbualan atau memberi respon kerana tiada keupayaan untuk menumpukan perhatian.
Ramai penghidap autisma lambat dikesan oleh keluarga terdekat. Sebenarnya, seawal usia dua atau tiga tahun penyakit ini sudah boleh mula dikesan. Jika menunjukkan sebarang tanda-tanda, segera dapatkan rawatan pakar.
Jika ahli keluarga terdekat menunjukkan ciri-ciri autisma, dapatkan bantuan rundingan daripada kumpulan sokongan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia.
Beri arahan mudah dan jelas kepada mereka. Individu autisma ini gemar untuk melakukan secara berulang. Maka, lakukan aktiviti harian bersama mereka berdasarkan rutin yang dijadualkan.
Kanak-kanak autistik di Malaysia perlu berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran untuk mendapatkan keperluan Pendidikan. Mereka juga perlu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU)
Setakat Mei 2017, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mencatatkan seramai 15,484 orang dikenali menghadapi masalah autisma di seluruh negara. 2080 orang yang didaftar adalah berumur bawah enam tahun, 7167 orang berumur tujuh hingga 12 tahun dan 2248 orang berumur 13 hingga 18 tahun.
Disambut setiap tahun pada 2 April bagi meningkat kesedaran masyarakat supaya lebih peka terhadap individu autisma.
So, lepas ni jadilah masyarakat yang lebih memahami dan peka terhadap keadaan sekeliling. Individu autisma ni mungkin kelihatan seperti normal tapi sebenarnya mereka sangat memerlukan perhatian daripada semua pihak.
Sumber: Astro Awani