“Saya sekarang 98 tahun, tapi saya masih mampu bercakap, berfikir, berbincang dan berdebat”
Itulah antara kata-kata yang dikongsikan bekas Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyambut hari kelahirannya yang ke-98, semalam.
BACA: 7 Perkara Paling Disukai Tun Mahathir Sehingga Menjadi ‘Signature Style’ Beliau
Menerusi video dimuat naik di media sosial, beliau meletakkan harapan untuk terus bekerja sekali gus memberi khidmat bakti kepada orang ramai.
“Dengan media, ya seperti yang semua tahu bahawa saya masih mampu menjawab semua soalan diberikan. Saya harap untuk meneruskan kerja-kerja yang telah saya laksanakan.
“Reaksi yang sangat saya teruja serta berharap saya mampu untuk menjadi yang berguna dalam pengakhiran hidup saya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menceritakan menerima ucapan hari kelahirannya semalam daripada orang ramai termasuk mereka dari luar negara.
“Saya amat gembira kerana menerima banyak ucapan selamat hari jadi ke-98 bagi diri saya. Saya amat menghargai ingatan tuan puan berkenaan umur saya dah lewat ini.
“Dalam masa sama, banyak juga dari luar negara yang mengucapkan selamat hari lahir dan saya menghargai sangat-sangat.”
“Malah, saya akan terus berpegang kepada mereka yang memberi sokongan terhadap apa yang saya cuba buat untuk Malaysia,” tuturnya lagi.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet termasuk selebriti juga berkesempatan mengucapkan ulang tahun kelahiran buat ahli politik berpengaruh dunia itu.
Sekadar informasi, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga lebih disapa sebagai Tun M ialah seorang doktor dan ahli politik Malaysia yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-4 (1981-2003) dan ke-7 (2018-2020).
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Instagram Tun Dr. Mahathir Mohamad