Berita

Abang Adik Harumkan Nama Negara Tanpa Pasukan Dalam Acara Memanah Berkuda, Guna Dana Sendiri Dengan Jual Kuih Raya

Share

Baru-baru ini, tular mengenai dua pemanah berkuda muda yang mempamerkan aksi cemerlang sehingga merangkul kejuaraan di pentas antarabangsa tanpa diiringi pasukan pengurusan yang ramai.

Abdurrahman Ahmad Muaz (14) dan adik perempuannya, Heba Nusaybah (11) mengharumkan nama Malaysia pada kejohanan European Kids Horseback Archery Championship 2024 yang berlangsung di pusat equestrian, Domaine de Gauchoux di Perancis pada 21 Ogos hingga 24 Ogos lalu.

Difahamkan ini merupakan penyertaan pertama buat adik-beradik itu dan Abdurrahman merangkul gelaran juara bawah 14 tahun apabila memenangi tiga format yang dipertandingkan, manakala Heba Nusaybah mendapat tempat kedua.

Kredit: Free Malaysia Today

Menurut ibu kedua beradik itu, Nurul Fathim Ridayu Ramli (39), dia dan keluarga bersyukur dengan pencapaian terbaik dua beradik itu, malah mengakui usaha serta bantuan keluarga menghantar mereka ke Perancis dengan dana sendiri terbayar dengan kemenangan itu.

“Ya tajaan sendiri, kami pergi bertiga sahaja. Sayalah pelatih mereka. Dana daripada sumbangan atuk nenek sedikit, mereka juga jual kuih raya untuk kumpul dana”

“Negara Perancis sangat mahal, jadi perlu berjimat cermat. Kenapa kami mahu ke Championship di Eropah? Sebab juara dunia dalam sukan memanah kebanyakan dari sana. Jadi kami mahu belajar dalam masa yang sama,” katanya menerusi video yang dimuat naik di akaun Tiktok miliknya.

@fathimridayu Replying to @Ady ♬ original sound – FathimRidayu

Tambahnya lagi, kemenangan ini juga amat bermakna kerana mereka merupakan satu-satunya pasukan yang paling kecil apabila dirinya dan dua anaknya itu ke sana jika dibandingkan dengan pasukan negara lain yang lebih ramai dan mewakili negara dengan melalui proses saringan.

Kejohanan tersebut telah disertai lebih 110 peserta dari 16 negara seperti Perancis, Belanda, Belgium, Indonesia, Brazil, Finland, Poland, England, Sepanyol, Jerman, Afrika Selatan, Switzerland, Turkiye, Amerika Syarikat dan Ireland.

Dalam pada itu, Abdurrahman dan Heba Nusaybah difahamkan telah menceburi sukan berkenaan sejak dua tahun lalu dan berguru dengan jurulatih di Indonesia. Jelas ibunya, kedua cahaya matanya itu mula belajar memanah selepas tiga bulan belajar menunggang kuda dan mula serius mencabar diri dengan memilih untuk lebih aktif dalam sukan memanah berkuda.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

IKLAN