Jenayah tidak mengenal usia. Jika remaja seusianya menghabiskan masa belajar, lain pula halnya dengan seorang remaja berusia 19 tahun yang nekad merompak bank. Banyak adegan menyaksikan penjenayah mengacukan pistol dalam kes rompakan bank namun ternyata penjenayah mati ditembak ini mengacukan sabit di leher tawanannya.
Laporan Harian Metro, seorang penjenayah maut ditembak pengawal keselamatan di sebuah bank di Air Tawar 5, Kota Tinggi, dalam satu insiden rompakan membabitkan tebusan, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ashmon Bajah berkata, kes cubaan samun dan cubaan bunuh itu berlaku jam 2.04 petang.
Katanya, suspek seorang lelaki tempatan berumur 19 tahun yang bersenjatakan sebilah sabit masuk ke kawasan perkhidmatan bank dan mengacukan senjata di leher seorang wanita tempatan yang juga pelanggan bank terbabit.
"Bertindak atas keselamatan pelanggan dan pekerja bank, pegawai keselamatan yang bertugas melepaskan tembakan menggunakan 'pump gun'.
"Tembakan itu mengenai rusuk kanan suspek. Suspek disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat. Dalam insiden ini tiada sebarang kecederaan pada orang awam termasuk tebusan mahupun pekerja bank," katanya dalam satu kenyataan.
Ashmon berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 393 Kanun Keseksaan. Sumber : Harian Metro/ Gambar : Info Roadblock JPJ/POLIS