
Penyanyi rap terkenal, A$AP Rocky akhirnya dapat menarik nafas lega selepas beliau didapati tidak bersalah atas dua tuduhan serangan jenayah pada akhir perbicaraan di Los Angeles, pada Selasa.
Pasangan yang mempunyai dua anak dengan penyanyi Rihanna itu, berdepan hukuman penjara sehingga 24 tahun jika disabitkan dengan serangan yang didakwa ke atas bekas rakannya di Hollywood pada 2021.
Ketika keputusan dibacakan, bintang hiphop yang dicalonkan untuk Grammy, Rocky atau nama sebenarnya Rakim Mayers (37) memeluk orang di sekelilingnya meluahkan rasa lega apabila didapati tidak bersalah.
Ketika perbicaraan yang berlangsung selama beberapa minggu, pendakwa raya berkata Mayers didakwa menyerang bekas rakannya, Terell Ephron (A$AP Relli) pada tahun 2021, di Hollywood, yang mana A$AP Rocky didakwa melepaskan tembakan dengan senjata separa automatik, mencederakan tangan Ephron.
Bagaimanapun, A$AP Rocky menegaskan senjata yang dibawa adalah pistol prop. Namun, Ephron mendakwa Mayers menarik pistol ke perutnya dan mengancam nyawanya, tetapi tiada bukti yang menunjukkan tembakan benar-benar berlaku, dan tiada senjata ditemui oleh pihak polis.
Ephron memberitahu juri dia diajak ke sebuah tempat letak kereta untuk pertemuan yang sebahagiannya dirakam dalam video pengawasan yang kabur dan mendakwa A$AP Rocky menarik pistol dari pinggangnya, menghala ke perut Relli dan berkata, “Saya akan bunuh kamu sekarang”.
Ephron berkata dua peluru dilepaskan, dengan salah satu daripadanya mencederakan buku jarinya.
Demikian begitu, peguam pembela, Joe Tacopina, mendakwa kes ini adalah pemerasan untuk mendapatkan wang daripada anak guamnya. Selain itu, Tacopina juga menyarankan supaya Ephron didakwa kerana pembohongan.
Terdahulu, A$AP Rocky yang terkenal menerusi album LONG.LIVE.A$AP pernah ditahan di Sweden selepas terbabit dalam dalam kes pergaduhan dengan dua lelaki pada 2019. Kes itu telah menimbulkan kekecohan sehingga Rocky terpaksa meringkuk di penjara Sweden dalam keadaan tidak selesa sebelum akhirnya didapati bersalah namun tidak dijatuhkan hukuman penjara.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.