Kerajaan bersetuju meneruskan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan pada 2018 menggunakan kaedah latihan berbeza berbanding sebelumnya, dengan anak muda akan menjalani latihan di kem tentera.
ARTIKEL BERKAITAN: Relevankah Untuk Malaysia ‘Hidupkan’ Semula PLKN? Mungkin Ia Kembali..
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebanyak 13 kem tentera Wataniah akan digunakan untuk latihan selama tempoh 45 hari yang mampu menampung kapasiti sehingga 4,000 pelatih.
“Kerajaan sudah memikirkan semula untuk meneruskan PLKN. Jemaah Menteri pada 2021 sudah pun meluluskan supaya ia dikaji semula dengan cara baharu untuk kita meneruskan PLKN.
“Dalam 45 hari latihan ini, 90 peratus daripada modul adalah untuk latihan sebagai anggota tentera dan 10 peratus latihan kewarganegaraan,” katanya.
Mohamad berkata, selepas pelatih menamatkan latihannya, mereka akan diberi peluang untuk menyertai badan uniform seperti tentera dan polis.
“Selepas berakhir fasa dua, mereka akan disambut oleh pertahanan awam, polis dan tentera. Mereka yang mahu masuk tentera akan diserapkan sebagai anggota tetap dan mereka akan jalani latihan asas dan rekrut semula.
“Mereka yang sudah masuk IPTA (Institut Pengajian Tinggi Awam) boleh sertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan lain-lain. Di universiti wujud badan uniform yang boleh memberikan peluang mereka untuk memasuki badan beruniform. Kalau mereka mahu jadi bomba, RELA pun memang sudah sedia ada,” katanya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
IHSAN FOTO/ARTIKEL: Berita Harian
https://www.youtube.com/watch?v=FDkJX2ye0JA